Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

30‏/11‏/2010

Rintihan Syahdu Seorang Hamba

Rintihan Syahdu Seorang Hamba


Tuhanku
betapa beratnya hati
melangkah meninggalkan rumahMu
betapa berharganya saat itu
tidak terurai dengan bicara
tidak terungkap dengan kata-kata
Inginku berlari kembali
sujud bersimpuh menyerahkan diri

Tuhanku
betapa sebak menggunung di dada
saat perpisahan semakin tiba
terpaksa aku melangkah pergi
meninggalkan bumi suci ciptaan teragung
meninggalkan segala kenangan indah
meninggalkan segala ujian dugaan
kuterima  segalanya dengan kepasrahan

Tuhanku
Kerinduan kecintaan padaMu menusuk sukmaku
mengalir ke seluruh denyut nadiku
betapa aku sungguh rindukan
betapa siksanya menanggung perpisahan
indahnya saat berada di sisiMu
syahdunya tika kumembisikkan padaMu
betapaku dambakan maghfirah dan cintaMu

Tuhanku
Kuakui segala dosaku
kusedari segala kesilapanku
kusesali segala kealpaanku
pernahku terleka dengan duniawi
kuharapkan redhamu
kurindukan maghfirahMu
kupohon cinta dan perhatianMu

Tuhanku
Jangan Engkau membiarkan diriku
walau seketika cuma
menentukan nasib diriku sendirian
Kuyakin Engkau sentiasa menghampiriku
di saatku melangkah menuju kepadaMu
Kupasti Engkau mendengar rintihanku
di saatku menyeru membisikkan nama agungMu

Tuhanku
Selimutiku dengan hidayahMu
baluti jasadku dengan pakaian takwa
mandikanku dengan wangian bungaan syurga
semadikanku bersama kekasihMu
payungiku dengan arashMu
litupiku dengan keimanan jua penyerahan
kepadaMu khalik Yang Maha Agung

Tuhanku
akanku berlari dan terus berlari
akanku mencari dan terus mencari
cinta rinduMu yang agung  syahdu
kuserahkan seluruh jiwa jua ragaku
kupasrahkan segala pengorbananku
seluruh hidupku jua matiku
hanya untukMu wahai kekasih hatiku

29‏/11‏/2010

Kusahut PanggilanMu-Bahagian Akhir

11 zulhijjah; melontar 3 jamrah dan mabit (bermalam) di Mina

Kami keluar dari kawasan jamrah (tempat melontar) setelah selesai melontar ke tiga-tiga jamrah. Ribuan jemaah bersesak-sesak di kawasan melontar, namun Alhamdulillah Allah mempermudahkan aku dan suami bagi menyempurnakan lontaran terakhir. Kami sudah berada di jalan  menuju ke masjid yang berdekatan dengan kawasan jamrah iaitu masjid  Khaif . Suami mencadangkan  kami bermalam di sana (mabit) dan berniat iktikaf sekali. Namun harapan kami tidak kesampaian apabila masjid penuh sesak dengan ribuan jemaah yang mungkin datang lebih awal dan menjadikan masjid sebagai tempat untuk bermalam juga. 

Aku digamit kebimbangan sekali lagi apabila suami mengajak masuk ke kawasan masjid yang penuh sesak itu supaya aku boleh bersuci dan mengambil wudhu'. Alangkah terkejutnya apabila melihat jemaah wanita sanggup menjadikan ruangan sempit dan tempat bersuci itu sebagai tempat tinggal dan terdapat anak-anak yang dibawa sekali semasa ibadah haji. Kasihannya anak-anak kecil pun dibawa sama, getus hatiku sendiri. 

Apabila melangkah keluar dari bilik wudhu' wanita aku melihat puluhan ribu jemaah sedang mencari tempat perlindungan di masjid. Hatiku tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku. Aku menerima panggilan telefon dari suami supaya kami segera beredar dari kawasan masjid dan balik ke khemah di Mina bagi mengelakkan kesesakan yang sedang berlaku di depan mata kami. Awan semakin gelap kelam dan angin bertiup dengan kencang sehingga menerbangkan debu-debu, plastik dan kertas-kerats ke udara. Tiba-tiba hatiku digamit rasa takut dan gementar apabila melihat angin kencang seperti puting beliung sedang melanda bumi Mina. Hujan mula turun mencurah-curah diikuti  petir kilat sabung menyabung.

Aku dan suami tetap meneruskan langkah dalam keadaan hujan yang telah menjadi gerimis kasar menimpa kami. Kami tetap mengambil keputusan meneruskan perjalanan kerana di sepanjang jalan tiada tempat untuk berteduh. Aku memegang erat lengan suami apabila petir berdentum kuat diikuti angin yang semakin kencang. Bibirku terketar-ketar membaca potongan ayat-ayat suci al-Qur'an dan berzikir dalam kegelapan awal malam yang menggerunkan dan menyedihkan itu. Namun yang menjadi penguat semangatku ialah apabila menyaksikan ribuan jemaah terutama yang telah berusia lanjut seperti ibuayahku hanya berjalan tenang tanpa menghiraukan angin kencang dan titisan hujan yang menimpa mereka. Kulihat mereka hanya pasrah menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku saat dan ketika itu. 

"Subhanallah, semua yang berlaku samada petir, hujan, angin kencang  yang baru aku saksikan ini adalah sebagai bukti Engkau yang Maha Agung berkuasa membuat apa sahaja di bumi dan dilangit dengan kehendak dan kuasaMu....Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah...Sesungguhnya aku adalah hambaMu yang menzalimi diriku sendiri....Ampuni diri ini Ya Allah". Bisikku berulangkali dengan linangan airmata setelah melihat tanda-tanda kekuasaanNya yang baru terjadi di hadapan mataku. Betapa  aku merasakan kehebatan kuasa Allah yang hendak ditunjukkan kepada hambaNya yang menjadi tetamu-tetamu agungNya pada musim haji kali ini.


Aku meminta suamiku supaya berhenti seketika di sebuah pondok kecil kerana hujan semakin lebat, aku sudah tidak sanggup meneruskan perjalanan ke khemah kami yang masih jauh, suami menuruti kemahuanku. Walaupun tempias hujan dan titisan air tetap menimpa badan kami namun aku lebih selesa menunggu sehingga hujan reda. Di sini hatiku digamit sayu lagi apabila melihat jemaah wanita yang sudah tua duduk berpeluk tubuh dalam kesejukkan. Timbul perasaan simpati dan sedih melihat keadaan mereka.

Tiba-tiba telefon suami berdering, aku hairan kerana suamiku menyerahkan handphonenya kepadaku. Rupa-rupanya panggilan dari bapa saudaraku yang bertanya khabar keadaan kami. Dia juga baru selesai melontar dan sedang berlari ke sana ke mari mencari tempat teduh, kasihannya bapa saudaraku. Disebabkan dia adalah penduduk Makkah tiada khemah yang diperuntukkan untuknya, oleh itu dia hanya bermalam(mabit) di Mina tanpa khemah. Aku tumpang bangga kerana dia dapat menunaikan ibadah haji setiap tahun walaupun dia juga sudah uzur. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya dan aku sungguh terharu kerana kesudiannya menghubungi kami dalam keadaan dirinya yang juga kesejukkan ditimpa hujan itu

Kami meneruskan perjalanan ke khemah setelah hujan agak reda, cuma gerimis masih melitupi bumi mina. Sepanjang jalan menuju ke khemah dipenuhi dengan penjual dan penjaja makanan dan minuman termasuk juga pakaian. Mereka bersesak-sesak di sepanjang jalan menjual keperluan kepada jemaah yang sedang bermalam di Mina, kebanyakkan mereka terdiri daripada orang Afrika dan Arab yang berkulit hitam.Jalan menjadi begitu lecak dan berlumpur serta sampah sarap bertimbun di sekitar khemah setelah hujan tadi, banyak barang-barang yang ditinggalkan jemaah seperti tikar dan selimut serta beg pakaian bersepah-sepah dibasahi air. Kebersihan nampaknya  tidak lagi diendahkan apabila jemaah sudah mencecah jutaan itu, fikirku sendiri apabila melihat keadaan pemandangan bumi Mina yang penuh dengan sampah sarap dan begitu kotor sekali.

Aku sekali lagi ditimpa perasaan sedih dan simpati apabila melihat sepasang suami isteri yang sudah tua berpimpin tangan menuju ke khemah. Mereka berjalan kaki ayam tanpa selipar atas jalan yang lecak berlumpur itu. Aku teringat suami ada selipar dalam beg galasnya, lalu aku meminta izinnya memberikan selipar kepada suami  isteri yang kelihatan sakit kaki itu.Mereka mengucap perkataan 'syukriah' kepada kami."Oh... ini tentu jemaah dari pakistan atau India ni", bisikku sambil tersenyum memandang wajah pucat mereka yang kesejukkan itu.

Kami sampai ke khemah pada jam 10 malam, aku terus menunaikan solat isya' dan merebahkan tubuh yang kepenatan atas karpet. Malam ini dirasakan sejuk dan dingin sekali kerana hujan dari petang sampai ke waktu malam. Aku menarik selimut ke paras leher dan tertidur sehinggalah terkejut apabila deringan handphoneku berbunyi. "Sayang kita akan melontar selepas subuh" .Aku tersenyum membaca meseg dari suami. "Masih awal lagi ni".  Bisikku apabila melihat jam menunjukkan angka empat pagi.Aku ke bilik air untuk berwudhu' dan segera menunaikan solat tahajjud,diikuti solat sunat taubat dan solat hajat, menghabiskan zikir sehinggalah azan subuh berkumandang dari masjid berhampiran.

Airmata sentiasa mengalir di saat aku bersolat dan berzikir mengingati dan mengenangkan cinta Allah yang sejati dan abadi  terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh, betapa hatiku menjadi semakin berharap kepadaNya antara gerun dan takut di atas tragedi yang aku sendiri menyaksikannya pada malam tadi. Petir yang sabung menyabung dan angin kencang seolah-olah puting beliung yang akan melanda bumi Mina menimbulkan perasaan takut dan kebimbangan dihatiku. Bagaimana kalau ia (taufan) betul-betul terjadi malam tadi?. Tiba-tiba persoalan itu timbul di benakku.

"Ya Allah, aku bersyukur kerana tiada sesuatu bencana yang berlaku malam tadi...Aku bersyukur kerana diriku dan suamiku selamat dan masih dipanjangkan usia". Bisikku lagi,  walaupun aku tahu ramai juga yang terkorban dan cedera parah disebabkan kesesakan yang berlaku semasa melontar di ketiga-tiga jamrah. Aku dapat mengagak kerana  ambulance begitu kerap berulangalik dan membunyikan sirennya mengangkut jemaah yang jatuh terpijak dan cedera parah ke hospital Mina.

12 Zulhijjah;Pagi , Melontar ketiga-tiga jamrah dan tawaf wida' (tawaf bagi kali terakhir berada di tanah suci)

Setelah usai menunaikan solat subuh kami beredar dari khemah bagi melontar ketiga-tiga jamrah, pagi ini merupakan kali terakhir kami berada di Mina setelah dua malam berturut-turut kami bermalam dan melontar di jamrah. Rombongan kami memilih nafar awwal dengan  menyiapkan wajib haji iaitu bermalam di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah selepas subuh pada hari ke 12 Zulhijjah. Seterusnya kami berjalan kaki ke Masjidilharam untuk melaksanakan tawaf wida'.

Alhamdulillah  tawaf wida' telah dapat diselesaikan setelah masuknya waktu zohor. Kami menunaikan solat zuhur di Masjidilharam. Untuk kesekian kalinya airmataku bercucuran lagi setelah memandang baitullah yang mulia. Perasaan sedih, pilu, rindu, syukur dan bahagia bercampur baur. Sedih kerana terpaksa meninggalkan bumi Makkah dan tempat pengabdian kepadaNya yang syahdu ini, syukur dan bahagia  kerana akhirnya aku dan suami telah berjaya menyempurnakan rukun Islam kelima. Ini adalah ibadah haji yang pertama buatku manakala ibadah haji yang kedua bagi suamiku. 

Aku menangis teresak-esak seperti seorang anak kecil yang ditinggalkan ibunya, bertambah sayu hatiku  apabila mengenangkan aku akan tinggalkan rumah Allah dan bumi suci yang mencatatkan kenangan indah selama hampir sepuluh hari aku di sini. Aku berdoa semoga masih diberi peluang oleh Allah untuk datang lagi ke tanah suci ini dan menjadi tetamuNya suatu masa nanti.Amin Ya Rabb....

Kami mengambil keputusan terus pulang ke tempat penginapan setelah untuk kali terakhir makan tengahari di sebuah restoren melayu berhampiran Masjidilharam. Di pertengahan jalan menuju ke tempat penginapan,  hujan turun dengan lebat sekali, kedengaran bunyi hujan begitu kuat menimpa bumbung kereta sewa yang kami naiki. Aku menoleh ke tingkap kereta dan alangkah terkejutnya apabila bukan air hujan biasa yang menimpa sebaliknya hujan air batu sebesar ibu jari. "Subhanallah...Abang, hujan air batu nampaknya".Mudah-mudahan tidak berlaku sesuatu yang tidak didingini. Doaku mengiringi sepanjang jalan, lebih-lebih lagi dalam suasana yang agak gawat apabila pemandu kereta sewa yang masih muda itu tidak tahu arah sebenar tempat penginapan kami.

Hujan yang lebat pada petang itu telah menyebabkan banjir kilat di Mina dan kawasan sekitar kota Makkah termasuk juga halaman masjidilharam. Sistem perparitan memang  tidak dibina di negara yang mempunyai  4 musim dan negara  sentiasa panas itu. Alhamdulillah akhirnya  selamat sampai juga kami ke tempat penginapan, aku dan suami serta pasangan suami isteri iaitu Nirah dan Fikri keluar dari kenderaan dalam keadaan hujan yang masih lebat.Kawasan masjid dan tempat penginapan kami juga telah banjir, kami singgah di masjid bagi menumpang teduh dan  suami menunaikan solat asar.

Apabila selesai bersiap dan menunaikan solat maghrib di tempat penginapan, kami telah berada di dalam bas untuk pulang semula ke bumi Urdun setelah hampir dua belas hari berada di Madinah dan Makkah. Berita yang kudengar sangat menyedihkan apabila jemaah yang hendak melontar selepas solat zohor hari itu terkandas dan terpaksa mengharungi hujan lebat dan air banjir kerana kawasan Mina telah tenggelam dengan masa yang singkat setelah hujan lebat melanda kota Makkah. Kasihannya jemaah haji kali ini, inilah ujian Allah kepada para jemaah haji tahun ini. 

Aku bersyukur kepada Ilahi kerana terlepas dari mengharungi banjir semasa melontar setelah jemaah kami  bersepakat membuat nafar awwal iaitu melontar selepas subuh dan terus tawaf wida'.  Alhamdulillah, syukurku tidak terhingga kerana Allah masih mengizinkan aku untuk meneruskan kehidupan dan menemui cahayamata tercinta setelah melalui pelbagai ujian semasa menyempurnakan ibadah haji. Kami selamat tiba di bumi Urdun waktu tengah malam setelah melalui perjalanan selama dua hari dari bumi Makkah.







28‏/11‏/2010

Kusahut PanggilanMU-Bahagian 5

Jarak  antara waktu melakukan umrah dan  haji cuma sehari. Pada pagi sabtu sehari sebelum kami wuquf di Arafah, suami tiba-tiba menyuarakan pendapatnya untuk menghubungi bapa saudaraku iaitu suami kepada ibu saudaraku yang telah lama bermastautin di Makkah, kebetulan tempat tinggal kami tidak jauh dengan rumah mereka di 'Aziziah. Bapa saudaraku sudah menanti kami di tepi jalan berhampiran masjid Sanusi dan kami menaiki kereta ke rumah anaknya yang terletak berhampiran dengan 'Aziziah itu.

Ketibaan kami disambut dengan tangisan kerinduan ibusaudaraku terhadapku kerana kami telah mengunjungi beliau semasa mengerjakan umrah beberapa bulan lepas. Aku digamit rasa terharu dan sedih melihat keadaannya yang semakin uzur dan tidak lagi mampu berjalan sendiri, memandang wajahnya sahaja pasti akan mengingatkanku terhadap ibuku di kampung. Aku melepaskan sebak di dada dengan menangis sepuas-puas hatiku di atas pangkuan ibu saudaraku. Dia memelukku erat sekali. Lebih pilu lagi apabila memandang cucu-cucunya yang sebaya dengan anak-anakku, mereka  semua telah menjadi warganegara arab kerana sepupuku Kak Rohani  telah mengahwini pemuda berbangsa arab yang menetap di Makkah.

Alangkah tenang hatiku setelah mendapatkan nasihat daripada bapa saudaraku tentang penyakit gout yang suamiku alami. Selain bertugas sebagai imam di salah sebuah masjid di Makkah, bapa saudaraku juga adalah pengusaha ubat-ubatan tradisional iaitu membuat minyak dhab. Kami telah dibekalkan dengan minyak dhab dan pil bagi melegakan penyakit suami. Aku tidak tinggal lama di rumah ibu saudaraku  kerana perlu kembali ke hotel penginapan untuk berehat secukupnya kerana pagi esoknya hari ahad kami akan berangkat ke Arafah.

Walaupun hari ahad baru 8 Zulhijjah namun kami membuat keputusan untuk pergi awal  ke arafah bagi mengelakkan kesesakan dan mendapatkan khemah untuk wuquf  di sana. Aku  telah bersiap awal dengan bersuci dan mandi sunat ihram seterusnya menunaikan solat asar di tempat penginapan. Kemudian aku bersama rombongan jemaah telah berniat ihram untuk menunaikan haji sebelum keluar dari tempat penginapan kami. Alhamdulillah bas yang menghantar kami boleh masuk berhampiran sekitar khemah yang bertaburan di situ. Kami sampai ke padang arafah sewaktu maghrib hampir tiba, aku serta suami dan rombongan sempat mendengar ceramah agama pada malam 8 zulhijjah di khemah selepas solat maghrib berjemaah dan bermalam satu malam di situ. Alhamdulillah kami disediakan khemah yang lapang dan luas, juga dihamparkan karpet bagi keselesaan jemaah untuk merehatkan badan.

Alhamdulillah ucapku penuh kesyukuran padaNya kerana malam itu aku dapat melelapkan mata walaupun dalam suasana cuaca yang agak panas juga pada waktu malam. Aku juga bersyukur kerana turut  ditemani kawan-kawan serombongan berbangsa arab dari Mafraq yang telah kuanggap seperti saudara maraku sendiri. Malam itu dalam keadaan  cahaya lampu yang dipasang di luar khemah dapat juga aku  makan malam dengan seorang teman rapat yang masih belajar di Universiti Alilbaiyt yang telah kuanggap seperti anakbuahku sendiri  bernama Nirah,  setelah itu kami tidur dengan lena sehinggalah aku terjaga satu jam sebelum masuknya waktu subuh.

Aku tidak pernah lupa dan seperti mewajibkan diriku untuk qiamullail dan bermunajat kepadaNya di atas anugerah yang tidak mampu dibayar walaupun segunung emas dikumpulkan. Suamiku yang sentiasa menemaniku ketika aku memerlukannya walaupun untuk ke bilik air atau ke mana sahaja aku hendak melangkah keluar dari kawasan khemah. Walaupun ada teman wanita namun  sebagai isteri aku lebih selesa jika ada mahram yang menemani pergerakanku bagi mengelakkan fitnah dan segala kesulitan yang timbul. Pengorbanan dan susah payahnya tidak mampu kubalas. Hanya doaku supaya suami disembuhkan sepenuhnya dari penyakit dan kami dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sebaik mungkin.

9 Zulhijjah, hari Isnin: Waktu Wuquf di Arafah bermula zohor sehingga maghrib.
Pagi itu dengan rezekiNya yang tidak pernah putus-putus sampai juga sarapan pagi kepada kami jutaan jemaah yang akan wuquf di padang yang gersang dan panas ini. Kebesaran Allah juga dirasai apabila melihat padang yang luas dan sayup mata memandang ini telah dipenuhi dengan binaan khemah dan jutaan jemaah yang akan wuquf selepas masuknya waktu zohor.Ada jemaah antaranya yang datang secara persendirian wuquf di luar khemah dan ada yang inisiatif membuat khemah sendiri. Walaupun belum masuk waktu wuquf aku telah bersedia lebih awal dengan wudhu' dan mendirikan solat sunat dhuha, berdoa, membaca al-Qur'an dan berzikir.

Setelah masuk waktu zohor kedengaran khatib menyampaikan khutbah  tentang ibadah haji. Aku menunaikan solat jama' taqdim,   sebagai mematuhi nusuk haji kerana sedang wuquf di arafah, seterusnya aku menumpukan sepenuh jiwaragaku dan dengan hati yang penuh khusyuk tawajjuh terhadap Allah swt. Aku menghabiskan masa dari masuknya waktu zohor hingga sebelum waktu maghrib dengan ibadah. Terasa betapa dhaifnya diriku berada di sini. Angin keinsafan dan kepasrahan kuserahkan terhadapNya semata-mata.Segala doa dan munajat kupohon di Arafah ini kerana aku ingat tentang sabdaan Rasulullah bahawa sesiapa yang diampunkan dosanya pada hari arafah dia seolah-olah menjadi bersih dan putih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Aku banyak dibimbing dan ditarbiah suami tentang cara-cara ibadah dan segala bentuk amalan di sini. Dia mengingatkanku supaya kuyakin sepenuhnya bahawa segala permintaan doa pasti dikabulkan oleh Allah swt. Sebesar-besar dosa ialah apabila hamba yang berdoa di padang arafah namun tidak yakin doanya dikabulkan oleh Allah rabbulizzati. Pesanan dari Rasulullah ini menguatkan lagi keimanan dan keyakinanku terhadap Yang Maha Pencipta. Aku yakin segala doaku pasti dikabulkan oleh Allah. Amin ya Rabb....

Masa begitu pantas bergerak, masa yang singkat itu begitu mencemburuiku, belum puas rasanya hatiku dan bibirku bermunajat memohon keampunan maghfirah, hidayah dan inayah dariNya di padang arafah yang bakal menjadi medan perbicaraan itu. Di situ dapat kurasakan seperti aku berdiri di hadapan Allah di padang mahsyar untuk menerima catatan amalan, seolah-olah aku telah menghampiri masa untuk dihisab, dengan cuaca yang panas dan angin yang kering itu lebih mengocak perasaan takutku untuk menghadapi saat kematian dan saat penghisaban di hari akhirat kelak. Aku menjadi teringat kepada junjungan kekasihNya dan banyak bermohon agar aku dan seluruh umatnya samaada yang mengerjakan ibadah haji atau tidak akan mendapat syafaat Rasulullah saw nanti.

Mataku sudah bengkak dan merah kerana terlalu banyak menangis. Aku keluar dari khemah dengan mengenakan kacamata hitam hadiah dari suami, dia menasihati supaya aku memakainya bagi mengelakkan dari habuk dan debu  yang memasuki mata. Bagus juga cadangan suami itu sekurang-kurangnya aku boleh melindungi mataku yang bengkak dari dipandang oleh orang lain. Setelah hampir maghrib hari wuquf itu, kami beredar pula ke Muzdalifah dengan menaiki bas dan bermalam di sana. Kami sampai agak lewat juga kerana perjalanan yang lambat disebabkan ratusan bas berderetan dan berlaku kesesakan di jalanraya, kebanyakkan jemaah menuju ke Muzdalifah dengan menaiki kenderaan atau berjalan kaki.

10 Zulhijjah: Bermalam di Muzdalifah

Alhamdulillah kami sampai juga di Muzdalifah. Aku, Nirah dan suaminya serta seorang lagi pelajar menunaikan solat jama' ta'khir maghrib dan isya' berimamkan suamiku di atas tanah yang berpasir dan banyak batu itu. Setelah selesai solat kami mengutip batu sebesar ibu jari untuk melontar Jamrah 'Aqabah di Mina  keesokan harinya. Pemandangan waktu malam di Muzdalifah sangat indah dan ajaib sekali dengan keadaan jutaan jemaah samada lelaki dan wanita yang berbaring dan berehat bergelimpangan hanya berlantaikan bumi dan berbumbungkan langit.

Bermalam di muzdalifah menjadi satu syarat wajib haji. Syiar yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah dan para sahabat ini banyak memberi keinsafan padaku dan mengingatkanku  betapa kerdil setiap manusia di sisi Penciptanya. Jemaah yang hanya berbalut kain ihram putih itu mengingatkanku kepada jasad berkafan putih  yang kembali menemui Penciptanya dan bakal memasuki alam barzakh. 

Suami hanya menghamparkan selimut di sisi bas yang membawa kami dan menyuruhku berehat seketika di Muzdalifah. Tanah lapang di semua tempat di kawasan Muzdalifah ini telah penuh sesak dengan jutaan jemaah seluruh dunia. Aku yang pertama kali tidur di tengah-tengah jutaan manusia dalam keadaan berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi itu sukar juga memejamkan mata, namun dek kepenatan berjaga dan wuquf di arafah menyebabkan aku tertidur juga sehingga dikejutkan oleh seorang jemaah wanita yang satu rombongan denganku memberitahu bas kami akan bergerak pula ke Mina. Aku berasa puas juga tidur walaupun hanya hampir 3 jam sahaja. Untuk menyegarkan badan aku menuju ke bilik air yang tersedia di situ dan berwudhu' .

10 Zulhijjah, Waktu pagi; Melontar di Jamrah Aqabah dan Tawaf Ifadhah diikuti sa'ie dan bertahallul.

Jam di handphoneku menunjukkan angka dua   pagi, aku dan suami bersama rombongan beredar ke Mina untuk melontar di jamrah aqabah.  Rombongan kami mengambil keputusan melontar jamrah sebelum waktu subuh  bagi mengelakkan kesesakkan. Alhamdulillah aku dengan tenang melontar jamrah aqabah dengan tujuh anak batu yang kukutip dengan bantuan suami di Muzdalifah. Semuanya kubuat dengan penuh keinsafan dan ketenangan  kerana  jemaah belum ramai sangat pada waktu ini. Setelah selesai melontar kami bertolak ke Masjidilharam dengan berjalan kaki separuh jalan, seterusnya menaiki bas mini sewa. Kami sampai di masjidilharam sebelum masuk waktu subuh.

Aku bersama Suamiku dan sepasang suami isteri  iaitu Nirah dan Fikri telah mula mengerjakan tawaf ifadhah setelah masuk waktu subuh. Alhamdulillah kami bersepakat memilih tingkat atas untuk melaksanakan tawaf ifadhah ini, di sini lebih tenang dan tidak bersesak dengan ramai orang, hanya sebahagian jemaah yang memilih tawaf di tingkat kedua dan terakhir ini. Jutaan jemaah membanjiri kawasan kaabah di tingkat bawah masjidilharam bagi melakasanakan tawaf rukun ini. Suamiku yang telah berjanji untuk menyenangkan hatiku dan mempermudahkan urusan ibadah hajiku telah mengikut cadanganku agar kami hanya tawaf di tingkat atas bagi mengelakkan peristiwa yang telah menyebabkan aku menjadi trauma beberapa hari lepas.

Kami berjaya mengerjakan tawaf ifadhah dengan penuh khusyuk dan tenang. Setelah selesai tawaf kami meneruskan dengan sa'ie rukun sebanyak tujuh kali bermula di safa dan berakhir di marwa. Setelah selesai rukun haji iaitu tawaf dan sa'ie, kami bertahallul di sudut halaman Masjidilharam itu juga. Kemudian kami kembali ke tempat penginapan dengan kereta sewa. Aku berehat sepuasnya di bilik kerana  pada malam selepas maghrib nanti kami akan bergerak ke mina untuk bermalam (mabit) di sana. Aku menunaikan solat maghrib di ruangan solat tempat penginapan sebelum bertolak menuju ke Mina.

Hari tasryrik 11 Zulhijjah: Bermalam di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah.

Kami hanya berjalan kaki walaupun jaraknya agak jauh juga dalam 5 km. Kami sampai di Mina setelah hampir dua jam berjalan kaki dari tempat penginapan di Aziziah janubiyah. Alhamdulillah syukurku tidak terhingga kerana keadaan kaki suamiku semakin sembuh dan sudah mampu berjalan seperti biasa. Ini adalah berkat doaku dan doa kami semua, Allah telah kabulkan segala hajatku yang tidak putus-putus memohon dan berdoa agar kaki suamiku sembuh dan boleh berjalan seperti orang lain.

Aku mengerjakan solat isya' dan merebahkan badan atas hamparan karpet yang telah tersedia  di khemah Mina. Keadaan di sini tidak begitu panas,  malah disediakan kipas angin dan icondition bagi kemudahan dan keselesaan para jemaah, khemah suamiku terletak berdekatan  di sebelah khemahku sahaja. Sebelum waktu subuh lagi aku terjaga dan menunaikan qiamullail sebelum azan zubuh berkumandang dari masjid berdekatan. Airmata keinsafan dan kesayuan mengalir lagi di pipiku.

 "Ya Allah banyaknya nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku, Aku bersyukur kerana dikurniakan suami yang beriman dan sentiasa memahami perasaanku, anak-anak yang telah menyempurnakan impianku untuk bergelar ibu, nikmat iman dan Islam, nikmat ketenangan dan kebahagiaan hatiku yang tidak mampu kuungkapkan dengan bicara saat ini... Engkau kekalkanlah nikmat ituYa Allah....Matikanlah dan hidupkanlah kami dalam iman....Berikanlah keampunan padaku, suami, keluarga, sahabat dan seluruh umat muhammad... dan Engkau  izinkanlah Rasulullah memberi syafaat kepada kami...." . Itulah antara doaku sambil menangis teresak-esak di dalam khemah Mina pada waktu fajar yang hening itu.

Setelah hampir subuh suami mengajakku pulang ke tempat penginapan, aku mengambil peluang mencuci beberapa helai sarung kaki dan membersihkan tubuh. Seterusnya berbaring dan berehat di katil sehinggalah hampir waktu zohor suami mengajakku solat berjemaah di masjid berdekatan dengan penginapan kami. Kami bercadang pergi ke haram untuk membeli keperluan yang belum selesai. Kami solat berjemaah asar di sekitar Masjidilharam dan mengambil kereta sewa ke Mina semula.

Aku dan suami tiba di Mina hampir maghrib.  Kami berjalan kaki menuju ke tempat melontar bagi menyempurnakan wajib haji iaitu melontar ketiga-tiga jamrah. Di sepanjang jalan kami berhenti mengutip batu bagi mencukupkan bilangan sebanyak 21 biji bagi melontar 3 jamrah itu. Aku gelihati dengan gelagat suami yang asyik menunduk di tengah-tengah ramai jemaah pejalan kaki mengutip batu untukku. Kami selesai melontar selepas maghrib, aku berdoa panjang di tepi jamrah dan menunaikan solat maghrib di situ juga.

Suka lawannnya duka. Aku tidak tahu sebenarnya selepas melontar ini kami akan diuji lagi.....

Bersambung

Kusahut PanggilanMu-Bahagian 4

Aku mengeluarkan gunting dari beg dan meminta suami yang menggunting rambutku sebagai tanda aku telah bertahallul. Suami  akan balik bercukur dengan bantuan pelajar yang satu  rombongan dengan kami. Setelah selesai bergunting tiba-tiba datang sekumpulan jemaah wanita  berasal samada dari Bangladesh atau India yang sebaya denganku meminta aku tolong mengguntingkan rambut mereka. Dengan senang hati aku menolong mereka bertahallul dengan menggunting hujung rambut mereka seorang demi seorang.

Setelah selesai kami beredar dari kawasan sa'ie dan keluar dari masjidilharam.Jam menunjukkan angka 10 pagi. Aku bergandingan dengan suami keluar menuju ke halaman masjidilharam yang sudah penuh sesak dengan jemaah yang berlimpahan hingga ke halaman luar masjid dan jalan laluan yang menuju ke deretan bangunan hotel dan kedai-kedai berderetan itu, kelihatan mereka telah menghamparkan sejadah di sepanjang jalan keluar dan duduk-duduk menunggu waktu solat jumaat yang masih lama lagi itu. "Awalnya jemaah datang  hendak solat jumaat". Suamiku bersuara. Aku hanya mengangguk tanda mengiakan kata-kata suami.  

Jalan laluan  keluar dari masjidilharam sudah penuh dengan jemaah hingga tiada lagi laluan untuk para jemaah keluar setelah selesai dari mengerjakan tawaf dan sa'ie.
Kesesakan dan jerit pekik antara jemaah pejalan kaki yang hendak keluar serta sikap jemaah yang tidak berganjak dari   jalan laluan benar-benar merisaukan aku dan suami yang juga hendak keluar dari situ. Tiba-tiba jemaah yang baru hendak memasuki masjidilharam   telah berduyun-duyun masuk dan keadaan ini makin mengakibatkan kesesakan dan pertembungan antara jemaah yang hendak keluar dan jemaah yang hanya duduk menunggu waktu solat.

Yang menghairankanku  ialah bagaimana pihak penguatkuasa polis seperti terlepas pandang keadaan ini dan membiarkan ribuan jemaah menghampar sejadah dan menjadikan jalan laluan sebagai tempat untuk solat sesuka hati dan membanjiri jalan sehala yang sepatutnya menjadi jalan keluar jemaah. Keadaan semakin tidak terkawal dan berlaku pergaduhan antara jemaah yang berebut jalan. Aku dan suami hanya mampu melihat dan kami juga telah terkandas dalam kesesakan yang tidak boleh lagi dicari jalan keluarnya. 

Tubuhku yang kecil sudah tidak mampu lagi berdiri apabila dilanggar dan dihimpit ribuan jemaah yang terkandas itu. "Ya Allah apa dah jadi ni abang?...Saya dah tak berdaya ni". Aku bersuara risau dan bimbang melihat tragedi di depan mataku . Teringatku kepada tragedi terowong Muassim. "Ya Allah...Apakah telah tiba masanya aku akan menemuiMu dengan cara begini". Hanya itu yang terlintas dibenakku saat itu. Airmata sudah mengalir laju ke pipi, bibirku pula tidak putus-putus mengucap syahadah. Keadaan semakin tidak terkawal dan sesak menyebabkan jemaah yang duduk juga telah dilanggar oleh ratusan jemaah yang sedang melalui tempat itu sehingga ada jemaah  terjatuh dan  dengan tidak sengaja telah dipijak dan dihimpit jemaah lain.

Jerit pekik dan suara mengaduh kesakitan kedengaran dan keadaan gawat ini sangat merisaukan diriku. Aku melihat sekumpulan jemaah wanita sebaya dengan ibuku yang berasal dari Indonesia  masih juga duduk dalam keadaan penuh sesak dan merbahayakan nyawa itu. Dengan suara yang lirih aku memohon supaya mereka segera bangkit berdiri sebelum mereka juga menjadi mangsa korban samada dipijak atau terhimpit dalam kesesakan melampau itu. "Ibu...bangkit segera bu...nanti ibu juga diinjak atau dilanggar orang". Akhirnya mereka berdiri dengan wajah yang penuh kebimbangan dan ketakutan apabila mendengar arahan ikhlas dariku yang turut bersimpati dengan keadaan mereka di situ.

Dalam keadaan panas dan penuh bersesak itu, tubuhku bertambah lemah kerana aku  sudah sukar mendapatkan udara untuk bernafas, aku semakin berasa sesak nafas.  Suamiku mengeratkan pegangannya dan cuba mencari jalan keluar."Sayang kita perlu keluar segera dari tempat ini...keadaan bertambah kritikal". "Bagaimana kita nak keluar Abang".Tanyaku sambil menangis dan dalam keadaan penuh kebimbangan, malah sudah hampir kelemasan. Hanya satu cara sahaja iaitu kami perlu melangkah  ratusan jemaah yang sedang duduk menunggu waktu solat itu. Nampaknya niat suamiku juga telah disedari oleh jemaah lelaki yang perasan akan keadaanku yang panik dan hampir sesak nafas itu, mereka mengizinkan kami melintasi dan melangkah ruang sempit di celah-celah jemaah yang duduk agar aku dapat keluar dari tempat yang sesak itu

Suami yang masih mengheret kakinya yang sakit itu segera memimpinku dan dengan pantas terpaksa melangkah  ruangan sempit  yang diduduki para jemaah bagi melepaskan diriku dari kesesakan kerana jalan keluar telah tertutup dengan berlakunya pertembungan jemaah di jalan sehala itu. Dengan izinNya kami telah selamat keluar dari kesesakan lautan ribuan jemaah yang masih tersekat itu. 

Airmata kesyukuran membasahi lagi pipiku setelah selamat dari kesesakan melampau itu.
"Ya Allah aku yakin setiap yang terjadi terhadapku dan suamiku ini tersirat hikmahnya...aku bersyukur kerana Engkau telah menyelamatkanku dari marabahaya tadi Ya Allah...".Bisikku perlahan. Suami yang mengerti keadaan yang baru menimpaku sebentar tadi memujukku dan dia membawaku ke Restoren Melayu yang berhampiran dengan masjidilharam untuk mengisi perut setelah sehari semalam kami tidak menjamah makanan disebabkan sibuk melaksanakan tawaf dan sa'ie umrah.

Kami diuji lagi kali ini dengan terpaksa menunggu berjam-jam kereta sewa  yang akan menghantar kami ke tempat penginapan. Dalam keadaan kaki suami yang sakit kami sampai juga ke tempat menunggu kenderaan setelah berjalan kaki melalui terowong sejauh dua kilometer dari masjidilharam. Walaupun dengan tambang yang mahal dikenakan iaitu RM 200 kami tetap bersetuju dengan pemandu arab itu dan akhirnya dengan izinNya kami selamat tiba ke tempat penginapan selepas azan asar berkumandang di masjid yang berhampiran dengan penginapan kami.

"Ya Rabbi bukan senang dan mudah untuk menunaikan ibadah haji ini dan terpaksa melalui pelbagai ujian untuk menguji kesabaran dan keimanan seseorang hamba itu. "  Bisikku sambil  merebahkan tubuh di atas katil setelah sehari semalam di atas bas dan berjalan jauh mengerjakan umrah kali ini. Bila  teringatkan tragedi tadi aku berasa seperti separuh nyawaku telah melayang dan sudah tiada lagi di dunia ini. Alhamdulillah Dia masih memanjangkan usiaku dan ini bermakna aku masih berpeluang mengerjakan ibadah haji yang akan tiba esok hari. Aku terlena dalam keadaan wajah yang dibasahi airmata dan terjaga setelah waktu maghrib hampir tiba.

Bersambung

26‏/11‏/2010

Kusahut PanggilanMu-Bahagian ke-3

Belum  puas rasanya hati ini untuk bersama Rasulullah saw dan mengabdikan diri kepada Allah di Masjid Nabawi namun aku terpaksa meninggalkan bumi Madinah setelah tiga hari dua malam bertamu di sana. Aku memberi salam untuk kali terakhir kepada Rasulullah serta para sahabat, dalam masa yang terhad aku juga berkesempatan menziarahi pusara para isteri Rasulullah di Baqi' antaranya  makam Aisyah, Zainab,  dan puteri-puteri kesayangan Rasulullah antaranya Umi Kalthum dan Rokiah.

Aku menangis teresak-esak dan tidak sanggup rasanya menghadapi perpisahan dengan Rasulullah. Tidak tega rasanya hati untuk melangkah meninggalkan bumi Madinah yang menjadi tempat persemadian kekasih Allah dan zuriat serta sahabat baginda, Madinah juga terkenal sebagai bumi subur dengan tanaman tamar. Doaku untuk kali terakhir semasa berdiri di hadapan rumah Rasulullah semoga aku serta kaum keluarga dan teman-teman semuanya akan dikenali oleh Rasulullah sebagai umatnya dan mendapat syafaat baginda di hari akhirat nanti.

Rombongan kami perlu meneruskan perjalanan ke Tanah suci Makkah pada pagi khamis 8 Nobember. Sebelum itu kami sempat menziarahi masjid Quba' iaitu  masjid  pertama dibina oleh Rasulullah semasa pertama sekali baginda sampai ke Madinah. Aku berpeluang memuliakan masjid dengan solat tahiyyatul masjid dua rakaat. Di masjid ini juga penuh dengan jemaah yang singgah melawat sebelum berangkat ke Makkah. Seterusnya kami singgah di perkuburan syuhada' Uhud yang terletak berhampiran jabal Uhud, di sini para sahabat Rasulullah bersemadi termasuk Saidina Hamzah. Aku memberi salam kepada mereka, betapa sayunya hati ini apabila mengenangkan pengorbanan ikhlas mereka berjihad membela agama Allah dan rasulNya sehingga terkorban syahid di medan peperangan.

Kami singgah di Bir Ali untuk bersuci dan berihram. Rombongan kami bersepakat melakukan haji tamattu'.
Betapa ramainya jemaah dari pelbagai negara berhenti di sini untuk memakai ihram. Bilik air juga sentiasa penuh, kami beratur menunggu giliran bersuci dan mengambil wudu'. Alhamdulillah aku dipermudahkanNya untuk segera bersuci dan menuju ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat sunat ihram. Aku tetap meringankan diri untuk  bersujud syukur atas segala nikmat yang dianugerahiNya. Kesyahduan, ketenangan dan kebahagiaan menjalar di dalam hati seperti hembusan angin lembut di pergunungan dapat kurasakan selepas menyarung telekung labuh tanda aku telah berniat ihram untuk mengerjakan ibadah umrah. 

Siapa sangka di saat aku digamit ketenangan dan kegembiraan untuk menuju ke rumah Allah tiba-tiba suamiku ditimpa sakit kaki, penyakit gout yang dialami selama ini menyerang kembali. Dia memang alahan dengan keadaan sejuk icondition dan tidak bergerak dalam masa yang lama semasa berada dalam bas selama hampir  sehari suntuk itu. Perasaanku bercampurbaur simpati,sedih dan risau dengan keadaan suami yang berjalan mengheret kakinya yang sakit sebelah kanan itu. Bagaimana kami hendak melaksanakan tawaf dan sa'ie yang terpaksa berjalan dalam keadaan kaki suami yang sakit ini. Itulah persoalan yang sentiasa bermain di kepalaku.

Bas kami meneruskan perjalanan menuju ke Makkah setelah berhenti sebanyak beberapa kali untuk solat dan makan. Jarak antara  Bir Ali dengan Makkah ialah lebih kurang 15 jam perjalanan. Aku selamat sampai di bumi Makkah waktu dinihari sebelum subuh pada 9 November bersamaan dengan  pagi jumaat yang mulia. Tidak kulupa untuk membaca doa memasuki kota Makkah. Setelah meletakkan beg pakaian di tempat penginapan, kami terus menuju ke Masjidilharam. Kali ini rumah penginapan kami jauh dari Masjidilharam, tidak mampu sampai jika berjalan kaki. Kami menaiki bas untuk ke Masjidilharam bagi menunaikan ibadah umrah iaitu tawaf dan sa'ie.

Saat kakiku melangkah  di halaman masjidil haram dan di hadapan pintu masuk baitullah, mataku dapat melihat betapa indahnya masjidilharam pada waktu fajar, lampu bergemerlapan cerah bercahaya sehingga ke menara tinggi yang tercatat kalimah 'Allah' dalam bahasa Arab. Bangunan yang paling tinggi itu menjadi mercu dan berhampiran dengan Baitullah, ia baru siap dibina kerana semasa aku mengerjakan umrah bulan mei dulu belum ada lagi menara tinggi ini. Tidak mampu kuungkapkan dengan kata-kata betapa keagungan dan kebesaran Allah swt ditunjukkan kepada hamba-hambaNya apabila menjejakkan  kaki ke tanah suci ini. Jemaah yang bakal menunaikan ibadah haji sudah memenuhi ruangan setiap tingkat di dalam masjid.

Aku membaca doa memasuki masjidharam. Alhamdulillah belum masuk waktu subuh lagi,  aku bersyukur kerana masih berpeluang menunaikan solat tahiyyatulmasjid diiringi solat tahajjud dan  solat taubat. Aku menyembamkan dahiku ke sejadah  bersujud syukur. "Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih Pengampun...aku hambamu yang dhaif dan kerdil ini telah datang kepadaMu, mengakui segala dosa-dosaku selama ini...Aku tahu Engkau Maha pengasih dan pengampun..ampunilah segala dosaku, suamiku dan ampuni kedua ibubapaku serta seluruh umat Muhammad saw...Aku bersyukur kerana Engkau memperkenankan doaku selama ini dan mengizinkan aku menjadi tetamuMu. Berikanlah  kekuatan dan kesejahteraan kepadaku dan suamiku untuk menyempurnakan ibadah umrah dan haji ini. Engkau sembuhkanlah penyakit suamiku ya Allah, Engkau ringankanlah bebanan kesakitan yang dia alami.... Engkau permudahkanlah urusan ibadah umrah dan haji kami ini ya Allah...".

Aku berdoa sambil menangis dengan esakan perlahan, airmata bercucuran laju di pipi tanda aku memang berada dalam kesedihan dan kerisauan dengan ujian yang sedang melanda dirirku dan suamiku saat ini, walaupun diriku diperhati jemaah lain sekalipun tidak kupedulikan lagi. Hanya Allah yang maha besar dan agung yang boleh menyembuhkan penyakit suamiku ini. Hanya Dia tempatku mengadu dan memohon pertolongan. Aku yakin doaku pasti didengar dan akan diterima oleh Allah...Aku yakin Allah begitu hampir dengan diriku yang sedang merintih memohon kepadaNya, betul-betul berhadapan dengan rumahNya ini. Sepanjang mendirikan solat subuh betapa syahdu dan sayunya hatiku lebih-lebih lagi apabila mendengar alunan ayat suci dari suara merdu imam yang bergema di seluruh masjidilharam. Jutaan jemaah turut mengaminkan bacaan imam menambah lagi kesayuan dihati betapa semua ciptaanNya bersujud dan berhajat kepada Allah semata-mata.

Selepas menunaikan solat subuh berjemaah kami mengambil keputusan untuk tetap meneruskan ibadah umrah walaupun dalam keadaan kaki suami yang sakit. Aku tahu suamiku tetap kuat menghadapi ujian dariNya cuma aku yang sentiasa berguguran airmata setiap kali melihat betapa sukarnya suami menggerakkan kakinya yang sakit sebelah kanan itu. Kami memulakan tawaf di bawah sekali dalam keadaan jutaan jemaah yang bersama-sama mengelilingi baitullah.

Mataku tepat memandang kaabah sambil membaca doa dan memohon semoga ibadah kami dipermudahkanNya dan segala amalan kami diterimaNya. aku berniat tawaf umrah sebanyak tujuh pusingan dan mula bergandingan dengan suami di dalam jutaan jemaah manusia. Walaupun belum masuk musim haji jutaan jemaah telah membanjiri masjidilharam dan baitullah.Semuanya datang menjadi tetamuNya dengan niat yang satu iaitu mengabdikan diri kepadaNya serta menunaikan syiar yang telah ditetapkanNya sejak zaman nabi Ibrahim dan zaman Rasulullah saw sehinggalah berakhirnya dunia ini.

"Abang boleh ke tawaf kat bawah ni?". Aku bertanya sambil memandang wajah suami yang berkerut menanggung kesakitan. "Insyallah...boleh". Jawab suamiku dengan yakin. Kami sudah menamatkan satu pusingan mengelilingi kaabah dalam keadaan  diasak dan dihimpit oleh ribuan malah jutaan jemaah hingga aku hampir terjatuh di pinggir tangga. Dalam keadaan kaki suami yang sakit dia tetap berusaha memegang lenganku supaya kami tidak terpisah dalam lautan jemaah itu. Beberapa kali kami dilanggar dan kaki suami dipijak, aku menjadi semakin bimbang dan tidak khusyuk untuk mengerjakan tawaf.

Aku merasakan nafas semakin sesak dan sukar lagi mendapatkan udara apabila dikiri, kanan, depan dan belakang jutaan  jemaah berjalan dan bergerak dalam keadaan ditolak. Pegangan tangan suami kadang-kadang terlepas disebabkan ditolak dan dihimpit jemaah lain. Aku sudah sampai ke tahap sesak nafas dan dihambat kebimbangan. Airmata tidak henti-henti mengalir ke pipi. "Ya Rabbi selamatkan kami.... Mudahkan ibadah umrah kami Ya Allah"...Itulah doaku tidak putus-putus. 

Suamiku seperti memahami keadaanku yang sudah panik kerana kelemasan berada dalam jutaan jemaah itu, ditambah lagi dengan keadaannya yang sakit dan tidak mampu mengawal diriku dari dilanggar dan dihimpit jemaah yang berjuta itu. Dia mengajakku keluar dari situ dan mengambil keputusan menyempurnakan lima pusingan tawaf lagi di tingkat atas bangunan masjidilharam. Barulah aku dapat menumpukan sepenuh jiwa raga terhadap Allah dan ibadah tawaf ini dengan khusyuk dan tawadhuk.

Aku menarik nafas lega dan bersyukur kepada Allah kerana sempat keluar dari kemelut kesesakan yang hampir memudaratkan diri dan suamiku. Aku berterima kasih padaNya kerana masih memberi peluang untuk aku menghirup udara di tanah suci ini. Aku menyembamkan dahi ke bawah setelah selesai menunaikan tawaf umrah tanda syukur tidak terhingga di atas rahmatNya kepada kami. Walaupun dalam keadaan suami yang mengheret kakinya kami berjaya menyempurnakan tawaf secara perlahan-lahan dan tenang tanpa mengalami kesesakan dan dihimpit seperti di bawah tadi. Bagiku biarlah ibadah yang hanya sekali seumur hidup ini dapat kutunaikan dengan sempurna dan penuh ketenangan dan kekhusyukan tanpa gangguan yang boleh melalaikan hati dari mengingatiNya yang Esa.

Sepanjang tawaf dan sa'ie bibirku tidak pernah berhenti  berdoa memohon hidayah, keampunan, kesejahteraan dan kesihatan buatku, suami, kaum keluarga, sahabat serta seluruh umat nabi Muhammad seluruh dunia ini. Aku meletakkan kakiku di atas batu-batu pejal yang menjadi tanda sebagai bukit Marwa dan memohon doa kepadaNya. Aku mengeluarkan buku catatan kecil dari beg sandang dan berdoa  khusus untuk ibuayah, mertua, keluarga dan sahabat-sahabatku. Airmataku menitik lagi apabila mengenangkan sejarah Hajar yang mengendong anaknya nabi Ismail berlari-lari antara Safa dan Marwa mencari air di tengah-tengah padang pasir gersang. Sejarah itulah yang menjadi syiar umat hari ini  mengerjakan sa'ie antara Safa dan Marwa.

Bersambung....

25‏/11‏/2010

Kusahut PanggilanMu-Bahagian 2

Setelah menempuh perjalanan selama sehari semalam dan beberapa kali berhenti untuk menunaikan solat serta mengisi keperluan harian jemaah seperti makan dan sebagainya, akhirnya pada malam hari berikutnya kami tiba di bumi Madinah. Tarikh kami bertolak dari pekan Mafraq ialah 8 haribulan November dan malam 9 haribulan, kami tepat tiba ke destinasi pertama iaitu Madinah. Kesyukuran tidak terhingga kepada Allah swt kerana perjalanan kami dipermudahkan dan lancar tanpa mengalami sebarang kesulitan.Tempat penginapan kami juga berhampiran dengan Masjid Nabawi. Aku menginap di dalam bilik hotel penginapan dengan tiga orang teman jemaah wanita, seorang kawan yang belajar di Universiti  Alilbayt dan dua lagi teman bangsa arab. 

Keesokan paginya sebelum azan subuh berkumandang dari masjid nabawi, aku sudah bangun dan mensucikan diri, menyarung telekung dan menuju ke masjid nabawi bersama suami dan jemaah yang lain. Tidak putus-putus aku mengucapkan zikrullah, pujian dan selawat ke atas Nabi  Muhammad saw. Aku sempat menyempurnakan solat tahiyyatul masjid, solat tahajud dan taubat sebelum muazzin mengumandangkan azan tanda masuknya waktu subuh. Airmata keinsafan dan kesedihan mengalir laju tidak mampu kutahan lagi. Aku sesungguhnya sangat terharu dan bersyukur kerana doaku semasa menunaikan ibadah umrah beberapa bulan yang lalu telah dimakbulkan Allah. Hajat dan impianku untuk datang lagi mengunjungi dan menziarahi Rasulullah saw dan beribadah berhampiran rumah baginda saw telah Allah kabulkan. Begitu juga harapanku untuk menjadi tetamu Allah dan menyempurnakan rukun islam kelima juga hampir terlaksana.

Aku berulangkali sujud syukur di atas anugerah Allah yang tidak mampu kubayar ini. Aku juga berdoa semoga impianku untuk memasuki maqam Rasulullah dan berdoa di raudhah juga dimakbulkan. Jemaah yang akan menjadi tetamu agung Allah musim haji ini begitu ramai sekali. Masjid nabawi sentiasa penuh setiap waktu dan ketika walaupun bukan masa solat, jemaah lelaki dan wanita sampai melimpahi kawasan luar dan halaman  masjid. Masya-Allah ramainya hambaMu ya Allah, ramainya umatmu ya Rasulullah, bisikku sendirian.

Alhamdulillah walaupun menempuh perjalanan panjang tetapi aku diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid nabawi, cuma hari kedua aku diuji dengan sakit kepala yang bersangatan kerana perubahan cuaca. Di Jordan musim sejuk telah bermula namun di Madinah pula musim panas dan suhunya agak tinggi. Perbezaan cuaca di kedua tempat ini menyebabkan aku mengalami kejutan  namun tidak sampai terlantar demam berpanjangan. Hanya sewaktu magrib hari kedua aku tertinggal untuk solat di masjid nabawi kerana mengalami sakit kepala. Aku mengambil keputusan tidak mahu mengambil ubat yang sentiasa kuambil bila ditimpa maigrain. Sebaliknya aku minum air zamzam dan berdoa semoga segala penyakit yang kualami disembuhkan oleh Allah dan aku dapat mengabdikan diri kepadaNya selama aku berada di bumi Madinah dan Makkah nanti.

Waktu pagi  selepas selesai solat subuh adalah telah ditetapkan kepada jemaah wanita untuk menziarah makam  Rasulullah dan sahabat rapat baginda iaitu Abu Bakar al-Siddik dan Umar al-Khattab, di samping itu juga berpeluang berdoa di raudhah iaitu tempat yang terkenal sebagai mustajab doa. Raudhah terletak berhampiran dengan makam nabi Muhammad. Jemaah wanita yang mencecah  jumlah ribuan orang dari awal lagi berkumpul secara berkumpulan untuk menziarahi makam Rasulullah ini. Aku mengambil keputusan untuk turut serta walaupun terpaksa menunggu dalam masa yang agak lama.

Ibadah haji mengajar manusia tentang erti sebuah kesabaran kerana ia hanya sekali difardukan seumur hidup. Perlu bersabar menghadapi pelbagai sifat dan kelakuan umat manusia yang datang dari pelbagai negara seluruh dunia. Oleh itu diri dan jiwa perlu dididik supaya bersabar menghadapi segala ujian dan dugaan yang berlaku dan bakal berlaku. Bila mengingatkan semua ini aku cuba belajar bersabar dengan sikap-sikap hamba Allah yang kadang-kadang Allah datangkan kepadaku untuk menguji kesabaranku.

Aku menyedari dari awal lagi Allah banyak mengujiku semenjak perjalanan dan memasuki Madinah dengan sifat manusia yang pelbagai ragam. Di tolak, diasak, dikasari dengan perkataan dan sukar untuk diceritakan telah terjadi padaku. Kuyakin Allah  hendak mengujiku kerana ingin mengangkat kedudukanku. Itulah peganganku selama aku berada di bumi Madinah dan Makkah, akanku kekalkan sifat ini sehingga kumenghembuskan nafas terakhirku. Alhamdulillah aku masih diberi kesabaran menghadapinya dan mengambil sikap berdiam diri dan memerhati serta mengambil pengajaran di atas segala yang terjadi terhadapku. Aku sentiasa membasahi lidah dengan alunan ayat al-Qur'an dan zikrullah di samping selawat terhadap kekasih Allah.

Setelah hampir dua jam menunggu akhirnya jemaah yang kusertai dapat memasuki makam Rasulullah walaupun tidak sampai betul-betul ke sisi makam kerana di sana telah berkumpul jemaah dari pelbagai negara. Kedengaran jeritan dan tangisan jemaah wanita yang tidak mampu menahan diri tanda kerinduan dan kecintaan kepada junjugan tercinta Rasulullah saw. Di sini semua jemaah wanita dari pelosok dunia berkumpul dan ada antaranya  golongan Syiah yang berfahaman melampau yang mengambil masa agak lama berada di kawasan makam Rasulullah sambil merintih dan berteriak, mereka juga berlama-lama berkumpul di raudhah yang sempit itu.

Aku hanya berdiri dan tetap tenang memberi salam kepada Rasulullah dan tidak lupa juga menyampaikan salam yang dikirim kepada Rasulullah dari ibuayahku, ibu mertua, abang dan teman-temanku.
Airmata menitis lagi saat kumengucapkan salam kepada Rasulullah, tidak tergambar dengan kata-kata betapa aku menjadi terharu, pilu, rindu dan gembira kerana merasakan Rasulullah begitu dekat denganku dan seolah-olah aku seperti melihat Rasulullah sedang tersenyum menjawab salamku serta salam jemaah wanita lain. Di situ juga kumemberi salam kepada saidina Abu Bakar dan saidina Umar ra.

Belum kusempat memasuki raudhah yang bersebelahan makam Rasulullah dibelakangku ratusan jemaah yang tidak sabar menunggu giliran telah berasak-asak dan menghimpit. Aku yang pernah mengalami gangguan pernafasan dan sesak nafas merasakan memang tidak mampu berada dalam keadaan kesesakan melampau itu cepat-cepat keluar dari suasana yang tidak diingini. Prinsipku tidak ingin menyakiti dan menghimpit atau mengasak orang lain dan memberi peluang dan ruang  kepada jemaah lain untuk memberi salam kepada Rasulullah.

Aku hanya mampu berdoa tanpa berpeluang masuk ke Raudhah yang telah dibanjiri ratusan malah ribuan jemaah itu. Hanya airmata kerinduan dan sujud kesyukuran kupersembahkan di sebelah ruang raudhah yang sempit itu semoga Aku, suami, anak-anak, kaum keluarga, sahabat handai serta umat Muhammad di seluruh dunia akan mendapat syafaat Rasulullah pada hari yang tidak berguna segala harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang kepada Allah dalam keadaan hati yang suci bersih.

Tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata aku keluar dari kawasan makam nabi dengan hati yang sangat pilu, sedih, terharu, rindu, gembira dan pelbagai perasaan bercampur baur. Aku menemui suami yang sentiasa sabar menungguku dalam masa yang agak lama selama kumengunjungi makam Rasulullah tersebut. Suami memujukku setelah aku memberitahu bahawa aku tidak sempat masuk tepat ke kawasan raudhah disebabkan lautan jemaah begitu ramai sekali. "Biarlah sayang...Allah Maha Mendengar segala doa hambaNya dan Rasulullah saw juga sudah dengar salam sayang...berdoa di Raudhah sunat...kita tidak perlu menyakiti orang lain disebabkan pahala sunat, kalau berpeluang boleh masuk tapi sekarang musim haji orang sentiasa ramai". Hatiku menjadi tenang dan tidak sampai terkilan berpanjangan bila mendengar nasihat dan pujukan suamiku itu.

Aku yakin Allah sentiasa ada dekat denganku dan mendengar segala rintihan taubat dan doaku. Aku juga yakin Rasulullah walaupun telah wafat tetapi ruhnya sentiasa ada di sekeliling masjid nabawi kerana di dalam masjid itulah rumahnya dan makamnya. Rasulullah sangat menyintai dan mengasihi umatnya. Airmata mengalir lagi ke pipiku bila mengenangkan bagaimana perjuangan dan pengorbanan Rasulullah terhadap umatnya yang tercinta. Aku menjadi terlalu sensitif dan tanpa dipinta airjernih sentiasa bergenang di kelopak mata selama aku menjejak kaki di tempat yang pernah dijejaki oleh Rasulullah dan para sahabat ra ini.

Suami mengajakku ke restoren berdekatan dengan masjid dan kami makan bersama. Dia juga membawaku berjalan di  gerai-gerai jualan yang berderetan di sepanjang jalan termasuk juga di bawah lobi hotel. Aku membeli tamar nabi sebagai buahtangan kepada jiran-jiran nanti dan tidak lupa membeli barang permainan kepada anak-anak. Penduduk asal Madinah memang ramahtamah dan baik pekertinya. Penjual juga boleh berbahasa melayu walaupun penguasaannya dalam jumlah yang kecil. Aku tersenyum sendiri apabila suami bertanya harga barangan mereka menjawab dalam bahasa melayu. Inilah kesatuan ummah dan musim haji telah menyatukan hati serta bahasa dari pelbagai bangsa.

Bersambung....


24‏/11‏/2010

Catatan Sebuah Perjalanan-Kusahut PanggilanMu-Bahagian 1

Aku menerima khidmat pesanan ringkas daripada suami memberitahu visa untuk mengerjakan ibadah haji telah diluluskan. Tanpa dipinta airmata gembira bercampur sedih membanjiri pipiku. Aku memerhati dan merenung wajah-wajah mulus cahayamataku seorang demi seorang. Betapa sedihnya untuk meninggalkan mereka walaupun pemergianku ke Madinah dan Makkah hanya untuk musim haji iaitu lebih kurang dua minggu sahaja. Hanya doa yang aku panjatkan kepada Ilahi semoga anak-anakku dilindungi dan kami diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi perpisahan hanya untuk beberapa hari ini.

Masa untuk bertolak ke Madinah telah tiba. Pagi itu aku bangkit awal dan sempat menunaikan solat tahajud diiringi solat sunat hajat dan bibirku tidak putus-putus memohon kepada Allah swt semoga perjalananku bersama suami dan rombongan pelajar lelaki dari Universiti Alilbayt serta sahabat-sahabat dari kalangan bangsa Arab selamat dan tidak menghadapi aral rintangan. Aku juga memohon supaya anak-anakku sanggup hidup bersama abang saudaranya selama beberapa hari tanpa sebarang kesulitan dan mereka diberi kesejahteraan selama ketiadaanku dan bapanya. 

Aku hanya pasrah kepada Allah kerana segala yang berlaku adalah didalam kehendak dan kuasa Allah belaka. Mungkin ini kali terakhir aku bersama anak-anak, terlintas juga di fikiran ini namun aku cepat-cepat beristighfar dan cuba berfikir positif. Aku berkali-kali berdoa semoga aku dan suami masih diberi kesempatan untuk menunaikan amanahNya membesarkan zuriat kami dan mendidik mereka menjadi hamba Allah yang taat. Aku yakin Dia Yang Maha Mengetahui dan menerima segala doa ikhlasku ini. Amin ya Rabb.

Aku bergegas ke dapur menyiapkan makanan anak-anak dan untuk bekalan di dalam perjalanan. Aku masih sempat memasak nasi, menggoreng ayam  dan membuat sup yang menjadi kegemaran anak-anakku. Aku menghidang menu yang baru siap dimasak dan  makan berjemaah bersama-sama suami dan anak-anak sambil menyeka air jernih dari berguguran ke pipi. Tidak sampai hati rasanya seorang ibu untuk meninggalkan anaknya tapi demi seruanMu yang sudah sampai Ya Allah aku akan tabah menghadapinya. Setelah selesai makan kami masih mempunyai setengah jam untuk membuat persiapan akhir.

Suami mengajakku mendirikan solat dhuha dan solat hajat berjemaah. Sepanjang solat air mata mengalir laju tanpa mampu kutahan lagi. "Ya Allah hanya kepadaMu kumohon segala pertolongan dan hajat....Engkau selamatkan dan peliharalah anak-anak kami, sesungguhnya Ya Allah engkau sebaik-baik pemelihara, ampuni segala dosa-dosa kami, kini telah tiba masanya kami menyahut panggilanMu ya Allah, selamatkan perjalanan kami dan jauhilah kami dari segala bala bencana, kejahatan jin dan manusia". Itulah antara doaku di pagi itu.

Coaster yang membawa para jemaah sudah tiba di hadapan rumahku. Aku memeluk anak-anak seorang demi seorang, wajah anak-anakku tidak menunjukkan kesedihan, sebaliknya wajah penuh ketenangan seolah-olah memahami kehendak Allah  bahawa kedua ibuayahnya akan pergi menyahut panggilan Ilahi hanya seketika cuma. Aku yang sedih dan pilu kerana terpaksa meninggalkan si kecil yang masih menyusu untuk pertama kali, sebelum ini tidak pernah kami berpisah. Namun aku jadi hairan kerana pagi itu si kecil juga tidak menangis malah bila kudakap dan cuba menyusukannya dia menolak dan meronta  turun dari ribaanku. Ya Allah aku bersyukur kerana Engkau memberi kesabaran dan mempermudahkan segala urusan anak-anakku di sini.

Bas yang akan membawa kami telah tiba untuk mengambil jemaah di pekan Mafraq. Jemaah haji dari kalangan orang Arab telah memenuhi tempat duduk di bahagian hadapan, kami diberi tempat yang hampir dengan tangga tengah bas. Alhamdulilah, bisikku sendirian, bagiku itulah sebaik-baik tempat, tidak terkebelakang dan tidak juga kedepan. Elok juga jemaah mereka diberi tempat duduk di bahagian hadapan, ini kerana mereka kebanyakkannya sudah agak berumur dan sudah lanjut usianya, ada yang telah mencecah usia 60 hingga 70-an. Bas meneruskan perjalanan setelah amir  (ketua rombongan) membaca doa menaiki kenderaan dan memberi taklimat ringkas berkenaan perjalanan kami.

Suami yang duduk di sebelahku banyak memberiku kekuatan agar tidak bersedih dan memberi nasihat supaya aku  tabahkan hati untuk meneruskan niat suci ini. Wanita Islam dilarang bermusafir dan menunaikan ibadah haji tanpa mahram. Oleh itu semua jemaah wanita yang hendak pergi menunaikan ibadah haji dan memasuki tanah haram perlu bertemankan suami atau anak lelaki. Semua jemaah wanita dalam rombongan kami adalah dari kalangan bangsa arab kecuali aku dan seorang  pelajar Mafraq yang ditemani suaminya. Rombongan kami tidak ramai jemaah wanita dari bangsa Melayu kerana pasangan-pasangan  lain mengikuti rombongan yang lain.

Setelah perjalanan sejauh 70 km dari Amman  kami singgah seketika bagi menunaikan solat zuhur secara jama' taqdim. Kami sempat makan tengahari dan membeli sedikit biskut dan air minuman sebagai bekalan dalam perjalanan yang  mengambil masa selama 24 jam. Aku tidak dapat tidur nyeyak dalam bas, hanya merehatkan badan dalam keadaan duduk. Ingatan terhadap anak-anak di rumah masih sukar untuk diluputkan dari fikiran. Bila wajah anak-anak bermain di mata, tanpa dipinta air jernih mengalir di pipi. Aku melihat suamiku hanya tenang di sisiku. Itulah perbezaan lelaki dan wanita. Walaupun suami juga tentu sedih meninggalkan anak-anak tapi dia masih mampu mengawal dirinya. Aku pula jenis yang sensitif dan terlalu mengikut perasaan sedih menghadapi perpisahan, risau serta bimbang tentang keadaan anak-anak yang ditinggalkan. Itulah fitrah dan naluri keibuan yang meronta dalam diriku saat ini.   

Perjalanan kebanyakkannya merentas padang pasir, bukit batu pejal, tanah kosong gersang tanpa penghuni atau hidupan. Ya Allah betapa agungnya kuasaMu mencipta bumi ini, semuanya tersirat hikmahnya tersendiri . Tiba-tiba suami bersuara memecah kesunyian petang yang rembang. "Cuba fikir bagaimana agaknya Rasulullah saw pergi berniaga di Syam merentas padang pasir yang kering kontang, bukit batu, hanya dengan berjalan kaki dan menaiki tunggangan unta?". Aku menjawab, "Betul tu abang...jauhnya Rasulullah berjalan kan...dari Makkah ke Syam...kesiannya Rasulullah ...".Aku menangis lagi bila mengenangkan  Rasulullah dan kesukaran yang dihadapi baginda. Terasa baginda Rasulullah semakin hampir denganku disaat aku merintih menyebut namanya dan berselawat ke atasnya.

Bumi Syam ialah tempat kami bermastautin sekarang iaitu jordan dan termasuk juga Syria. Tiba-tiba terbayangkan musafir Rasulullah sebagai pedagang yang terpaksa melalui perjalanan sukar dan dalam jarak yang jauh. Ya Rasulullah, begitu tabahnya jiwamu, sanggup menempuh segala ujian dan halangan  semata-mata untuk melihat umatmu mendapat rahmat cahaya dan syafaat.  Kerinduanku kepada Pesuruh Allah itu semakin menggamit hatiku. Ingin rasanya terus duduk bersimpuh di dalam rumah Rasulullah dan di dekat makamnya.

Madinah seolah-olah melambaiku agar cepat sampai, masjid nabawi yang tersergam seumpama nur yang melimpah cahayanya ke bumi Madinah yang penuh bersejarah dengan kisah-kisah perjuangan Rasulullah dan para sahabat menyebarkan dakwah dan kasihsayang sesama umatnya. Rinduku semakin memuncak apatah lagi bila tergambar kaabah (baitullah) yang tersergam indah dan syahdu di dalam Masjidil Haram. Ya Allah semoga perjalanan kami selamat dan sempat mengabdikan diri sepenuh jiwa raga kepadaMu...itulah bisikku di malam hening.

Bersambung


06‏/11‏/2010

Mahir Zain - For the rest of my life - Arabic Subtitle -Setinta kasih buatmu bergelar suami/isteri



Tinta Kasih Buatmu Bergelar Suami/Isteri

Tidak terungkap dengan bicara
syukurku kepada yang Esa
dipertemukan dengan dirimu
saatku butuhkan cinta, saatku perlukan bimbingan
saatku digamit kesepian, saatku dihimpit kekecewaan

Engkau hadir dalam hidupku
dengan penuh keikhlasan cintamu
mendekatkan diriku yang alpa
lebih hampir kepadaNya
mengenalkanku cintaNya yang hakiki
pengertian cinta sejati abadi

Perhatianmu, kasih sayangmu, cintamu
pengorbananmu,  kesetiaanmu,  janjimu
biarlah menjadi saksi  perhubungan ini
tidak perlu kuragui lagi
tidak perlu kurahsiakan lagi

Kisah cinta abadi kita seumpama
cinta  adam dan hawa
cinta balkis dan sulaiman
cinta zulaika dan yusuf
cinta khadijah dan muhammad

Dikau memaut diriku bergandingan denganmu
memahami naluri perasaan halusku
menghiburkanku di saat kesedihan
menemaniku di saat keseorangan
sehingga akhirnya kita sentiasa bersama

Kesusahanku kesusahanmu
hilai tawaku kegembiraan di hatimu
kebahagiaanku kebahagiaanmu jua
kejayaanmu hadiah buatku
sebagai saksi mahar cinta kita

Ku berjanji setia di sisimu
walau di mana engkau berada
walau apa jua rintangan halangan
ku berjanji akan pertahankan
cinta suci kurniaan ilahi
sehingga ke hujung nyawaku ini


04‏/11‏/2010

Maher Zain - For The Rest Of My Life with Lyrics

Tinta kasih buatmu bernama suami/isteri

Tidak terungkap dengan bicara
syukurku kepada yang Esa
dipertemukan dengan dirimu
saatku butuhkan cinta saatku perlukan bimbingan
saatku digamit kesepian saatku dihimpit kekecewaan

engkau hadir dalam hidupku
membawaku lebih hampir kepadaNya
mengenalkanku cintaNya yang hakiki
membawaku lebih mengerti
erti cinta sejati abadi

perhatianmu kasihsayangmu cintamu
pengorbananmu  kesetiaanmu  janjimu
biarlah menjadi saksi  perhubungan ini
tidak perlu kuragui lagi
tidak perlu kurahsiakan lagi

kisah cinta abadi kita seumpama
cinta hawa kepada adam
cinta balkis kepada sulaiman
cinta zulaika kepada yusuf
cinta khadijah kepada muhammad

dikau memaut diriku bergandingan denganmu
memahami naluri perasaan halusku
menghiburkanku di saat kesedihan
menemaniku di saat keseorangan
sehingga akhirnya kita sentiasa bersama

kesusahanku kesusahanmu
hilai tawaku kegembiraan di hatimu
kebahagiaanku kebahagiaanmu jua
kejayaanmu hadiah buatku
sebagai saksi mahar cinta kita

ku berjanji setia di sisimu
walau di mana engkau berada
walau apa jua rintangan halangan
ku berjanji akan pertahankan
cinta suci kurniaan ilahi
sehingga ke hujung nyawaku ini





02‏/11‏/2010

Pasrahku atas KetentuanMu-Bahagian 3

Ika menyusuri jalan untuk masuk ke kawasan  flat yang didiami dengan tiga orang rakan yang sama-sama menyewa di situ, sudah hampir setahun dia menyewa di kawasan perumahan flat yang terdapat kemudahan pengangkutan utama untuk ke pejabatnya. Dia menekan lif dan menuju ke tingkat 6 flat tersebut. Ika mengambil kunci dari beg tangannya dan membuka pintu rumah. Dia tidak ingin mengganggu kawan-kawannya yang mungkin sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja masing-masing.

Namun Ika tetap mengetuk pintu dan memberi salam tanda memberitahu bahawa dia sudah sampai. "Assalamualaikum". dia menyapa lembut. "Wa'alaikumussalam...Oh, Kak Ika dah sampai, Zuri ingatkan akak terus pi ke tempat keja". Zuri  menjawab salam dan nampak ceria wajahnya apabila melihat wajah Ika tersembul di muka pintu. Ika hanya tersenyum. "Hari ni akak masih bercuti Zuri". Zuri yang siap berpakaian dan bertudung kelihatan manis sekali pagi itu, di tangannya sudah bersedia  beg tangan dan beg laptopnya, dia meletakkan beg-beg tersebut di atas  meja dan  menuju ke arah Ika, Zuri  terus memeluk sambil mencium tangan Ika. Ika membalas balik pelukan rakan yang sudah dianggap seperti adiknya.

Zuri adalah seorang gadis yang berasal dari selatan tanah air, dia bekerja sebagai Pegawai eksekutif di sebuah syarikat pengiklanan terkemuka. Seorang yang lemah lembut dan peramah. Hanya dia yang paling rapat dengan Ika di rumah tersebut. Dia suka menceritakan masalah dan berkongsi kisah suka dukanya dengan Ika. Dia amat sayangkan Ika dan dia sanggup menolak untuk berpindah ke cawangan baru di negerinya semata-mata tidak sanggup berpisah dengan Ika. Ika pun pelik kenapa dia terlalu disenangi dan disayangi Zuri. Apabila Ika berjenaka hendak pindah ke rumah yang baru dibelinya, Zuri terus menarik muka sedih dan mencuka. Ika pun sebenarnya suka berkawan dengan Zuri dan sebagai seorang yang lebih berusia dia merasakan Zuri terlalu menghormati dan mengagumi dirinya.

Ika memang sukar untuk rapat dan mesra dengan seseorang tapi apabila ada rakannya datang meminta nasihat atau berkongsi cerita , Ika tidak keberatan membantu dan menolong sedaya mungkin. Bagi Ika, dia sangat bersyukur kerana Zuri yang berasal dari keluarga yang  ternama tetapi berperibadi luhur, tidak meninggi diri dan yang paling Ika terharu adalah apabila melihat Zuri sangat menjaga sembahyang dan auratnya semasa keluar rumah. Zuri yang mendapat pendidikan di England tetapi sikap dan peribadi mulia yang dimiliki gadis itu adalah satu dalam seribu, ini kerana sikap Zuri jauh berbeza dengan seorang lagi rakan serumahnya iaitu Syida.

"Ok, akak... Zuri pi dulu err...oh ya...jangan lupa simpan buah tangan yang akak bawa tu...karang ade orang tu merajuk pulak...hehe". Zuri yang suka menyakatnya bergurau sebelum melangkah keluar pintu depan. "Ok cik adik".Ika membalas gurauan Zuri sambil menjeling manja. Baru sahaja Ika nak menanggalkan tudungnya apabila pintu hadapan diketuk bertalu-talu dari luar. Jantung Ika berdebar serta merta dan berdegup kencang. Siapa pula pagi-pagi ni?, bisiknya sendiri. Ika cuba mengintai di sebalik bulatan kecil didepan muka pintu tersebut, akhirnya dia menarik nafas lega. Dia menekan tombol pintu dan belum sempat  nak menegur, gadis di luar itu terus menerpa masuk dan hampir melanggarnya. Tiba-tiba dari belakangnya dia mendengar gadis itu mendengus kasar dan membebel seorang diri. Ika mengucap istighfar di dalam hatinya. Dia sebenarnya sangat terkilan dengan sikap rakannya yang seorang ini. Ya Rabbi bila dia nak berubah?. Ya Allah berikanlah hidayah pada sahabatku ini.

Ika yang ingin masuk ke biliknya untuk berehat setelah satu malam berada dalam bas membatalkan  niatnya apabila mendengar esakan kuat dari bilik sebelah. Ika terus meluru dan mendapatkan Syida yang menangis di birai katil, rambutnya yang perang  berikat kemas semasa masuk ke rumah tadi kusut masai jadinya.

Ika mengambil tempat duduk di sebelah Syida dan  menyentuh bahu gadis itu sebagai tanda memujuk dan simpati. " Penipu, kau manusia bertopengkan syaitan...aku benci kau". Ika terkejut dengan jeritan nyaring syida."Syida, sabar..bawa mengucap, ingat Allah...sebenarnya ape yang terjadi?".Ika cuba lagi memujuk dengan suara lembut, dalam hatinya berdoa agar Syida tidak lagi bertindak agresif atau seolah-olah dirasuk seperti tadi.

Alhamdulillah Ika mengucap syukur kepada Tuhan di dalam hatinya apabila Syida hanya teresak-esak menangis sambil menekup mukanya dengan kedua belah tangannya."Saya malu Kak Ika...saya malu dengan keluarga ...saya telah menconteng arang ke muka mereka..". Ika memegang tangan Syida, dia merasa simpati terhadap Syida. Selama setahun dia menyewa di rumah itu dengan Zuri, Syida dan Hana. Rakan serumah yang bernama Hana selalu kerap outstation dan jarang berada di rumah tersebut, cuma hujung minggu atau beberapa hari dalam seminggu dia bertugas di pejabat dan bermalam di rumah sewa itu, selebihnya masa dia banyak diluar daerah.

Ika sudah lama kenal sifat dan perangai tiga orang rakannya.Yang paling Ika merasa sangat bersalah ialah apabila sikap syida yang suka berkawan dengan lelaki dan keluar berdua-duaan  sampai jauh malam baru balik ke rumah. Ika dan Zuri sudah berkali-kali menegur sikap Syida itu atas rasa tanggungjawab sebagai saudara kerana mereka tinggal serumah dan seperti sebuah keluarga.

Teguran dan nasihat tersebut dibalas dengan kata-kata kasar dan menyakitkan hati dan telinga sesiapa yang mendengarnya."Korang tak usah nak masuk campur urusan aku...aku sudah besar dan tahu jaga diri...Mak bapak aku tak pernah tegur...korang ni sape yang pandai mandai nak jaga tepi kain aku?". Itulah jawapan Syida dengan penuh kemarahan dan kesombongannya apabila Ika menegur supaya jangan keluar waktu malam dengan teman lelakinya, sementelah lagi Syida keluar dengan lelaki yang sentiasa bertukar-tukar itu.

Ika takut sesuatu yang tidak diingini akan terjadi kepada syida, gadis genit yang senegeri dengan Ika itu tidak dinafikan seorang yang cantik dan menarik, memiliki darah campuran siam dan hindu, berhidung mancung, berkulit kuning langsat dan bermata sepet. Ika juga kasihankan Syida yang tidak pernah dilihat bersembahyang dan bersuci dengan betul. Ika merasa ada tanggungjawab besar yang terpikul ke atas bahunya setelah memasuki rumah itu.

Pada minggu pertama dan kedua dia di situ, hatinya terasa tidak keruan memikirkan sikap rakan serumahnya yang terlalu jauh menyimpang dari ajaran agama.Dia sudah mula berfikir-fikir untuk mencari rumah sewa yang lain, namun niat tersebut terpaksa ditunda disebabkan permintaan Zuri supaya Ika sudi menemaninya dan sama-sama membimbing dan mengajak Syida kembali ke pangkal jalan.

Ika sebenarnya sangat terkilan kerana Syida tidak menghormati dirinya dan rakan yang lain, tanpa mengira waktu, jika dia di rumah alunan muzik dan lagu-lagu akan dipasang dengan kuat walaupun rakan yang lain sedang menunaikan sembahyang atau ingin berehat, sikapnya yang mementingkan diri sendiri dan sombong tidak disenangi oleh Zuri dan Hana. Perbuatan Syida yang paling melampau ialah apabila berani mengajak teman lelakinya masuk ke rumah sewa mereka pada satu malam semasa Ika dan Hana tiada di rumah.

Malam itu adalah malam sambutan kemerdekaan. Kebetulan abang Ika yang berada di kota tersebut menjemputnya ke rumah kerana ada  kenduri doa selamat. Hana pula seperti kebiasaannya bertugas di luar daerah, hanya Syida dan Zuri berada di rumah tersebut. Zuri yang kepenatan kerana tugasan yang banyak di pejabat terus merehatkan badannya di bilik, dia yang sebilik dengan Ika hanya sendirian tidur pada malam itu.

Sudah menjadi kebiasaan Zuri sendirian kerana Ika pernah juga tinggalkan dia apabila pulang ke kampung atau bertugas di luar daerah. Syida pula memilih satu bilik yang kecil, dia tidak suka bercampur dengan orang lain dan tidak suka ada orang masuk campur urusannya. Bilik Hana pula sentiasa berkunci disebabkan tuannya tiada.

Lebih kurang pukul  dua pagi  Zuri terkejut dan terbangun apabila terasa ada seorang lelaki menceroboh biliknya. Dia yang hanya bergaun tidur menjerit apabila lelaki yang seperti  mabuk itu cuba memeluk dan mencium pipinya, Zuri yang didalam kebimbangan diberi kekuatan oleh Allah dan akalnya bertindak pantas, dia menjerit kalimah 'AllahuAkbar' sekuat hati dan menendang tubuh lelaki itu, lelaki itu terjatuh ke bawah katil, tanpa berfikir lagi Zuri terus menghayun lampu kaca ke kepalanya  sehingga lelaki itu jatuh pengsan.

Dalam keadaan masih terkejut tiba-tiba Zuri nampak Syida  muncul di depan pintu biliknya. Syida hanya selamba melihat wajah Zuri yang menggigil ketakutan bercampur marah. Namun yang menjadikan Zuri makin membuak-buak kemarahannya apabila Syida menyindir dan berkata kesat kepada Zuri."Zuri... you tak payah nak tunjuk alim la...you tu bukannya tahu ilmu agama pun...you belum cuba cara i ni...kalau you dah cuba pasti you pun suka ...hahaha".

Zuri tidak menyangka bahawa lelaki tersebut sebenarnya adalah teman lelaki Syida yang sengaja dibawa masuk ke dalam rumah  itu untuk mereka berpoya-poya. Teman lelaki Syida yang mabuk itu apabila perasan  ada gadis lain dalam bilik tersebut terus menolak pintu yang tidak berkunci itu. Zuri keluar dari bilik itu sambil menangis. Dia mencapai baju kurung dan mengenakan tudungnya, terus beredar dari rumah tersebut dan pergi ke rumah kawannya yang kebetulan berdekatan dengan flat tersebut.

Zuri menangis sepanjang hari dan menceritakan peristiwa tersebut  kepada Ika. "Akak..balik segera kat sini...ada hal yang penting nak Zuri ceritakan kat akak".Ika dapat menduga ada sesuatu peristiwa yang tidak diingini sedang terjadi di rumahnya. Ini kerana suara Zuri yang seperti menahan tangisan dihujung talian telefon."Ok Zuri...petang ni akak balik...sekarang ni akak tak boleh tinggalkan majlis ni".

Ika melihat wajah Zuri yang muram dan kelihatan menahan kesedihan bercampur kemarahan."Akak...Zuri dah tak tahan dengan perangai dia tu". Ika memandang penuh perhatian ke wajah manis Zuri, dia masih dengan wajah tenang dan cuba mencari puncanya bertanya balik. "Siapa dia tu?" Tanya Ika. "Siapa lagi yang selalu buat hal kat rumah ni kalau bukan budak tu...".

Ika masih mendengar dan tenang air mukanya  melihat raut wajah Zuri yang sudah kemerah-merahan menahan marah. "Bertenang dulu Zuri... cuba ceritakan pada akak apa sebenarnya yang terjadi". Zuri menceritakan peristiwa malam tersebut dengan tangisan penuh perasaan, dimatanya terpancar kemarahan dan geram dengan sikap sambil lewa Syida padahal maruah dirinya hampir tergadai jika dia tidak bertindak pantas malam itu.

"Akak, Syida sudah melampau ...elok dia pindah aje dari rumah ni".Ika yang paling berumur dan matang daripada yang lain merasakan sesuatu tindakan yang bijak dan menguji kewibawaannya perlu diambil segera atas desakan Zuri. Namun dia perlu berhati-hati membuat keputusan yang melibatkan diri orang lain, maruah dan persaudaraan Islam antara mereka yang sudah hampir setahun hidup serumah. Ika memujuk Zuri agar bersabar dan mengajaknya untuk mendirikan solat hajat dan memohon yang terbaik di atas keputusan yang akan dibuat nanti.

Ika mengambil masa untuk berfikir dan mengkaji kebaikan dan keburukan untuk memutuskan Syida berpindah dari rumah sewaan itu. Cuti hujung minggu tersebut selepas dua hari peristiwa yang menyebabkan Zuri jadi trauma itu, Ika memutuskan untuk mengadakan mesyuarat bersama penghuni rumah itu, kebetulan Hana pun baru balik, pada malam itu Syida tidak keluar, dia hanya berkurung dalam biliknya sejak pagi, ke ruang tamu pun tidak dijejaknya, mungkin dia segan dan tahu semua orang sedang memerhati dirinya dan dia tahu kesalahan besar yang dibuat pada malam merdeka itu.

Ika masih di atas sejadah, memohon petunjuk dan pertolongan Allah agar keputusan yang dia buat tidak menzalimi semua rakannya. Dia tidak mahu menyakiti hati sesama sahabatnya, dan dia juga berharap keputusan itu nanti akan merubah kehidupan Syida supaya kembali mengenal diri dan bertaubat kepada Allah atas segala dosa-dosa yang dibuat dan kesalahannya terhadap Zuri. Dia juga tidak mahu dendam dan marah Zuri berpanjangan terhadap perbuatan melampau Syida. Dia berdoa agar Allah melembutkan hati semua rakannya dan memberi hidayah kepada mereka semua.

Malam itu Ika sengaja memasak untuk makan malam dengan menu yang lazat dan lebih banyak dengan harapan semua dapat merasainya. Syida yang pada mulanya tidak mahu makan bersama dipujuk oleh Ika dengan baik hingga akhirnya mereka dapat berkumpul selepas beberapa lama tidak berpeluang untuk menjalin kemesraan disebabkan kesibukan tugas masing-masing.

Selepas selesai makan Ika mengajak mereka semua duduk di bawah mengikut bulatan, bukannya duduk atas kerusi seperti kebiasaan."Sahabat semua...moga pertemuan kita malam ini akan dihadiri oleh Malaikat rahmat dan mendapat keredhaan Allah swt. Sama-sama kita sucikan hati dengan sifat ikhlas dan mahmudah, saling memaafkan. Kita hanya hamba Allah yang kerdil tidak memiliki apa-apa, semuanya adalah pinjaman, kepada Dia tempat kita kembali".

Kedengaran esakan Syida semakin lama semakin kuat. Rakan yang lain berusaha memujuk agar bertenang kerana mesyuarat dan keputusan belum lagi dibuat. Akhirnya Ika dengan kesepakatannya dengan Hana dan Zuri menangguhkan mesyuarat tersebut supaya Syida lebih tenang."Sudahlah Syida...jangan diikutkan  perasaan sangat...saya sudah maafkan segala perbuatan awak malam tu,saya doakan awak dapat hidayah Allah dan akan berubah". Mulianya hati Zuri, bisik Ika, begitulah sikap zuri sebenarnya yang lembut dan cepat memaafkan kesilapan yang agak besar dilakukan terhadapnya.

"Syida... Allah itu Maha pengasih dan pengampun, belum terlambat untuk awak bertaubat atas segala maksiat dan dosa yang dibuat...awak masih muda Syida". Hana yang jarang-jarang berada di rumah itu pun sebenarnya memiliki sifat terpuji, suka menolong dan  bersikap terbuka, jika ada masa dia tidak lokek untuk membantu dan memberi buah fikirannya. Ika mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat dan nasihat kedua rakannya itu.

Syida menangis teresak-esak sambil tangannya memaut tangan Zuri."Zuri maafkan saya...diri saya penuh dengan kotoran dosa, saya dah berkali-kali melakukan perbuatan terkutuk...tapi malam itu saya tidak berniat untuk menyeret awak sama... saya sedang mabuk...teman saya juga sedang mabuk...saya tidak sedar kata-kata yang telah saya  hamburkan pada awak...maafkan saya Zuri".

Ika yang hanya dari tadi memerhati drama sedih di depan matanya sudah tidak mampu menahan air jernih keluar dan mengalir perlahan menuruni pipinya. Dia tidak menyangka akhirnya hati-hati yang penuh dendam dan kemarahan sudah menjadi selembut sutera. Syida memeluk erat tubuh Zuri dan Hana menenangkan keadaan Syida yang  berada dikemuncak kesedihan itu.

Akhirnya Ika bersuara,"Syukurlah Allah telah memberi petunjukNya dan  jalan penyelesaiannya. Anggaplah masalah ini sudah selesai. Kita perlu memohon keampunan dengan Allah atas segala dosa jika ia berkaitan dengan hak Allah dan meminta maaf dengan manusia jika ada kaitan dengan manusia". Ika menarik nafas dan memerhati wajah seorang demi seorang rakannya.

"Syida...Kita tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah dan perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah swt. Yakinlah Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Syida, awak tidak keseorangan di rumah ini, anggaplah kami seperti keluarga awak, saya dan rakan lain harap awak akan berubah dan tidak lagi mengulangi kelakuan  awak seperti dahulu. Kami bersedia membimbing awak ke jalan yang diredhai Allah, pintu taubat untuk awak masih terbuka luas Syida".

Selepas Ika menuturkan kata-kata itu Syida memeluk erat tubuh Ika dan menangis seperti anak kecil. Keesokan harinya Syida kelihatan seperti gelisah di ruang tamu. Ika yang biasa bangun awal pagi dan menuju ke dapur terkejut kerana Syida memberitahunya untuk pulang ke negerinya beberapa hari kerana ada urusan keluarga.

Ika hanya menghantar Syida di depan  pintu rumah. Ika melihat Syida seperti menyembunyikan sesuatu kerana wajahnya yang tidak ceria dan tidak diwarnai dengan make-up seperti kebiasaannya. Syida mengenakan blouse yang agak kembang dan skaf  yang menutupi separuh rambutnya. Ika berdoa semoga syida akan berubah juga suatu masa nanti. Hati manusia di tangan Allah dan manusia lain tidak mampu untuk memaksa dan memagarinya kecuali hidayah dan petunjuk dari Allah terhampar buatnya, bisik hati kecil Ika.

Bersambung