Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

29‏/12‏/2010

Persepsi Manusia Berbeza.....Ujian Ke Atas Manusia Tidak Sama

Hati naluri manusia tidak sama, setiap manusia memang berbeza dari segi penciptaan jasad dan sifatnya. Begitu juga setiap orang tidak sama kebolehan akal (gerak kerja berfikir) atau intuisinya.

Walaupun demikian manusia dihantar dan dicipta di dunia adalah atas maksud dan matlamat yang sama. Sebagai khalifah yang diberi amanah oleh Allah untuk memakmurkan bumi, mengajak setiap jiwa mengakui keesaan Allah, menerima risalah tauhid dan menyeru kepada pengamalan Agama yang satu dalam setiap aspek kehidupan iaitu Islam sebagai cara hidup.Yang paling utama ialah sebagai hamba Allah, yang hanya mengabdikan diri kepadaNya semata-mata sebelum ajal tiba dan bertemu denganNya di akhirat nanti.

Tergerak naluri wanita ini untuk melahirkan perasaan simpati  kepada seorang sahabat saya yang juga seorang blogger yang terkenal   setelah beliau mengungkapkan bicara 'kau terbaik untukku' . Terus diajukan persoalan oleh seseorang  kepadanya "Apakah  bait 'Kau terbaik untukku' masih valid sekiranya si suami berpoligami?"

Sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak, apakah perasaan anda jika menerima ungkapan sebegini lebih-lebih lagi disaat baru sahaja menyambut ulangtahun perkahwinan yang melebihi sepuluh tahun. Tentu masing-masing ada jawapannya.

Saya begitu bangga  dan kagum dengan sahabat saya  yang begitu berani dan bijak dalam menuturkan bicara penuh hikmah berkaitan persoalan poligami. Tahniah kepadanya. Itulah asam garam dalam berdakwah dan menegakkan kebenaran. Akan ada ujian dan rintangannya. Tidak sedikit kata-kata sinis, sindiran pedas dan mengguris perasaan yang telah dan akan dilontarkan.


Saya tidak mahu memanjangkan bicara tentang poligami, ini kerana semua orang sudah mengetahui pengertian dan maksudnya. Ayat al-Qur'an sudah jelas menghalalkan poligami dan Rasulullah juga mengamalkan kehidupan berpoligami.

Saya juga pernah diajukan bertalu-talu pada suatu ketika apakah perasaan saya jika saya dimadukan dan apakah saya boleh terima jika saya ditakdirkan dimadukan. Pernah juga saya dikelilingi dengan persoalan poligami semasa bertugas dan semasa berada di kalangan keluarga dan sahabat yang mengamalkan poligami.


Di sini saya dapat menjelaskan bahawa sebagai orang beriman kita perlu yakin dengan sepenuh keyakinan kepada qada' dan qadar yang telah ditetapkan olehNya. Rezeki, jodoh, ajal maut semuanya di tangan Allah swt. Sebagai hambaNya kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar, selebihnya berserah kepada ketentuan Yang Esa.

Tidak dinafikan setiap wanita  mempunyai perasaan cemburu, lebih-lebih lagi jika seorang isteri yang ditakdirkan berkongsi kasih sayang suami dengan wanita lain. Walaupun begitu sebagai hamba Allah jika ditakdirkan hidup dalam berpoligami perlu tanamkan sifat sabar dan tabah menghadapi ujian dari Allah. Semuanya yang kita anggap milik kita di dunia ini sebenarnya hanyalah pinjaman, apabila tiba masanya pinjaman tersebut akan dipulangkan kembali kepada Pemilik hakiki iaitu Allah swt.

Ujian dan dugaan hidup sentiasa akan mendatang dan akan pergi. Begitu juga ujian dalam rumahtangga. Banyak kisah terpapar di dalam akhbar kisah-kisah perceraian dalam rumahtangga monogami. Sedikit sekali terpapar kisah kejayaan dan kebahagiaan keluarga yang mangamalkan kehidupan berpoligami.

Saya telah banyak menyaksikan peperangan perasaan yang berlaku kepada isteri-isteri yang dimadukan. Dan saya juga pernah menyaksikan kebahagiaan dan ketenangan hati milik seorang isteri yang suaminya berpoligami. Secara realiti yang sebenar dia berada di dalam ketenangan dan kata-katanya begitu menusuk sukma setiap wanita bergelar isteri.

"Suami kita ujian buat kita, Allah  berikan ujian itu supaya kita lebih hampir kepadaNya".Itulah antara kata-kata isteri yang mithali, solehah yang redha menerima ketetapan Ilahi suaminya berpoligami. Kental hatinya dan betapa dia sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup berpoligami.

Selusurilah sejarah dan kisah para isteri-isteri nabi dan para sahabiah, bagaimana mereka mengharungi kehidupan dalam penuh kezuhudan dan membuat pengorbanan yang tidak sedikit untuk agama Allah ini.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah setiap jiwa adalah pendakwah, menyeru yang ma'ruf mencegah yang mungkar. Setiap kita akan diuji dengan setiap bisikan-bisikan duniawi dan bisikan was-was dari musuh yang tidak kita sedari iaitu syaitan. Oleh itu berhati-hati dalam setiap tuturkata dan perbuatan.

Luangkan masa yang ada untuk berfikir ke arah yang lebih positif dan membawa kebaikan kepada diri, keluarga,  masyarakat dan yang lebih utama ialah agama. Banyaklah bercakap tentang kebesaran Allah dan masukkanlah keagunganNya terus ke dalam hati, buangkanlah kebesaran makhluk jika telah merajai hati-hati kita. Sama-sama muhasabah.....

27‏/12‏/2010

Alhamdulillah-Segala Pujian Hanya UntukMu Ya Allah. (Bhg. 2)


Kita tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah. Kadang-kadang hajat atau keinginan kita tidak dikabulkan oleh Allah walaupun telah berpuluh kali malah beratus kali kita telah menadah tangan siang malam berdoa agar hajat yang kita inginkan tercapai. Sebagai hambaNya kita disarankan bersabar dan tidak menyalahkan takdir atau berputus asa menerima ketetapan Allah sejak azali. Tersirat segala rahmat dan hikmah yang tidak diketahui di atas perkara atau peristiwa serta ujian yang berlaku kepada diri insan itu.
Sebagai orang mukmin kita perlu menyakini qada' dan qadar yang telah dan akan berlaku kepada diri. Penyesalan dan sikap berputus asa dengan takdir dan rahmat pemberian Allah tidak boleh ada dan tidak boleh  boleh wujud dalam diri orang beriman.   Allah telah menjanjikan orang yang engkar atau menyombongkan diri akan berada dalam keadaan hina di mata Allah dan bakal menerima azab di akhirat.
Ingatlah firmanNya dalam al-Qur'an sebagai peringatan dan motivasi diri agar kita tidak tergolong di kalangan manusia yang sombong atau bongkak.
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al-Mu’minun : 60)
Tentu akan terdetik di hati atau kita akan tertanya-tanya mengapa  hajat yang kita impikan di dalam kehidupan tidak pernah tercapai dan tidak dapat kita miliki walaupun sudah berkali-kali kita memohon hajat dan doa kepada Allah.  Orang yang beriman dan beramal soleh akan sentiasa meluangkan  masa dengan Allah  dan bermunajat kepadaNya bersendirian lalu bermuhasabah apakah kesilapan atau kesalahan yang telah dilakukan terhadap Pencipta atau terhadap manusia. 
Mereka menghabiskan sisa waktu dengan mengingati Allah dan mengabdikan seluruh jiwa raga kepadaNya semata-mata. Sebagaimana wujudnya ahli sufi atau 'ahl suffah' pada zaman Rasulullah yang masanya banyak dihabiskan  di masjid sehingga Rasulullah pun tidak ketinggalan mengikuti majlis zikrullah yang mereka  adakan itu. Ahli sufi yang mai'yyatullah sebenarnya sentiasa wujud daripada zaman Rasulullah sehinggalah berlakunya kiamat.Mereka tidak pernah mengisytiharkan bahawa diri mereka adalah ahl sufi, sebaliknya orang yang melihat cara hidup mereka yang zuhud dengan kehidupan dunia menggelarkan mereka dengan panggilan ahl suffah. Golongan ini mengambil berat tentang penjagaan hati iaitu anggota yang sangat penting dalam menghubungkan manusia dengan Allah swt.
Seorang ahli sufi iaitu Ibrahim ibn Idham telah ditanya tentang doa yang tidak dikabulkan oleh Alah.
Lantas Ibrahim ibn Idham pun menjawab, “Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah mati.”
Lalu ditanyakan lagi, “Apa yang boleh mematikan hati?”.
Beliau menjawab, “Ada beberapa perkara, diantaranya:
1- Kamu mengetahui hak Allah, tapi kamu tetap tidak menunaikan hakNya itu.
2- Kamu membaca Al-Qur’an tetapi kamu tidak mengamalkan hukum-Nya.

3- Kamu mengatakan cinta Rasulullah tetapi kamu tidak mengamalkan sunnahnya. 

4- Kamu mengatakan takut mati tetapi masih tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi mati. 

5- Kamu mengakui bahawa syaitan itu musuh, tetapi kamu ikut perangai syaitan. 

6- Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka, tapi kamu sendiri yang melemparkan dirimu ke dalamnya.

7- Kamu ingin memasuki Syurga, tapi kamu masih tidak melakukan amal soleh. 
8- Kamu sibuk memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain, sedangkan keburukan dan kesalahan diri sendiri tidak pernah kamu hiraukan.
9- Kamu mendapat pelbagai kenikmatan yang diberikan Allah swt, tetapi kamu tidak pernah bersyukur dengan mematuhi segala perintah Allah.

10- Kamu menguburkan jenazah orang lain, tapi tidak menginsafi diri kamu sendiri bahawa kelak kamu juga akan dikuburkan. 
Itulah antara punca atau penyebab doa tidak dikabulkan oleh Allah. Jika telah diketahui puncanya mudahlah bagi diri insan membuat muhasabah atau koreksi kelemahan diri dan memperbaikinya. Seumpama penyakit yang akan mudah dicari penawar ubatnya jika diketahui punca  atau nama penyakit tersebut.
Bersambung

12‏/12‏/2010

Alhamdulilah ....Segala Pujian Hanya UntukMu Ya Allah.....

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah untuk Allah pencipta dan pemilik semesta alam. Yang memberi rezeki, menurunkan hujan, mengurniakan pelbagai nikmat kepada seluruh makhlukNya. Allah tidak pernah meminta balasan  setiap yang diberikan kepada hambaNya, semuanya diberikan percuma dan manusia bebas menggunakan nikmat anugerahNya. Walaubagaimanapun insan tidak boleh mengkufuri nikmatNya kerana sesiapa yang mengkufuri nikmat Allah akan disediakan balasan azab di akhirat kelak.

Banyaknya  nikmat yang telah dianugerahkan Allah dalam kehidupan ini. Perhati dan renunglah kepada diri sendiri. Bagaimana indahnya diri manusia diciptakan dan begitu unik sekali penciptaannya. Dengan anugerah pancaindera mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan, jantung serta alat kelamin yang menyempurnakan kehidupan insani, ini  menunjukkan bukti nikmat anugerahNya yang tidak mampu dibayar oleh makhlukNya.

Nikmat yang paling bermakna dan berharga ialah nikmat iman dan Islam yang tidak boleh dijual beli. Bersyukurlah  kepadaNya kerana Allah sentiasa memberi hidayah petunjukNya disaat kita terlalai atau terlupa. Di saat kita dilanda dukacita atau musibah, Allah sentiasa berada di sisi kita mendengar segala rintihan doa.

Ketika kita diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan hidup, Allah sentiasa berada berhampiran dengan kita dan mendengar segala hajat permintaan hambaNya. Cuma mata hati kita yang buta dan diselaputi titik hitam dosa tidak menyedari bahawa Dia (Allah) sentiasa berada berhampiran dengan hamba-hambaNya.

Justeru jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur dan mengingati Allah samada ketika kita berada dalam kemewahan, kesenangan dan kebahagiaan. Janganlah jadi hamba yang tidak bersyukur,  iaitu mereka yang apabila dilanda kesusahan atau musibah barulah ingat kepada Allah, barulah hendak menyesal atau bertaubat, sebaliknya semasa berada dalam kesenangan  lupa dan engkar suruhan Allah dan tidak mengikut perintahNya. 

Ingatlah firmanNya:"Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahkan nikmatku kepada kamu, jika kamu kufur sesungguhnya azabku sangat pedih".

Bersyukur kepada Allah tidak merugikan sedikitpun diri manusia,malah membawa keuntungan dan kebahagiaan  samada di dunia atau kehidupan yang kekal di akhirat. Syukur kepadaNya perlu dibuktikan dengan amalan dan pengabdian sepenuh hati, khusyuk tawadhuk serta ikhlas kerana Allah semata-mata. 

Apa yang dihajati dan diimpikan insan banyak yang telah Allah kurniakan dalam hidupnya. Terdetik dihati hendakkan kenderaan cantik, diberikan olehNya, teringin hendak mengahwini teruna kacak atau gadis cantik Allah telah kabulkan hajatnya, tergerak di hati kerja yang baik dan naik pangkat juga telah dianugerahkan Allah. Apa sahaja yang dihajati insan mudah sahaja bagi Allah memberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Masyallah..."Alhamdulillahi Rabbil'alamin"

Bersambung....


11‏/12‏/2010

Jangan Jemu Ucap Kalimah 'Sayang' (2)

Semua orang impikan kebahagiaan dan kegembiraan di dalam kehidupan berkeluarga. Justeru janganlah mengharapkan orang lain yang memulakan atau melahirkan perasaan sayang atau cinta terhadap diri kita, sebaliknya kita yang perlu memulakan atau mempraktikkannya. Perasaan sayang atau cinta bukan sekadar dengan kata-kata atau hanya dibibir namun diiringi dengan perbuatan sebagai tanda menghargai kasihsayang yang diberi.

Kata-kata 'sayang' begitu sedap didengar diteliga apabila ada seseorang memanggil kita, pasti meresap perasaan bahagia bila ungkapan itu lahirnya dari orang yang kita kasihi. Ucapan sayang melembutkan hati yang mungkin dilanda perasaan marah atau tidak puas hati terhadap pasangan. Kata-kata 'sayang' sebenarnya perlu dilafazkan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Tiada gunanya kata-kata itu jika telah menyakiti atau menzalimi pihak yang lain.

Semakin lama usia sesebuah perkahwinan tidak mustahil semakin hambar sesuatu perhubungan antara suami isteri. Tidak sedikit yang dilanda perasaan bosan dan jemu dengan pasangan. Semakin lama hidup bersama semakin timbul sikap dan perlakuan sebenar pasangan. Pada masa itu mulalah timbul perasaan tidak puas hati dan saling menyalahkan. Si suami pula mengambil jalan mudah dengan cara keluar dari rumah dan mencari cinta yang lain. Si isteri pula menjeruk perasaan dan enggan lagi melayan suami.

Hikmah sesebuah perkahwinan adalah untuk menyempurnakan dan saling melengkapi. Setiap insan diciptakan tidak sempurna. Manusia tidak maksum atau terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Setiap manusia ada kekurangan dan keaibannya. Tujuan lelaki dan wanita hidup sebumbung selain untuk menghalalkan sebuah perhubungan adalah bermatlamatkan melahirkan zuriat keturunan umat Muhammad saw. Matlamat utama ialah membina keluarga bahagia dan zuriat solehah yang bakal menjadi khalifah bagi memakmurkan bumi Allah dan menegakkan agamaNya.

Tanggungjawab dan amanah yang dipikul adalah berat terutama di pihak kaum lelaki yang bergelar bapa dan suami.  Anak-anak adalah amanah yang perlu dididik dan dijaga mengikut acuan Islam dan iman. Amanah Allah ini tidak akan sempurna pendidikan akhlak dan peribadinya sekiranya membesar dalam keluarga yang pincang dan tidak harmoni.

Justeru itu, bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga dan yang sudah melepasi ulangtahun perkahwinan sepuluh tahun hingga ke atas perlu mencari alternatif agar keluarga yang bahagia dan harmoni dapat dikekalkan dan dibajai dengan rahmat dan kasihsayang. Kasih sayang kerana Allah akan mewarnai kehidupan rumahtangga yang berpaksikan ketulusan cinta kepada Allah dan RasulNya, di samping mengamalkan kehidupan beragama bagi menjamin kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ungkapan terima kasih dan ringan tulang membantu apabila pasangan memerlukan pertolongan perlu juga dipraktikkan sentiasa bagi mengekalkan kemesraan dan kasih sayang.

Di sini penulis ingin berkongsi cerita suka duka semasa melahirkan zuriat secara caesarean....

Betapa sakitnya bersalin melalui caesarean (pembedahan). Mujurlah aku sentiasa ditemani suami yang ringan tulang membantu. Setelah aku ditolak ke katil di wad, dialah yang menguruskan bayi kami. Dia juga yang menyuapkan bubur nasi dan minuman ke mulutku. Aku tidak boleh banyak bergerak disebabkan perutku yang luka dibedah. Hampir seminggu aku tidak boleh bergerak, dialah yang memapahku ke bilik air dan menukar pampers. Dialah juga yang menjaga anak-anakku dan memasak untuk mereka semasa aku sakit di wad.

Suami juga yang ke dapur memasakkan sup dan membakar ikan atau ayam untukku. Dia yang menyuapkan ubat penahan sakit. Masa itu baru aku tahu betapa besar pengorbanan dan kasih sayangnya  yang ditunjukkan padaku. Aku sungguh terharu dan sedih apabila mengetahui tidak mampu lagi memberikan zuriat buatnya setelah aku dibedah kali ketiga berturut-turut.

Dialah yang tidak jemu-jemu berusaha memujuk dan menghiburku saat itu sehinggalah aku sembuh sepenuhnya. Dia juga telah mengotakan janjinya membawaku menunaikan rukun Islam ke 5. Sanggup bersusah payah demi isterinya. Akanku abadikan kenangan bersamanya sehingga kumenutup mataku.

Kalimah 'sayang' selalu terungkap dibibirnya buatku. Aku terlalu bahagia dan merasakan hidup ini sangat bermakna di atas cintanya yang tidak pernah pudar terhadapku. Ya Allah ...kekalkanlah kasihsayang dan cinta hamba-hambaMu ini. Rahmatilah hidup kami selama-lamanya...Kurniakanlah keimanan dan ketakwaan kepada kami dan zuriat-zuriat kami...Amin ya Rabb...

10‏/12‏/2010

Jangan Jemu Ucap Kalimah 'Sayang' (1)

Pertukaran waktu di bumi Urdun disebabkan perubahan musim telah berjalan seperti kebiasaan. Jika hujan turun dan awan mendung imam akan solat jama' antara dua waktu yang boleh dijama' qasarkan, contohnya waktu zuhur dan asar, waktu maghrib dan isya'. Perkara yang pelik bagiku semasa mula-mula sampai ke sini namun apabila setahun di sini aku sudah maklum keadaan itu.

Musim sejuk yang semakin sampai ke tahap tinggi suhunya hingga ke 3-0 darjah celcius. Keadaan cuaca yang terlampau sejuk memberi peluang untuk kami sekeluarga menunaikan solat berjemaah dengan berimamkan suamiku. Usai menunaikan solat isya' berjemaah suami berdoa dalam bahasa arab dan menyelitkan juga dengan bahasa melayu agar anak-anaknya yang menjadi makmum memahami maksud doa itu. Kami mengaminkan bacaan doa dengan perlahan.

Selesai berdoa suamiku menghulurkan tangan bersalam dengan anak-anak kami, mereka bergilir-gilir bersalam sambil mencium tangan baba dan mama mereka. Selalunya kami solat sunat ba'diah dahulu kemudian barulah kami suami isteri bersalaman. Aku mengucup tangan suami dan tidak pernah lupa memohon kemaafan darinya.

Apabila anak sulung kami melihat  cara kami bersalam terus dia bertanya, "Baba sayang mama ke?". Suamiku menjawab "Tentulah sayang...mama kan isteri baba". Aku hanya tersenyum mendengar jawapan suamiku. Talhah seperti cemburu melihat kemesraan kami lalu dia tidak mahu mengalah "Talhah pun sayang Mama".Katanya sambil memelukku .

 "Talhah sayang mama sorang je ke?". Giliran aku pula bertanya anak sulungku. "Talhah pun sayang  Baba". Adik-adiknya yang lain apabila melihat abang sulung mereka asyik memeluk baba dan mamanya terus berlari dan berebut-rebut memeluk kami.

 "Adik sayang Mama". Itu pula kata-kata dari Ammar, anak lelaki kami yang ke tiga yang suka mencium mamanya dan seringkali mengucap kalimah 'sayang' padaku. Si bongsu Muzzammil pula terus duduk atas ribaanku dan menolak abang Ammarnya.

Si kakak pula satu-satunya anak perempuan yang  memang tidak boleh nampak abang atau adiknya yang lain memeluk atau mencium baba dan mamanya terus sahaja menangis tanda cemburu dan tidak mahu mengalah. "Baba Mama tak sayang kakak". Itulah kata-katanya apabila merajuk. "Kenape kakak ni...jealous kat abang dan adik la tu...Mama baba sayang kakak juga".Babanya yang perlu memujuk kalau kakak menangis.

Terharu aku dan suami melihat keletah dan perangai anak-anak kami. Mereka semuanya anak yang bijak namun sedikit manja lebih-lebih lagi sejak aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku dan suami tidak memanjakan mereka secara berlebihan, jika mereka melakukan kesalahan seperti liat dan melengah-lengahkan  solat dan liat menghafaz al-Qur'an, kami tidak teragak-agak untuk menghukum sebagai satu ajaran dan didikan.

Disebabkan aku sentiasa dengan mereka di rumah, aku yang lebih mendominasi dalam mendisiplinkan mereka dan mengajar mereka membaca al-Qur'an dan pelajaran. Walaubagaimanapun sebagai ketua keluarga suami sentiasa memantau dan melatih anak sulungku dalam hafazan al-Qur'an pada waktu malam.

Selepas solat isya' adalah waktu untuk kami sekeluarga berada di dalam halaqah ilmu atau majlis ilmu selama setengah jam. Kami akan bergilir-gilir membacakan hadith-hadith nabi dan kisah-kisah para sahabat . Anak sulung kami Talhah juga dilatih untuk membacakan ayat-ayat Al-Qur'an dan hadith nabi, kami melatihnya supaya dia dan adik-adiknya akan terbiasa dalam suasana ilmu agama dan menjadikan majlis ilmu sebagai   sebahagian dalam hidupnya suatu masa nanti. Semoga segala yang didengari akan menjadi amalan  dan sebagai muhasabah serta asbab dakwah  kepada ummah apabila mereka besar nanti.

Semoga cara didikan kami akan memberi kesan yang baik buat pertumbuhan dan pembesaran mereka dalam iman dan Islam.Insyallah....

Bersambung

06‏/12‏/2010

Ingatanku Sentiasa Padamu Wahai Kekasih Allah Maher Zain - Ya Nabi Salam Alayka nasheed with translation


Wahai kekasih Allah yang mulia
kedatanganmu  membawa jutaan berkat
kehadiranmu  membawa jutaan rahmat seluruh alam gembira menyambutmu

Besarnya pengorbananmu ya Rasulullah
engkau menghadapi pelbagai rintangan halangan dan siksaan
dalam menegakkan agama
demi sebuah kebenaran demi sebuah seruan
agar umatmu kembali kepada keesaan Tuhan

Kususuri  sejarah hidupmu
melihat rentetan perjalananmu
kesabaran ketabahan dan keimanan
menjadi pakaian akhlakmu
kesusahan kemiskinan dan ketulusan
menjadi sebahagian hidupmu

Demi umatmu engkau berkorban siang malam
tanpa mengenal erti kepayahan
tanpa kerehatan tanpa kesenangan
airmatamu begitu berharga
saat menitis mengingati umatmu

Tertanya jua di hati kecilku
apakah umatmu mengingatimu
mengenangmu  menghargai perjuanganmu
lantas mengikuti jejak langkahmu
apakah umatmu mengamalkan sunnahmu
atau hanya memandang sebelah mata
atau masih lagi meraguinya

Wahai Rasul utusan Allah
hijrahmu ke Madinah membawa seribu  erti
kepada semua umatmu seluruh dunia
terbinanya sebuah negara Islam
terpatrinya ikatan persaudaraan
teruntainya cantuman persahabatan  kasihsayang

Murninya hatimu ikhlasnya pekertimu
cinta rindumu terhadap umatmu
terlalu tinggi bernilai bererti
sehingga akhir kalammu
masih menyeru nama umatmu

Wahai Rasulullah maafi kami
kami alpa terleka terlupa
kami umatmu yang banyak dosa
jangan engkau biarkan kami
berikan kami syafaatmu
di saat perhitungan di Mahsyar nanti



02‏/12‏/2010

Hijjaz - Rindu


Rindu Satu Anugerah Ilahi
Airmata menitis ke pipi saatku merenung wajah mulus anak-anakku yang sedang lena dibuai mimpi dalam selimut tebal musim dingin di bumi Urdun. Aku menghampiri tingkap kaca dan membuka selaknya, angin dingin musim sejuk menerobos masuk dan mengelus pipiku, terasa nyaman dan dingin sekali. Indahnya hati bila aku bergelar seorang ibu ketika pertama sekali buah hati pengarang jantung kami menyebut namaku 'mama'.

Kasih sayang yang sukar kuungkap dengan kata-kata melitupi setiap ruang hatiku. Kasih sayangku terhadap cahayamataku satu perasaan yang indah sekali, perpisahan dengan mereka mencambahkan lagi rindu dan sayang terhadap mereka. Kurenung awan cerah di sinari mentari pagi sesaat, lantas kuterbayang zaman kanak-kanakku yang indah dan damai sedamai air di kali.

Aku melihat ke dalam diriku sendiri apabila menyaksikan perkembangan peribadi dan sikap cahayamataku. Mereka mewarisi sikapku semasa aku di zaman kanak-kanak. Aku terkenal dengan anak perempuan yang manja tetapi aktif dan tahan lasak. Selain main pondok-pondok aku juga tidak melepaskan peluang bermain bola dengan kanak-kanak lelaki yang sekampung denganku sehingga aku juga teruskan minat bermain bola dengan kawan-kawan di sekolah rendah selain berlumba lari 400 meter. Apabila hujung minggu aku suka masuk hutan 'jungle tracking' mengikuti bapa saudaraku dan sepupuku meredah kebun yang luas.

Tidak pernah kulupa satu pengalaman indah bila aku berlumba memanjat pokok buah-buahan yang sedang masak ranum dengan sepupuku dan kami memungut buah-buhan dari pokok tersebut. Tersenyum aku sendiri mengenangkan peristiwa sepupu lelaki mencabut sengat tebuan tanah di kepalaku bila suatu hari semasa sedang berjalan di kebun aku diserang tebuan tanah.

Masihku ingat betapa geramnya hatiku apabila mereka hanya tertawa girang melihatku menahan kesakitan disengat tebuan itu. Namun aku hanya menahan diri dan membiarkan bapa saudaraku melumur tanah liat sebagai penahan sakit di kepalaku. Satu lagi kegemaranku ialah mandi dan terjun ke sungai yang dingin airnya bersama sepupu dan kawan-kawan sambil mencari siput,  itulah aku di zaman kanak-kanak.

Apabila meniti usia remaja belasan tahun sikap lasak dan aktif semakin luput dari diriku. Ini adalah berkat doa ibu yang sentiasa bersabar mendidik dan memberi nasihat  berguna padaku. Masih kuingat bagaimana penyabarnya ibuku semasa menghadapi karenahku semasa kanak-kanak apabila masaku banyak dihabiskan dengan bermain dan bermain.

 Ibu...tiba-tiba wajah ibu yang tenang dan sejuk mata sesiapa memandangnya terbayang  di mataku. Sikap ibuku yang penyayang tetapi tegas telah banyak mendisiplinkan diriku dan mengajarku erti hidup berdikari. Dia banyak mengajarku erti sebuah kehidupan dan menegurku sekiranya membuat kesilapan.

Cara didikan  ibuku dalam mendidik anak-anaknya sehingga berjaya dan menjadi hamba Allah yang taat telah kuterapkan dalam mendidik cahayamataku. Alhamdulillah berkat asuhan dan doa ibu terhadapku, aku menjadi lebih sabar dan tabah dalam mendidik zuriatku ke arah berperibadi mulia mengikut akhlak dan sunnah Rasulullah saw.

Ibu dan ayahku telah mengorbankan masa rehatnya di usia muda bagi membesarkan sembilan orang zuriat dalam seribu kepayahan dan dalam keadaan kemiskinan. Usaha gigih mereka membanting tulang empat kerat hingga menginjak usia senja benar-benar menyentuh naluriku.

Betapa besarnya jasa dan pengorbanan mereka tidak mampu kubalas. Hanya titipan doa dan ingatan rindu yang mampu kulayangkan di kejauhan ini. Air jernih terus mengalir lesu di pipi. Rindu dan sayangku tidak pernah berubah terhadap kalian wahai ibu ayah walaupun anakmu ini jauh di perantauan. Itulah bisikanku di pagi dingin bersalju ini. Perkhabaran dari bumi kelahiranku menggugah lagi perasaan rindu terhadap tempat tumpah darahku dan belaian kasih dari seorang bergelar ibu.

Musim tengkujuh melanda lagi di bumi kelahiranku. Oh bila ingat musim tengkujuh....tidak kulupa kenangan indah bermain rakit bersama abang dan kakakku  di bendang desaku yang banjir dan dinaiki air itu. Indah dan damainya menaiki rakit buluh buatan abangku dan tidak terkata kami tertawa riang bersama menikmati keindahan panorama desa yang terhampar seumpama lautan luas sambil tangan kami mengutip belalang yang bergayutan di tangkai padi yang ditenggelami air.

Tidakku tahu tentang kepayahan dan kerisauan dihati ibu ayah apabila hasil padi tidak diperolehi musim itu apabila bendang kami yang belum sempat dituai hasilnya telah ditenggelami  banjir besar. Itulah dunia kanak-kanak yang belum memahami erti sebuah kepayahan dan penderitaan. Dunianya diuliti  keindahan, kedamaian serta permainan  riang yang hanya sekali singgah itu.

Rindunya aku kepada ibu, ayah, abang, kakak dan adikku semakin tidak mampu kumenahannya. Hanya potret wajah dan bicara di hujung talian yang menghubungkan kami saat ini. Luahan rasa bertinta rindu ini bagi menghilangkan rasa kerinduanku yang teramat terhadap mereka.  Indahnya saat kami sekeluarga berkumpul di bawah satu bumbung tempat kami membesar dan bermain bersama.

Namun itulah lumrah kehidupan dunia, kami terpaksa berjauhan demi sebuah cita-cita dan kehidupan berkeluarga. Syukurku panjatkan kepadaNya diatas anugerah rindu dan akanku abadikan kenangan bersama kalian sehingga ke hujung nyawaku. Semoga kita semua bisa bertemu dan mencipta kembali kemesraan setelah perpisahan ini. Amin Ya Rabb....      
 Taman Idaman Impian Insan

Terpana seketika mata bundarku
saat terpandang kuntuman segar itu
subur segar indah menawan
memukau setiap insan
pemuja keindahan ciptaan ilahi
ketenangan meresapi naluri

Syahdunya menikmati kecantikanmu
wahai bungaan ciptaan terindah
tumbuhmu subur di taman belaian
teringat seketika kepada Pemilik setiap ciptaan
saatku memasuki taman indah

Penuh kesuburan keindahan ketenangan
kenyamanan keamanan dan kebahagiaan
meresap mengalir ke hati
Maha Suci Allah pemilik semesta ini
bergetar hatiku memuji nama Agung ini

Seketika teringatku taman idaman
yang kekal abadi di sana
itulah yang diimpikan didambakan
setiap hamba menuju Tuhan
taman idaman tenang damai syahdu

Itulah taman syurgawi
wujudmu cuma di sana
yang pasti hakiki dan abadi
hamparanmu sedang menanti
insan terpilih  beramal bertakwa 

Beruntungnya tetamu muliamu
penghuni berjiwa tenang
penghuni diredhai khalik
itulah tetamu agungmu
munajatku jua saban waktu
mengecapi nikmatmu akhirnya
kau pasti menantiku di sana

Dunia taman sementara
syurga kekal selamanya
berlumbalah wahai diri
menuju redha cinta ilahi
tangisilah kekhilafan diri
tangisilah dosa melingkari

Ubahlah cara hidupmu
carilah cinta hakiki itu
lupakan cinta palsu
lupakan khilaf semua
ingatlah azabNYA
menunggu jua di sana