Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

03‏/03‏/2011

Nostalgia Mengusik Kalbu.....Dia Anugerah Ilahi terbaik utkku


Kesyukuranku panjatkan kepada Yang Esa kerana masih memberi peluang untuk menghirup udara dan bernafas di muka bumiNya ini. Kadang-kadang kehidupan bagiku seperti sebuah mimpi yang menjelma semasa sedang tidur. Kenapa aku begitu menghargai nikmat hidup ini. Masih jelas diingatanku segala peristiwa pilu yang terjadi padaku suatu ketika dulu.

Masihku ingat sebenarnya  sejak kecil aku selalu sakit dan demam dalam jangka masa yang lama dan dicepung ayah ibu untuk dimandikan walaupun usia sudah lebih 10 tahun.Nama panggilan manjaku juga diubah oleh ayahku dengan harapan dan  doa agar penyakitku akan sembuh.

Mungkin sebab itu sifatku terlebih manja walaupun masih ada adik bongsu selepasku. Puncanya ibu terlalu memanjakan dan tidak mahu aku berjauhan dengannya. Aku tidak begitu manja dengan ayah sebab dia selalu meninggalkanku dalam masa  berbulan-bulan lamanya semata-mata mencari rezeki di negara orang. Satu lagi mungkin semasa aku  baru dilahirkan ayah sudah tinggalkan aku dan ibu yang sedang berpantang untuk menunaikan ibadah haji. Selepas itu aku membesar sebagai gadis yang banyak menurut kehendak ibu dan pendiam. Aku tidak mampu membantah jika ibu telah membuat keputusannya.

Pernah sahabat baik mengajakku bertukar sekolah yang berhampiran dengan rumah dan boleh berulangalik dengan bas semasa mengambil peperiksaan SPM. Namun ibu dengan tegas membantah dan tidak setuju aku berpindah sekolah. Aku hanya pasrah dengan keputusan ibu dan pernah menyewa bersendirian, mengulangkaji bersendirian dan tidak mempunyai sahabat yang rapat. Namun ibukulah yang paling gembira apabila aku mendapat 'result' yang tinggi semasa SPM. Aku pula tidak begitu teruja dan gembira disebabkan selepas mendapat keputusan itu aku ditimpa sakit mendadak.

Sakit sesak nafas berulang kembali, namun lagi teruk sebab berjam-jam aku mengalami sesak nafas sehingga mengejutkan seluruh keluarga dan orang kampungku. Mereka melihat aku sedang nazak dan sedang berjuang dengan sebuah kematian. Malam itu rumahku ditenggelami dengan suara bacaan yasin dan rintihan pilu dari ibu dan adik beradikku yang lain.

Alhamdulillah berjuta kesyukuran kupanjatkan kerana masih memanjangkan usiaku yang disangka semua orang telah tiba ke penghujungnya. Selepas itu ibu dan abangku serta semuanya  menjaga hatiku dan menatangku seperti minyak yang penuh. Sebenarnya aku layak memohon untuk melanjutkan pengajian ke Jordan atau mengambil STU dan menyambung ke Mesir.

Guru-guruku juga mencadangkan aku belajar di Luar negara namun cita-citaku hanya tinggal cita-cita, ibuku dari awal lagi mengingatkan aku tidak boleh pergi jauh dan belajar keseorangan lebih-lebih lagi seberang laut. Aku memang sedikit kecewa namun sebagai anak aku diajar untuk tidak membantah keputusan ibu. Aku belajar menerima ketentuan Allah bahawa  rezekiku bukannya di negara timur tengah. Ada hikmahnya yang tersirat yang tidak disedari insan bahawa sebenarnya peraturan dan ketetapan Allah adalah sebaik-baik ketetapan dan sebagai hamba kita hanya berdoa dan berusaha seterusnya pasrah kepada ketentuanNya.

Masihku ingat juga abang kandungku yang beria-ria mengisi borang kemasukan PRA-Universiti dan menghantarnya. Aku hanya mengikut kehendak mereka. Dan ibuku juga orang yang gembira sekali apabila aku diterima ke Pra Akademi Islam Nilam Puri. "Lagi dekat lagi baik...boleh selalu balik dan senang mak nak pi ziarah ". itulah kata ibu.

Itu kisah tentang pelajaran...Kalau nak cerita tentang kerja juga kadang-kadang kelakar pun ada.
Masa aku sedang sibuk buat tesis MA di Kuala Lumpur dan menumpang tinggal di rumah abangku, tiba-tiba surat tawaran temuduga jawatan Phei sampai ke tangan ibu di kampung.  Ibuku dengan perasaan gembiranya dan teruja sangat terus datang KL dan menemaniku untuk 'interview'. Sebenarnya aku enggan lagi bekerja masa tu sebab nak beri tumpuan kepada tesisku namun ibu tetap bertegas supaya aku terima juga kerja tersebut. Katanya apa salahnya belajar sambil bekerja.

Padahal sebelum itu ibu sudah setuju aku sambung belajar dan kali ini dia memahami bahawa aku tidak minat bidang perguruan.  Dia beri galakan aku sambung namun di hatinya timbul kebimbangan pula melihat aku ke sana ke mari buat tesis tanpa sebarang jaminan kerja.   

Peristiwa  September 2000

Masuk ke  bilik interview Brig. Gen. Dato'Hamid Zainal Abidin yang menemudugaku. Semua soalan mampu kujawab dengan penuh keyakinan. Dia sempat bertanyaku "datang dengan siapa  sini". Dengan jujurnya aku memberitahu dengan ibu. Semua ahli panel ketawa mendengarnya jawapanku. Wanita berumur kat luar tu mak awak ke? " Aku mengangguk tanda mengiyakan.
"Bagusnya datang temankan anak temuduga". Dengan berkat doa dan harapan ibu juga aku berjaya dalam temuduga yang kali pertama aku hadiri selepas
gred.

Calon Suami Pilihan Ibu

Ibu sudah memberi peringatan awal kepadaku calon pilihannya bukan orang jauh dan kalau boleh sama senegeri dengan kami sahaja. Banyak jugalah yang terpaksa kutapis sebab tidak mahu mengecewakan hati ibu. Akhirnya jodohku sampai setelah setahun bekerja di bawah satu bumbung dengannya. Yang paling lucu walaupun kami mendapat kerja di hari yang sama, berkursus di tempat yang sama, bekerja di pejabat yang
sama hampir setahun kami tidak pernah bertegur sapa disebabkan sikap kami yang sama-sama pendiam..

Aku melihat ibu tersenyum bahagia di hari akad nikah dan sampai sekarang ibu tersenyum senang dan bangga dengan calon suamiku yang disukainya. Ibu juga yakin melepaskanku pergi jauh ke seberang laut untuk bertugas selepas  2 bulan kami melangsungkan perkahwinan kerana dia yakin si dia mampu menjagaku dengan baik sepertimana ibu menjagaku semasa kecil sehinggalah aku meningkat remaja.

Sampai sekarang ibu tetap mengatakan aku bertuah dan perlu bersyukur kerana setiap yang dihajati olehku Allah sudah kabulkan. Terima kasih ibu dan terima kasih buat suamiku yang sentiasa memahami perasaanku, menjagaku semasaku sakit, memberiku ubat dan menatangku seperti jua ibuku menatangku semasa kecil.  

Seingatku kami jarang bergaduh dan jika berlaku salah faham, antara kami akan cepat perasan perubahan yang terjadi dan dia akan segera memujukku. Yang paling aku bangga dia juga tidak lupa memberi ibuku wang belanja bulanan semasa bekerja dulu walaupun aku melarangnya kerana ibuku bukan tanggungjawabnya. Jawapannya benar-benar membuatkan aku terharu..."Mak sayang mak abang jugak".

Yang tidak kulupa  disebabkan dia belajar di negara Timur tengah, dia suka tujukan aku lagu-lagu arab.  melucukan sekali aku tidak memahami maksudnya sebab lagu tersebut menggunakan bahasa 'ammiyyah, dialah juga  yang menjadi 'translator' padaku.

Catatan terakhirku: Sebenarnya tidak semua yang dihajati dan diimpikan oleh diri insan akan dapat digapai dan diperolehinya. Sebagai insan kita tertakluk di bawah qada' dan qadar Ilahi. Tersembunyi hikmah dan nikmat di atas segala yang berlaku dalam kehidupan kita meniti perjalanan usia. Bersyukur di atas segala nikmatNya nescaya Dia akan menambahkan lagi nikmatNya kepadamu.


Negara Yang Aman dan Tuhan Yang Maha Pemurah

Indahnya kehidupan ini jika seluruh umat Islam saling kasih mengasihi dan menyayangi antara satu sama lain,  sifat saling hormat menghormati dan menghargai dan tidak menyakiti atau berhasad dengki terhadap orang lain sentiasa dikekalkan dalam jiwa walaupun disakiti atau difitnah dengan pelbagai tohmahan dan menghadapi pelbagai tribulasi.

Indahnya negara yang dihiasi keamanan, kemakmuran dan kepimpinan yang adil serta rakyat yang mengamalkan kehidupan Islam seperti masyarakat Islam di zaman kegemilangan Islam terutamanya negara Islam Madinah. Sepertimana dalam al-Qur'an disebut "Negara yang aman dan Tuhan yang Maha Pemurah".

Bila  menyaksikan berita di kaca televisyen keadaan pergolakan yang berlaku di tanah arab seperti Mesir,Tunis, Libya ekoran pemberontakan dalam proses menjatuhkan pemimpin negara  masing-masing, tidak sedikit perasaan kerisauan dan kepiluan beraja di hati dan sukar untuk melupakannya apatah lagi melihat keamanan negara yang tercalar, ekonomi yang merudum dan rakyatnya yang sedang mengalami penderitaan akibat rusuhan yang sedang berlaku. Beratus-ratus rakyat menjadi korban kerana kerakusan dan keengganan pemimpinnya untuk melepaskan  jawatan yang disandang puluhan tahun. Prinsip revolusi rakyatnya pula tetap tidak akan berundur selagi pemimpinnya tidak turun.  

Walaupun saya bukan ahli politik dan tidak menceburi parti politik tetapi saya suka memerhati dan melihat dari kacamata seorang warganegara atau rakyat. Bila melihat negara saudara seislam kita di Timur Tengah sedang bergolak hebat,  pasti tertanya-tanya bagaimanakah perjalanan hidup generasi anak-anak hari ini akan diteruskan dalam keadaan negara yang hancur, sistem pendidikan yang terabai, kegawatan ekonomi dan pemerintah yang lebih mementingkan dirinya daripada memikirkan nasib jutaan rakyatnya.

Mengapakah rakyat memberontak? Sekiranya rakyat diutamakan dan mereka berasa aman dan mendapat keadilan serta hak asasi dari pelbagai segi pasti mereka tidak memberontak sehingga sanggup menyaksikan ratusan saudara dan sahabatnya menjadi mangsa dalam demonstrasi yang diadakan itu.

Jika menyelusuri sejarah, negara yang pernah hancur seperti Bosnia, Iraq dan Palestin bukan berpunca daripada ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemimpinnya tapi disebabkan serangan dan keganasan Israel dan sekutu-sekutunya. Apa yang berlaku sekarang adalah disebabkan pemimpinnya sendiri. Siapakah yang bertanggungjawab di atas kematian dan rusuhan yang terjadi. Jawapan daripada rakyatnya pasti pemimpinnya yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku namun bagi pemimpinnya pula tentu golongan rakyat sendiri yang salah kerana membuat rusuhan dan demonstrasi.

Yang paling membimbangkan sekarang ialah perpecahan dan pergolakan yang berlaku di negara Islam kini akan membuka ruang dan memberi laluan yang mudah  kepada musuh-musuh Islam untuk campurtangan dan
merampas negara Islam dan memerangi rakyat yang tidak berdosa sebagaimana yang telah terjadi sebelum ini.

Setiap dari kita ingin mengecapi ketenangan dan keamanan dan tidak ingin berada dalam keadaan kegawatan dari semua aspek. Justeru peliharalah keamanan, ketenteraman dan pilihlah keutamaan yang perlu untuk masa depan generasi akan datang. sebagai rakyat kita tentu tidak mahu melihat pertelingkahan, perpecahan dan permusuhan berpanjangan apatah lagi sesama yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya.

Carilah perdamaian, perpaduan dan kesatuan hati dalam hidup ini dan janganlah saling menyalahkan antara satu sama lain, ini kerana permasalahan politik negara jika diselesaikan dengan rusuhan atau revolusi mengambil masa yang lama untuk dipulihkan semula. Sebenarnya apa yang berlaku sesama umat Islam di negara-negara Islam sekarang ini, musuh-musuh Islam bukan sahaja sedang bertepuk tangan melihatnya malah menunggu masa untuk campurtangan dan memusnahkan negara dan umat Islam itu sendiri .

Catatan ini sebagai iktibar dan pengajaran bagi setiap jiwa rakyat yang cintakan kedamaian dan keamanan.

07‏/02‏/2011

Mampukah Andai Diriku Berada Di tempatmu Ibu....

Asap dari periuk pengukus  berkepul-kepulan di bahagian dapur memanaskan sedikit ruangan yang sememangnya sejuk dan dingin apatah lagi jam baru menunjukkan pukul 6.30 pagi. Cuaca di bumi Urdun sekarang, semakin menjelang malam dan dinihari semakin bertambah dinginnya. Sambil menunggu kek yang dikukus masak tiba-tiba aku terbayangkan keadaan ibu ayah di kampung.

"Ya Allah engkau panjangkanlah usia ibu ayahku dan peliharalah mereka di dalam rahmatMu". Aku berdoa di dalam hati. Entah kenapa apabila setiap kali aku bersendirian wajah-wajah kesayangan pasti terbayang di ruangan mata. Mungkin kerana sudah agak lama kami berjauhan dan hampir setahun lebih tidak menatap wajah redup ibu ayahku.

Apabila suami memuji kerajinanku turun ke dapur dalam keadaan cuaca yang sejuk aku hanya tersenyum. "Untungnya dapat isteri yang pandai memasak ni... masa belajar kat Mesir dulu abang hanya makan ala kadar je...maklumlah orang bujang...menunya roti setiap hari,  nasi hanya sesekali je ".
Aku tersenyum sambil membalas kata-kata dia. "Itulah untungnya bawa  isteri masa belajar kan?".

Hafizah sambil mengunyah cupcake kegemarannya menyampuk "Mama masak kek sedap...macam kek besday yang baba beli kat kedai".
"Iye ke kakak ni? Aku bertanya sambil memandang wajah si kakak.
"Mama memang pandai dan sedap memasak". Suamiku memberitahu anak-anaknya.
"Tokmek kakak kat Kampung lagi pandai bab-bab memasak kalau kakak nak tahu". Aku selalu menyelitkan ibuku jika suami dan anak-anak memuji.

Tiba-tiba tanpa dapat ditahan airjernih bergenang dipipi. "Kenapa ni sayang?". Suami yang perasan perubahan di wajahku bertanya.
"Takde ape-ape... orang cuma teringat kat Mak". Aku menjawab sambil menyeka air mata. "Kalau masak makanan yang mak suka, lagi orang teringat kat dia".

Aku menyambung kata-kata, "Masa abang outsatation kat Dubai sebulan bulan puasa hari tu  macam-macam Mak suruh orang masak..mee bandung,beehon sup, tomyam, puteri mandi, apam kukus, buah melaka...  nasi kerabu tu tiap-tiap hari orang kena buat... yang orang geli hati, kadang-kadang orang nak kasi kat rumah sebelah Mak cakap nanti tak cukup dia nak makan".
"Ayah pun sama...katanya bila ade orang, masa bersahur dia lebih berselera nak makan. Dia pun memuji orang masak sedap macam yang mak masak jugak..." 

"Bila ingatkan balik semacam sikap mak  dah banyak berubah, dan terlebih bermanja dengan orang...itulah orang takut tak sempat lagi nak masak untuk mak ayah...Dia orang dah tua sangat abang".
Kututurkan kata-kata dengan nada tersekat-sekat , penuh dengan kesedihan dan kepiluan.
"Insyallah kita sama doakan moga Mak ayah sayang panjang umur" .Suami memujukku penuh simpati.

Aku tiba-tiba terfikir mengapa Mak sudah seperti tidak mahu lagi memasak dan masuk dapur apabila aku berada di rumah dengan mereka. Mungkin mak sudah jemu memasak dan bosan dengan masakan yang dibuat sendiri, Sudah berpuluh-puluh tahun mak menghabiskan usianya di dapur memasak nasi jualan dan berjenis kuih, tentu bila sudah berusia lanjut seleranya sudah berubah dan mahu merasa masakan orang lain terutama anak-anaknya. Mak juga mengakui aku banyak mengikut perangai dan sikapnya yang tegas dan mempunyai kemahiran dalam masakan. Mak pernah berkata, dia suka makan masakanku dan memang mengena dengan seleranya.

Yang lebih mengharukan aku ialah waktu yang diperuntukkan sebulan itu, aku telah gunakan sebaik-baiknya untuk makayah,  sebelum aku bertolak ke bumi jordan ini. Aku yang mencari laukpauk untuk memasak di pekan dan aku juga yang membawa makayah jalan-jalan ke mana sahaja yang mereka mahu pergi dengan keretaku. Aku dikira anak bertuah kerana masih memiliki makayah walaupun sudah menginjak usia dewasa.

Tidak boleh aku bayangkan bagaimana kalau aku kehilangan mereka kerana aku sentiasa manja dan ingin menghabiskan hidupku dengan mereka. Ibuku pendengar setia dan kaunselorku, tempat aku berkongsi cerita suka duka semenjak masih kecil sehinggalah kini walaupun sudah mempunyai suami. Ayahku tempat rujukanku, aku masih  bertanya tentang petua dan doa-doa untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Mak ayah...Aku tahu betapa mereka tersangat rapat dan sayang kat aku walaupun anak-anak mereka masih ramai lagi. Adik bongsuku juga menjadi perantau di negeri bawah bayu, hanya setahun sekali balik menjenguk mak ayah di kampung. Adik beradik yang lain pun tinggal berjauhan namun alhamdulillah tetap meluangkan masa untuk menziarah mak ayah waktu cuti.

Mujur ada juga dua orang kakakku yang kematian suaminya tinggal berdekatan dengan rumah makayah, diaoranglah yang selalu menjenguk dan menjaga makayah. Itulah untungnya mempunyai anak-anak yang ramai. Jika yang lain tinggal berjauhan yang tinggal berdekatan akan sampai juga menjenguk dan menghiburkan hati ibu ayah yang merindui anak-anaknya yang jauh beribu batu.

Yang paling membuatkan aku terharu juga ibuku tetap hendak mewariskan rumah yang didudukinya kini kepadaku dan adikku. "Mak ...orang tak nak semua tu, orang hanya nak mak ayah panjang umur dan sihat, nanti dapat pergi lagi buat umrah".Alhamdulillah akhirnya impian mereka untuk pergi menunaikan umrah telah dimakbulkan  Allah di mana tahun lepas makayah  diizinkanNya menjadi tetamu Allah selama sebulan.

Masih jelas di mataku bagaimana Mak banyak bersusah payah dan mengorbankan waktu tidurnya malam-malam semata-mata untuk mencari rezeki. Sebelum subuh lagi mak sudah ligat di dapur menyiapkan pelbagai jenis nasi dan kuih-muih untuk diletak di warung dan kedai makan. Memang dia dikira bertuah kerana dianugerahkan Allah dengan bakat dan kemahiran dalam bidang masakan tanpa belajar dengan sesiapa. 

Mak bukan  berhenti rehat siangnya, dia ligat pula ke bendang atau ke belakang dan halaman rumah tempat menaman sayur-sayurnya. Aku dan kakaklah yang akan menghantar kuih dan nasi jualan itu sebelum berangkat ke sekolah. Hari minggu pula mak menjual sayur-sayuran dan buah-buahan di pekan. Bila dikira balik hanya 3-4 jam sahaja mak dapat melelapkan matanya pada waktu malam. Kepenatan dan jerih perih mak tidak pernah aku lupakan,. malah kisah kehidupan Mak yang tragis juga masih segar di dalam ingatan ini.

Sambil menolong menyabit padi di bendang, pernah Mak bercerita kepadaku bagaimana kehidupannya yang sejak berusia 4 tahun telah kematian ibunya, kemudian dia dibesarkan oleh ayah dan ibu tiri. Berpindah tangan pula tinggal dengan  nenek dan bapa saudara setelah bapanya meninggal semasa usianya tujuh tahun. Berusia gadis sunti dalam lingkungan umur 10 tahun sudah turun ke ladang getah menoreh dan ke bendang menolong menyabit padi.

Aku terkedu mendengar  kisah Mak yang tentunya sangat rindukan belaian kasih sayang dan perhatian daripada seseorang bergelar ibu dan bapa, namun itulah takdirnya dia menjadi yatim piatu semenjak kecil. Kisah hidupnya lebih kurang kisah Rasulullah yang menjadi yatim sejak kecil. Aku merasa kagum dengan Mak walaupun tidak sempat belajar dan merasai alam persekolahan dek kemiskinan dan kesusahannya, dia dianugerahkan akal yang bijak, tahu cara-cara mengurus kewangan. Dia juga mempunyai ingatan yang kuat di mana boleh mengingat dan menghafaz banyak surah-surah dalam juz amma (30) sampai sekarang.

Beberapa tahun lepas, bangunan surau di depan rumah kami akan di bina semula, Maklah yang mengurus semuanya dari urusan pekerja, pembelian bahan-bahan binaan dan mengurus wang keluar masuk, sehingga akhirnya bangunan surau konkrit baru berdiri megah di hadapan rumah kami di kampung. Itulah sikapnya yang begitu gigih, rajin dan berani walaupun usianya sudah masuk 70-an. Di surau itulah ibuku mencurahkan tenaganya mengajar anak-anak orang kampung mengaji al-Qur'an.

Ayah juga masih diberi kekuatan oleh Allah mengajar al-Qur'an kepada masyarakat dan rakan-rakan sebayanya di masjid-masjid sekitar bandar dan pekan. Matanya masih tidak rabun dan boleh menatap huruf-huruf  al-Qur'an walaupun usianya sudah menjangkau 87 tahun. Dia tetap rajin pergi belajar al-Qur'an dan menadah kitab. Bila aku menyuruhnya berehat dan tidak usah lagi keluar mengajar,  dia akan kata "Sisa hidup yang Allah bagi akan dia gunakan untuk belajar dan mengajar al-Qur'an".  

Banyaknya nikmat rezeki, nikmat iman  anugerahMu kepada kami terutama kepada ibu ayahku ya Allah.
Ya Rabbi semakin lama aku mencoretkan kisah tentang ibu ayahku semakin kuat kerinduan bertandang di tangkai hati ini. Hanya doa mampu dikirim semoga ibu ayah selamat sejahtera dan bahagia di dunia jua akhirat."Ya Allah ampunilah aku dan kedua ibubapaku, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani dan menyayangiku semenjak aku masih kecil"...Itulah doa yang senantiasa kupanjatkan dan kuajarkan kepada zuriat-zuriatku.


04‏/02‏/2011

Mulut Murai ....Jauhilah Tabiat Itu

Perkataan 'mulut murai' adalah bahasa kiasan dan maknanya diketahui oleh kebanyakan orang. Mulut murai maksudnya ialah orang yang banyak bercakap atau banyak berkata-kata. Selalunya kaum wanita yang dikaitkan mempunyai perwatakan bermulut murai atau bermulut becok, suka membebel atau berleter tidak mengira masa dan tempat.

Tidak semua orang menyukai pemilik mulut murai ini. Ini kerana mengganggu ketenangan dan kedamaian samada di dalam rumah atau di luar rumah. Malah mendatangkan dosa juga kepada si pendengar jika yang dikatakan itu termasuk kepada kategori mengumpat atau menfitnah orang lain.

Jika berada di rumah asyik si mulut murai akan berleter kepada keluarga samada suami atau anak-anak.
Jika ada orang bertandang ke rumah mulutnya tidak berhenti-henti berkata-kata dan bercakap. Apabila banyak bercakap tidak dinafikan semua cerita akan keluar samada kisah yang benar ataupun direka-reka termasuk juga mengumpat dan menfitnah dan bergossip.

 Begitu juga tabiat ini akan terbawa-bawa hingga ke tempat kerja jika dia bekerja, masanya akan banyak dihabiskan dengan bercerita dan tidak terkecuali juga samada disedari atau tidak telah mengata dan mengumpat rakan-rakan sekerja yang lain.

Semua perkara yang tidak kena dimatanya akan diluahkan dengan spontan tanpa berfikir terlebih dahulu samada kata-kata tersebut boleh menyakitkan orang lain yang mendengarnya atau tidak, apa yang penting dia puas hati kerana apa yang telah terbuku dihatinya telah diucapkan. Pepatah melayu ada menyebut terlajak perahu boleh diundurkan terlajak kata banyak padahnya.

Tidak semua suami menyukai isteri yang terlampau banyak mulut, suka bercerita yang bukan-bukan dan mencari-cari kesalahan orang lain. Selalunya jika telah banyak bercakap tanpa disedari si isteri tadi akan membandingkan apa yang dimiliki dengan orang lain terutama jiran-jirannya. Contohnya bila dia melihat di rumah jirannya ada perabot dan barang perhiasan diri yang cantik terus diberitahu suaminya apa yang dilihatnya dan dia berkenan juga, lantas terus diminta suaminya membelikan yang baru juga untuknya.

Jika si suami berada dan mempunyai pendapatan tinggi tentu akan ditunaikannya, bagaimana pula jika suami tidak mampu, tentu si isteri tadi merajuk panjang dan berleter dari siang hingga ke malam. Dalam keadaan ini bagaimana si suami akan tidur dan berehat dalam keadaan tenang. Tentu lama kelamaan si suami akan tertekan dan berasa bosan dengan sikap isterinya.

Bukan setakat meminta di luar kemampuan suaminya itu sahaja,  kadang kala si isteri akan membebel panjang jika si suami pulang lewat dari tempat kerja. Si isteri akan bertanya  suami dengan pelbagai soalan bertalu-talu sehingga merimaskan suami, selagi jawapan yang diterima belum memuaskan hatinya selagi itulah dia akan menyoal dan berleter sehingga menimbulkan pergaduhan.

Si mulut murai juga secara tidak langsung akan menjadi batu api atau pembawa pergaduhan sesama rakannya apabila  si rakan tersebut memintanya menjaga amanah tersebut sebaliknya diceritakan atau disebarkan  kepada rakan yang lain. Dia juga suka menjaja kisah rumahtangganya sehingga apa sahaja yang dilakukan akan diberitahu kepada rakan-rakannya, menceritakan kelemahan dan keburukan suami termasuk juga perkara yang sepatutnya menjadi rahsia suami isteri.

Di dalam kerjaya pula si mulut murai akan menyebarkan berita, kisah atau apa yang dilihatnya kepada orang lain tanpa usul periksa atau menyelidik terlebih dahulu kisah itu betul atau salah. Sehingga sampai ke tahap membawa fitnah dan api pergaduhan sesama rakan sekerja.

Betapa hebatnya penangan si mulut murai yang banyak membawa pergaduhan, ketidakharmonian dan keruntuhan di dalam institusi perkahwinan serta melibatkan kemusnahan di dalam sektor pekerjaan.
Hindarkanlah lidah daripada banyak berkata-kata dan bertutur jika dibimbangi dengan banyaknya perkataan yang keluar dari mulut lebih banyak yang buruk dan mendatangkan dosa daripada yang baik akibatnya.

Bagi pendengar pula jika ditakdirkan bertemu dengan orang sebegini cuba mengelakkan diri untuk lebih berlama-lama dengannya dan menyokong tindakan tersebut, sebaliknya cuba cari alasan agar keluar segera dari tempat tersebut. Jika dia adalah kawan baik buatlah teguran secara hikmah dan berdoa agar dia insaf dan sedar bahawa mengata atau mengumpat orang adalah satu dosa. 

Manakala jika si suami mempunyai si isteri yang bertabiat mulut murai berusahalah mendidik isteri dengan penuh kesabaran  atau berilah nasihat beransur-ansur kerana tabiat ini memang sukar dibuang dari dalam diri seseorang. Banyakkan bercerita kisah  isteri para nabi dan sahabat agar isteri akan menyesal atau menyedari bahawa dirinya tidak mengikut landasan yang betul. 

Justeru ingatlah sesiapa sahaja samada lelaki dan wanita perlu menjaga lidah agar setiap  yang dituturkan hanya perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah. Sebaliknya kurangkan berkata-kata kerana dengan banyak berkata-kata akan membawa kepada mengumpat atau menfitnah termasuk juga mendatangkan musibah kepada diri dan orang lain. Lebih baik bersikap mendiamkan diri jika itu lebih baik untuk diri agar tidak terjerumus ke dalam maksiat atau dosa.

Bukan salah bercakap atau bergurau namun perlu berpada-pada dan berhati-hati. Berfikir dahulu sebelum berkata-kata atau berkomunikasi dengan orang lain. Setiap orang tidak sama dari segi penerimaan atau gaya bahasanya. Oleh itu berhikmahlah dalam berkata-kata dan lafazkanlah sesuatu perkataan dengan penuh cermat dan berhati-hati. Janganlah kata-kata itu sampai melampaui tahap menyakiti hati orang lain, oleh itu sebaiknya sebelum berpisah perlu  memohon maaf dari orang lain agar kita tidak dibayangi kesalahan dan dosa tanpa disedari.

Firman Allah swt:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mencemuhkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang dicemuhkan itu) lebih baik daripada mereka (yang mencemuhkannya) dan jangan pula wanita-wanita (mencemuhkan) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dicemuhkannya) lebih baik daripada wanita (yang mencemuhkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk".

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang mati? maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah ..."
(al-Hujurat a:11-12)

Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata perkara baik atau lebih baik diam".(sahihain)

Nasihat daripada Imam Al-Ghazali perlu juga difikirkan bukan sahaja oleh pihak lelaki yang hendak beristeri malah wanita juga perlu cermin diri dan bermuhasabah agar tidak tergolong di kalangan wanita yang perwatakan dan bersifat seperti di bawah ini.

Pesanan Rasulullah saw untuk kaum lelaki:"Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang shadaqah".

Keterangan:
i)Wanita ananah
Wanita yang banyak mengomen itu ini. Banyak mengeluh dan mengadu.Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahtangga semuanya tidak kena dan tidak puas hati. Setiap saat mengada-adakan sakit atau buat-buat sakit.

ii)Wanita mananah
Wanita yang menidakkan usaha dan jasa suami, sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumahtangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk membangun rumahtangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

iii)Wanita hananah
Menyatakan kasih sayang kepada suaminya yang lain yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain. Dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu, wanita sebegini mengkufuri nikmat perkahwinan, dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.

iv)Wanita hadaqah
Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya, selain itu wanita ini suka mengikut nafsunya. wanita sebegini memeningkan kepala lelaki. Dia tengok apa saja pasti dia mahu, ia juga suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain, suka menunjuk-nunjuk.

v)Wanita baraqah
Mempunyai 2 makna: Pertama wanita begini suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghiaskan diri bukan untuk suaminya tetapi untuk ditunjukkan kepada dunia, jenis suka melawa, wangnya banyak dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.
Kedua: Dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

vi)Wanita syadaqah
Wanita yang banyak cakap, tidak menentu lagi bising,suka membebel,  kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan tukang komen sahaja.

Sebagai renungan buat diri samada lelaki dan wanita, jadilah insan yang bertakwa dengan menjaga anggota yang boleh menjatuhkan diri ke lembah dosa. Jadikan pesanan Rasulullah di atas sebagai panduan dan jadikanlah firman Allah sebagai peringatan agar kita tidak terpesong dari jalanNya.

Sama-sama muhasabah

25‏/01‏/2011

Ibu Ayah Kurindukan Saat Itu....

Ibu....
Masihku ingat tangan lembutmu
mendodoi dan menidurkanku
mengalun zikir alunan ayat suci
dikala kusukar melelapkan mata

Masih jelas terbayang di mata
saat engkau membersihkan diriku
usapan lembut penuh kasih sayang
tidak pernah kedengaran rungutan sungutan

Baru semalam aku rasakan
engkau memujuk dan menasihatiku
teruskan perjuangan menimba ilmu
merantau jauh meninggalkan dirimu
walaupun kutahu engkau tidak tega
menanggung perpisahan dengan anakmu

Ayah....
Tidak pernah aku lupakan
saat dinihari engkau berjaga
bermunajat kepadaNya Tuhan semesta
memohon kudrat serta usaha
korbankan waktu rehat senggangmu
mencari rezeki buat tanggunganmu

Masih jelas diingatanku
setiap kayuhan basikal tua itu
keringat peluh membasahi wajahmu
sehingga akhirnya anak-anakmu
sampai juga ke tempat perlembahan ilmu

Ibu ayah...
Jasa kalian tidak mampu dibalas
aliran keringat jua curahan kudrat
hanya doa mampu dipanjatkan
moga kalian dirahmati Ilahi
dipanjangkan usia dalam mentaati
segala impianmu  telah dipenuhi
sampai saat kita dipertemukanNya nanti

23‏/01‏/2011

Sudahkah Pasti dan Bersedia?

Setiap diri pastinya :
Ingin diri dihargai...
Apakah sudah menghargai orang lain?

Suka diberi perhatian....
Apakah sudah mengambil berat keadaan orang lain?

Mahu ditunaikan hak....
Apakah sudah tunaikan hak kepada orang?

Mahu dikasihi semua....
Apakah sudah mengasihi orang lain?

Perlukan penghormatan....
Apakah sudah menghormati orang lain?

Inginkan kemewahan dan kesenangan....
Apakah sudah membayar zakat dan memberi kepada yang memerlukan?

Tidak ingin disisihkan....
Apakah sudah menjadi pendamping setia ketika diperlukan?

Impikan kebahagiaan....
Apakah sudah berdoa dan berusaha ke arahnya?

Mengharapkan keampunanNya...
Apakah sudah beramal dan bertaubat nasuha?

Mendambakan syaaat Rasulullah....
Apakah sudah mengikut sunnahnya?

Mengimpikan kejayaan di setiap lapangan.....
Apakah sudah tekun berusaha, berdoa dan menuju ke arahnya

Takutkan azab alam barzakh dan akhirat....
Apakah bersiap sedia dengan perisainya?

Teruja dengan cinta manusia....
Apakah yakin mendapat cinta Ilahi nanti?


Muhasabah diri.......


Andainya Engkau Tahu....

Jika sedang diuji
 ingatlah Dia sedang menunggu penghampiranmu kpdNya
Jika sedang menangis
ingatlah ada insan yang lebih dahulu menangis drpdmu
Jika sedang menderita
ingatlah insan lain yang lebih besar penderitaannya drpdmu

Jika sedang kecewa
ingatlah insan yang lebih dahulu mengalami kekecewaan drpdmu
Jika sedang gembira
 ingatlah Dia jangan sampai terleka
Jika sedang bercinta
ingatlah tiada cinta yang agung mengatasi cintaNya
Jika sedang bahagia
ingatlah nikmatNya yang tiada terhingga

Andainya engkau tahu
Tangisan dan penderitaan Rasulullah
bukan kerana hal peribadi
bukan kerana hal keduniaan
semuanya berkaitan dengan ummatnya

Pasti engkau tiada kecewa
pasti tiada aliran airmata
pasti engkau kembali menyedari
pasti engkau kembali menginsafi
pasti engkau bangkit kembali
seperti kebangkitan Rasulullah dan sahabatnya

Andainya engkau tahu
penghujung kehidupanmu
dimana dan siapa menemanimu
bukannya insan yang engkau kasihi
bukan jua harta yang melimpahi
telah tersurat jawapannya yang pasti

Pasti dirimu kesuntukan waktu
mengumpul amalan jua pahala
untuk dipersembahkan kepadaNya
itulah hari yang paling bermakna
jika engkau insan yang kembali padaNya
jiwa penuh tenang damai dan redha

20‏/01‏/2011

Sukarkah mengucapkan kalimah itu?السلام عليكم

Sukarkah lidah menuturkan satu kalimah السلام عليكم' "al-salamualaikum" ketika  bertembung atau bertemu dengan saudara seislam walaupun tidak dikenali. Itulah realiti masyarakat dunia hari ini dimana kalimah yang menjadi salah satu sunnah sudah tidak lagi diamalkan dan dianggap asing oleh umat Islam itu sendiri.

Salah satu petanda hampir tibanya kiamat ialah ucapan salam sudah jarang diamalkan dan hanya mengucapkannya kepada  yang dikenali sahaja. Ini bertepatan dengan sabdaan Rasululullah saw:
"Sesungguhnya salah satu dari tanda-tanda dekatnya hari kiamat iaitu seseorang memberi salam kepada orang yang hanya dikenali sahaja"
(H.R Ahmad I/406)

Rasulullah juga bersabda:
"Kamu tidak akan masuk ke dalam syurga sehingga beriman dan kamu tidak beriman hingga saling berkasih sayang diantara kamu. Sukakah saya tunjukkan sesuatu yang jika kalian lakukan akan timbul saling menyayangi diantara kamu iaitu sebarkanlah salam diantara kalian".
 (HR.Muslim)

Ucapan salam sebenarnya menyatukan ummah dan mewujudkan hubungan ukhuwwah yang utuh jika diucapkan dengan penuh keikhlasan tanda penghormatan sesama Islam. Namun tidak ramai yang menyedarinya dan sesetengahnya menganggap salam adalah perkara yang remeh dan boleh menjatuhkan statusnya. Itulah satu kerugian yang telah berlaku kepada umat akhir zaman ini. Sikap individualistik dan keegoan telah membentengi diri sehingga perkara sunnah yang senang untuk dibuat pun telah dijadikan sukar malah malu untuk mengucapkannya.

Firman Allah: "Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa)..."(Al-Nisa 86)
Penghormatan dalam Islam ialah  dengan mengucapkan salam iaitu "al-salamualaikum".

Rasulullah ditanya oleh seseorang:"Apakah amalan dalam Islam yang terbaik? Rasulullah menjawab:"Menjamu makanan kepada orang dan mengucapkan salam kepada sesiapa yang kamu mengenalinya atau tidak mengenalinya" . (H Muttafaq alaih)

Cara Memberi Dan Menjawab Salam

Memberi salam hukumnya adalah sunat manakala menjawabnya adalah wajib. Oleh itu jika diberi salam oleh seseorang menjadi kewajipan ke atas diri kita untuk menjawabnya.Orang yang memberi dan menjawab salam kedua-duanya akan mendapat pahala setimpal dengan perbuatan dan kalimah yang diucapkannya itu.

Kalimah salam yang sempurna dan disunatkan adalah :
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Dan wajib dijawab sebaik-baiknya dengan kalimah berikut:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Adab  Salam

Rasulullah saw bersabda:"Hendaklah orang yang menunggang memberi salam kepada  yang berjalan, orang yang berjalan memberi salam kepada yang duduk dan orang banyak (ramai) memberi salam kepada yang sedikit".
Dalam riwayat Bukhari menambah "(hendaklah yang lebih besar (berumur) memberi salam kepada yang kecil (kanak-kanak)".

Betapa mudahnya cara dan adab memberi salam dan menjawab salam, semuanya telah jelas termaktub di dalam al-Qur'an dan sunnah Rasulullah cuma manusia yang membuatnya menjadi sukar. Salam berkait rapat juga dengan sifat rendah diri seseorang muslim. Untuk menundukkan perasaan mazmumah dalam jiwa terutamanya sifat sombong atau takbur sebaik-baiknya amalkanlah dengan istiqamah memberi dan menjawab salam. Ringankanlah lidah untuk menyebut dan menuturkannya, buangkanlah perasaan malu untuk menebarkan salam.

Walaupun kita dikurniakan dengan kekayaan, ternama, berpangkat, memiliki segalanya sebenarnya disisi Allah semuanya adalah sama,  yang membezakan kedudukan dan kemuliaan seseorang insan di sisiNya adalah ketakwaan. Sebab itulah ada hikmah Rasulullah menggalakkan orang yang sepatutnya terdahulu memberi salam adalah di pihak penunggang kepada pejalan kaki, pejalan kepada yang duduk, yang ramai kepada yang sedikit dan  yang besar kepada kecil. Ini salah satu tarbiah daripada Rasulullah supaya umatnya mendidik hati dengan sifat-sifat mahmudah antaranya rendah diri atau tawadhuk dan mengikis sifat mazmumah antaranya sifat sombong dan takbur.

Fenomena yang berlaku hari ini sangat menyedihkan dimana umat Muhammad sudah  tidak lagi menjadikan salam sebagai amalan. Apabila bertemu dengan saudara yang tidak dikenali bukan mudah hendak mengucapkan salam apatah lagi untuk menegur dan bertaarruf. Masyarakat elit hari ini kebanyakannya bersikap mementingkan diri (selfish) dan menganggap mungkin dengan menundukkan diri memberi salam kepada kanak-kanak atau kepada orang miskin yang berjalan akan menjatuhkan maruah dan nama baiknya.

Realitinya hanya segelintir umat Muhammad yang masih mengamalkan ucapan salam ini dan selalunya orang miskin dan golongan bawahan yang tidak lokek dan tidak malu menghulurkan ucapan salam kepada yang dikenalinya atau pun tidak dikenalinya. Jika diri sendiri yang tidak memulakan mengamalkan sunnah ucapan salam ini siapakah yang kita harapkan untuk memulakannya. Tidakkah kita ingin menjadi hamba yang dikasihi bukan hanya oleh Allah malah seluruh penghuni langit dan bumi?. Tidakkah kita mahu menjalinkan hubungan persaudaraan dengan seluruh umat baginda yang bersatu hatinya dalam pengabdian kepadaNya dan kalimah tayyibah لا اله الا الله محمد رسول الله . 

Sebagai muhasabahnya ingatlah wasiat Rasululullah kepada umatnya :"Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah mereka yang memulakan memberi salam antara kamu". (HR Abu Daud)
Dengan hadith di atas berlumba-lumbalah wahai diri untuk menebarkan salam antara sesama muslim.
Insyallah dengan galakan sunnah menebarkan salam kita tergolong di kalangan mereka yang suka untuk memulakan ucapan salam dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

16‏/01‏/2011

Pusara Persinggahan Pertama Sebelum Ke Akhirat

Pusara atau kubur merupakan tempat persinggahan sementara sebelum tibanya hari penghisaban dan  menghadap Allah Rabbulizzati. Apabila tiba masanya setiap jiwa akan menemui penciptanya. Setiap insan telah ditentukan ajal dan kematiannya. Alam barzakh  tempat persemadian dan tempat menerima azab sementara menunggu tibanya hari kiamat.

Betapa bahagianya jika meninggal dunia dalam 'husnul khatimah' (mati dalam keadaan baik dan beramal soleh) dan bersemadi di sana dalam keadaan nikmat dan digambarkan seperti berada di dalam syurga. Namun betapa tersiksa dan azabnya bersemadi di dalam kubur jika meninggal dunia dalam keadaan su'ul khatimah (dalam keadaan melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah).

Rasulullah saw bersabda:
 إنما القبر روضة من رياض الجنة أو حفرة من حفر النار
Bermaksud:"Sesungguhnya kubur satu taman daripada taman-taman syurga atau satu lubang daripada lubang-lubang neraka".

Mati itu pasti datang walaupun seseorang belum bersedia hendak mati. Jika ditanya apakah sanggup dan sudah bersedia meninggalkan dunia dan semua kenikmatan yang dirasai di dunia. Jawapannya pasti masih tidak bersedia dan tidak sanggup, apatah lagi bila mengingatkan amalan yang masih sedikit dan belum puas berada di dunia bersama insan-insan tercinta dan kenikmatan yang dikecapi di dunia.

Kematian dan pusara menginsafkan diri yang lalai dengan dunia. Ketakutan akan menghinggapi diri apabila melewati dan melalui pusara yang sunyi sepi. Berada di atas pusara pun boleh mengundang ketakutan dan kesunyian, cuba bayangkan bagaimana jika berada di dalamnya yang penuh kegelapan dan kelemasan diselimuti tanah serta serangga berbisa pada zahirnya dan azab sengsara pada batinnya. Ya Allah jauhi kami daripada azab kubur dan fitnahnya.

Mati itu datangnya dengan mengejut dan tidak terduga. Jika berlaku kematian kepada insan yang terdekat dengan kita, terasa baru semalam kita bercerita dan bergelak ketawa dengannya. tiba-tiba hari ini diberitahu dia telah kembali kerahmatullah. Hari ini jasadnya diusung ke tanah perkuburan, jasadnya disemadikan selama-lamaya dan tiada lagi peluang untuk kembali ke dunia.

Tentu tidak sedikit kesedihan dan kepiluan yang dialami malah kenangan bersama bukan mudah untuk dilupakan dan itulah sketsa sebuah kehidupan. Kesedihan bukan hanya dirasai oleh orang yang masih hidup malah ruh si mati juga menangis dan bersedih meninggalkan seluruh insan tercinta, harta dan kehidupan dunianya.

"Memadailah kematian sebagai peringatan"(al-hadith). Dalam al-Qur'an Allah berfirman:"Setiap yang bernyawa akan menemui kematian". Kematian dan pusara sebaik-baik peringatan yang boleh memberi keinsafan kepada yang masih hidup. 

Justeru untuk menghasilkan keinsafan dan mendidik hati agar sentiasa mengingati kematian, luangkanlah masa untuk menziarahi orang mati dan menghantar jenazah ke kuburan. Hati dan jiwa yang keras akan mudah lembut dan tidak mustahil menjadi insaf serta sedar jika menyaksikan kematian dan tanah perkuburan. Dengan ini pasti diri akan kembali kepada Allah dalam keadaan suci dan bersih daripada dosa dan bertaubat dengan taubat nasuha.

Ingatlah setiap yang bernyawa bahawa kematian begitu hampir dengan setiap insan. Hanya insan yang bertakwa dan beramal soleh akan gembira dan tersenyum menemui tuhannya, kuburnya dibuka seluas-luas mata memandang dan dia sudah dapat melihat tempat tinggalnya seperti di dalam taman syurga. Manakala orang yang derhaka dan fasik akan menemui tuhannya dalam keadaan gelisah, keluh kesah dan dia tetap akan menerima azab di awal persemadiannya di alam barzakh. (Nauzubillah min zalik)

 " Ya Tuhanku ...Aku memohon berlindung daripada azab kubur dan azab neraka dan daripada fitnahnya".Amin


15‏/01‏/2011

Sambutan Hari Ulangtahun kelahiran

Hari jadi atau hari lahir menjadi satu tarikh yang begitu bermakna bagi sesetengah orang. Masyarakat Islam juga tidak terkecuali menyambut ulangtahun kelahiran. Sambutan Ulangtahun kelahiran sebenarnya diharuskan dalam Islam namun cara sambutan itu perlu berlandaskan agama dan tidak meniru budaya atau cara sambutan masyarakat barat.

Sebaik-baiknya tidak melampau batas dan tidak mengikut budaya hindu atau kristian. Contohnya mengadakan pesta besar-besaran dengan percampuran bebas lelaki dan perempuan, majlis nyanyian dan tarian yang memang jelas melalaikan  diri sendiri dan tetamu yang hadir, menghidangkan minuman keras buat tetamu. 

Di samping itu, menyediakan kek dengan dinyalakan api lilin juga termasuk budaya bukan Islam. Ini kerana ada satu hadith:
من تشبه بقوم فهو منهم (أبو داود عن ابن عمر
Yang bermaksud "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia tergolong di kalangan kaum itu".

Umat Islam tidak salah mengadakan majlis sambutan mengingati hari jadi asalkan tidak mengikut budaya yang menyalahi syariat. Sebaik-baiknya sambutan hari lahir adalah dengan mengadakan kenduri doa selamat, menjemput para alim ulama' dan mengadakan solat hajat, menjamu makan orang-orang miskin dan anak-anak yatim.

Dengan ini hari tersebut bukan sahaja menyukakan hati sendiri bahkan menggembirakan hati ibubapa dan semua tetamu yang hadir. Barulah akan ada keberkatan dan rahmat dari Allah serta penghuni langit iaitu para malaikat yang juga akan turut mendoakan buat mereka yang sentiasa membuat amal jariah serta majlis mengingati Allah di dalam kediamannya.

Perkara yang sering dilupakan juga adalah mengucapkan terima kasih kepada ibubapa kerana tanpa mereka kita tidak akan lahir ke dunia ini. Tanpa mereka yang menjaga dan mendidik kita dari tapak kaki sebesar ibu jari tentu kita tidak dapat menjadi  seperti hari ini. 

Lebih-lebih lagi pengorbanan dan susah payah ibu yang menggendong kita sejak berusia sebulan hingga sembilan bulan di dalam perutnya. kesakitan bersangatan yang tidak tertanggung  dan hampir terputus nyawa dari badan apabila saat melahirkan diri kita ke dunia.

Adakah kita menemui dan mengucup ibu semasa ulang tahun kelahiran? Jika diri sentiasa dihambat kesibukan tugas adakah kita cuba menghubunginya sepatahkata dengan mengucapkan 'ibu...hari ini hari jadi saya...terima kasih kerana susah payah ibu mengandung, melahirkan, menyusukan  dan membesarkan saya selama ini'. 

Adakah kita meluangkan masa bersendirian bersujud syukur kepada Allah kerana masih memberi peluang hidup dan bernafas di bumiNya. Adakah kita memperbaharui taubat kepadanya dengan penuh keinsafan di hari yang dianggap paling bermakna itu.

Sebagai muhasabahnya ingatlah firman Allah dalam surah Luqman:"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) terhadap dua orang ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah, dan menceraikannya daripada menyusu dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, hanya kepadaKulah kembalimu".

Wallahu'alam....






11‏/01‏/2011

Isteri Bekerja Vs Isteri Tidak Bekerja

Dalam ruangan ini tergerak pula saya nak berkongsi berkenaan isteri bekerja dan isteri tidak bekerja. Pada hari ini masih ada pemikiran tipikal masyarakat bahawa jika hendak memilih calon menantu atau calon isteri, selain dari berwajah cantik, berkedudukan dan berharta perkara yang perlu diutamakan juga ialah perempuan tersebut mempunyai kerjaya tetap dan berlatarbelakangkan pendidikan tinggi.

Bukan sedikit kebimbangan yang timbul di hati mertua dan ibubapa jika pilihan anak lelakinya gadis yang tidak bekerja dan hanya memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Ini kerana jika isteri tidak bekerja semua tanggungjawab dan beban kewangan akan terpikul ke atas bahu anak lelakinya sahaja sementara si isteri hanya duduk goyang kaki di rumah, dengan ini tentu bebanan akan  semakin bertambah jika memiliki anak yang ramai pula. Pemikiran dan anggapan begini perlu dinilai dan diperbetulkan semula dan jika anda termasuk di kalangan yang sependapat dengan tanggapan di atas berusahalah mengubahnya.


Jika diselusuri  sejarah silam, sebenarnya tugas wanita adalah sebagai sayap kiri kepada lelaki dan bertanggungjawab membantu kaum suami. Ramai dari kaum wanita zaman Rasulullah dan para sahabat yang keluar ke medan jihad dan menolong  suami dalam perniagaan, menguruskan haiwan ternakan dan dalam urusan rumahtangga. Contohnya ummahatul mukminin Saidina Khadijah r.anha terkenal sebagai usahawan dan hartawan berjaya namun sanggup berjuang bersama Rasulullah dalam menyebarkan Islam dan menjadi ibu yang cemerlang.

Walaupun demikian,  tugas hakiki wanita adalah sebagai isteri dan ibu. Walaupun mereka keluar bekerja tanggungjawab menyusukan anak, mendidik  dan memberi belaian kasih sayang terhadap keluarga tidak boleh diabaikan sama sekali. Wanita keluar rumah adalah diharuskan untuk keperluan dan hajat, asalkan tahu menjaga diri dan batas-batas pergaulan mengikut landasan syariat.

Saya tidak mahu menyentuh secara panjang lebar berkenaan hukum wanita keluar bekerja kerana semua telah maklum Islam mengharuskan  seorang isteri keluar bekerja membantu suami dalam bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan fitrah wanita itu sendiri antaranya  sebagai pendidik, penjawat awam, peniaga, jururawat, doktor dan sebagainya mengikut kemahiran masing-masing. Namun perlu memahami bahawa tanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga adalah terletak di bahu suami.

Tulisan ini lebih menjurus kepada anggapan sesetengah masyarakat yang menganggap tidak sesuai bagi wanita yang mempunyai pendidikan tinggi namun hanya memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Bagi mereka satu kerugian jika hanya berada di rumah dan tidak berbaloi dengan hanya mengasuh anak-anak dan berkhidmat kepada suami, sedangkan sudah banyak wang yang dihabiskan semasa belajar dan satu kerugian jika ilmu yang dipelajari tetapi tidak dipraktikkan atau disampaikan kepada masyarakat.

Sekiranya melihat dengan pandangan yang jauh dan telus, isteri yang tidak bekerja juga banyak membuat jasa dan pengorbanan untuk keluarga. Mereka ini menghabiskan waktu sepanjang masa untuk berbakti kepada suami dan anak-anak. Bermula matahari muncul di waktu pagi, tangannya sudah ligat ke dapur, mengemas dan memasak makanan untuk suami dan anak-anak, ada juga yang mengambil tugas sebagai pemandu menghantar anak-anak ke sekolah.

Setelah itu suri rumah akan  bergegas pula membasuh pakaian, mengemas rumah dan menyiapkan keperluan pakaian, menghidangkan makanan untuk suami dan anak-anak. Tugas ini tidak akan habis sehinggalah matahari terbenam. Jika mempunyai suami yang sentiasa sibuk dan bekerja di luar daerah, isteri jugalah yang mengambil semua tanggungjawab mengurus anak-anak berkenaan  persekolahan dan sebagainya.

Isteri  tidak bekerja yang dianggap tidak mendatangkan sebarang hasil dari segi material sebenarnya mendatangkan banyak manfaat terhadap kebahagiaan rumahtangga dan penyemaian benih keimanan dalam pembinaan akhlak dan peribadi cahayamata. Lebih-lebih lagi jika ibu mempunyai latarbelakang pendidikan tinggi khususnya dalam bidang agama, ibu tersebut akan lebih bijak membahagikan masa antara menguruskan kerja rumah dan mengambil berat dalam pendidikan rohani serta pembentukan iman dan jati diri  anak-anaknya.

Jadi mengapa masih ada yang keliru dan menganggap belajar sampai ijazah tapi hanya terperuk di dapur dan di rumah, membuat kerja yang sepatutnya dibuat oleh 'bibik'  serta tidak memberi sebarang input kepada keluarga. Ada juga yang berkata 'duduk kat rumah pun penat juga sebab banyak kerja rumah yang kena buat tapi tak ada gaji, baik pergi kerja dapat juga gaji bulanan'.

Golongan yang beranggapan sebegini sebenarnya cetek pemikirannya dan hanya mementingkan kebendaan dan kesenangan serta kehidupan dunia semata-mata, sebaliknya tidak memahami secara mendalam tentang kepentingan menjadi isteri solehah serta ibu yang bertugas mendidik anak-anak ke arah iman dan akhlak sebagaimana yang diperintahkan Allah dan RasulNya.

Suri rumah yang berpendidikan itu sendiri yang mengambil tanggungjawab mengajar anak-anak tentang solat, pembacaan al-Qur'an di samping membimbing dalam pelajaran, menunjukkan peribadi yang terpuji dan mendidik anak-anak supaya berakhlak mulia. Betapa beruntungnya anak-anak yang dibelai, dijaga serta dididik oleh ibunya sendiri sepanjang masa, mereka akan membesar dalam suasana penuh kasih sayang dan bimbingan ilmu agama serta pendidikan berlandaskan al-Qur'an dan sunnah.

 Anak-anak inilah akan menjadi pewaris para ulama' dan para nabi apabila mendapat didikan sejak mula bertunas dengan iman dan mempunyai ibubapa yang mengamalkan cara hidup beragama. Pasti banyak perbezaannya antara anak yang diasuh dan dididik oleh ibu sendiri dengan anak yang ditinggalkan dengan pengasuh atau 'bibik'.

Jika ibu tersebut bekerja di luar,  tanggungjawab mengasuh akan bertukar tangan kepada pengasuh atau pusat jagaan kanak-kanak, manakala yang sudah mula belajar akan di hantar ke sekolah. Masa untuk bersama anak-anak begitu terhad dan terbatas lebih-lebih lagi jika pekerjaan tersebut yang mengambil masa dari pagi hingga ke petang dan banyak pula bertugas di luar daerah. 

Dalam keadaan yang begitu terbatas cuba bayangkan bilakah masanya ibu tersebut hendak memberi perhatian terhadap keluarganya. Masa yang ada cuma waktu malam dan masa itu anak-anak sudah tidur. Hanya hujung minggu sahaja isteri dan ibu mempunyai masa bersama suami dan anak-anak, itupun agak terbatas sekiranya banyak kerja rumah yang menunggu untuk disiapkan lebih-lebih lagi jika tidak mempunyai pembantu rumah.

Sekiranya kedua ibubapa yang sibuk bekerja, secara tidak langsung akan menyerahkan tanggungjawab mengurus rumahtangga dan mengasuh anak-anak kepada pengasuh atau dipanggil 'bibik'. Sebab itulah tidak mustahil anak-anak lebih rapat dengan pengasuh dan mengikut perangai dan akhlak mereka. Salah satu faktor keruntuhan moral anak remaja zaman ini juga berpunca daripada sikap sesetengah ibubapa yang mementingkan dunia pekerjaan dan kesibukan mencari harta sehingga mengabaikan tanggungjawab memberi perhatian, kasih sayang dan didikan agama terhadap anak-anak.

Justeru itu anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang dan perhatian akan mencari rakan sebaya sebagai tempat meluahkan masalah atau menumpang kasih sayang. Oleh itu tidak mustahil mereka terjebak dengan pengaruh negatif seperti menagih dadah, menghisap rokok semasa berada di bangku sekolah, ponteng  dan melanggar disiplin.

Saya ingin berkongsi keadaan yang pernah saya saksikan di mana sekumpulan  pelajar yang masih berpakaian seragam sekolah menengah sedang berbual sambil menghisap rokok di sebuah restoren pada waktu zohor. Di sini kita dapat membuat kesimpulan samada mereka telah ponteng sekolah sekiranya mereka belajar sesi petang dan mereka pulang lewat ke rumah sekiranya waktu persekolahan pada sesi pagi. Di manakah ibu atau bapa mereka pada masa itu?. Siapa yang patut dipertanggungjawabkan dalam hal ini?.

Selain bapa, wanita yang bergelar ibu juga sebenarnya menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan cahayamatanya menjadi insan berguna dan sempurna dari segi akhlak dan imannya. Tidak kira samada ibu tersebut memilih untuk bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Jika memilih untuk bekerja ibu perlu memastikan masa yang ada digunakan sebaik mungkin dan tidak melepaskan tangan dalam memberi tarbiah dan perhatian terhadap zuriatnya.

Begitu juga ibu yang mempunyai sepenuh masa dengan keluarga hendaklah mengambil peluang semaksima mungkin dalam memberi tarbiah rohani dan mengajar zuriatnya berkenaan ilmu dan akhlak Islamiah, di samping melaksanakan tanggungjawab dan hak-hak kepada suaminya dengan penuh kerelaan dan keikhlasan. Ganjarannya tentu dapat dikecapi semasa hidup di dunia ini lagi.

Sebab itulah lelaki yang betul-betul memahami amanah dan tanggungjawabnya lebih suka jika mempunyai isteri yang tidak bekerja dan sentiasa berada di rumah bagi memastikan kasihsayang dan perhatian terhadap anak-anaknya tidak terabai. Baginya cukuplah hanya dia seorang yang  bertungkuslumus mencari rezeki bagi kebahagiaan keluarganya tanpa membiarkan isterinya juga sibuk bekerja di luar rumah. Dia berasa lebih senang jika isterinya hanya menjadi suri sepenuh masa. Beruntungnya wanita yang mendapat suami yang tahu menghargai, memahami dan mengasihani pasangannya.

Saya amat menghargai dan begitu kagum jika menemui seorang isteri dan ibu yang berpendidikan tinggi namun sanggup berkorban untuk keluarganya dengan memilih menjadi suri rumah sepenuh masa dan mendidik anak-anaknya sehingga berjaya menjadi insan berguna  dan berakhlak mulia. Dia sanggup meninggalkan dunia kerjaya dan pendapatannya yang tinggi semata-mata hendak mengasuh putera puterinya dengan acuan tangannya sendiri, hasilnya sudah dapat diraih apabila melihat anak-anaknya berjaya cemerlang dan menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada agama.

Selain melihat kepada sejarah para sahabiah yang memiliki zuriat berjiwa kental dan sanggup syahid dijalanNya seperti kisah Ummu Sulaim yang berbangga mempunyai anak lelaki yang keempat empatnya syahid berjuang dalam ghazwah, kita juga tentu dapat melihat bagaimana kebanyakan ibu-ibu tahun awal 30-80 an hanya menjadi suri rumah namun pengorbanannya menggandakan hasil yang sangat lumayan  apabila kebanyakkan anak-anaknya berjaya  dan menjadi tokoh ilmuan Islam terkemuka di dunia. Inilah keberkatan usaha dan doa seorang ibu. Ibarat pepatah mengatakan 'tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia'.

Bersambung.....


09‏/01‏/2011

Tanggapan Salah Masyarakat Tentang Aurat

Salah Faham Wanita Tentang Aurat

Bila menyentuh berkenaan aurat sudah tentu tidak sedikit antara kaum wanita akan berkata...alah sudah tahu...isu lama ...tak payah la nak hurai atau cakap lagi...
Sebenarnya tulisan ini hanya ringkas dan tidak lebih sekadar sebagai satu muhasabah juga peringatan buat diri ini, kemungkinan ia juga akan menjadi asbab hidayah buat pembaca budiman yang sedang memperbaiki diri. Insyallah.

Di bawah ini dijelaskan beberapa salah faham sebahagian wanita tentang aurat:

i - Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
ii- Bertudung tetapi ber‘T-Shirt’ berlengan pendek.
iii- Bertudung tetapi baju kebarungnya dengan terbelah kainnya.
iv - Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.
v-Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
vi-Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
vii-Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
viii- Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan jangan kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir.” (an-Nur: 31)

Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub’ kata jama’ (bentuk plural) dari kata jaibun, iaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.

Pengaruh Fesyen trendy dari barat

Fenomena hari ini dapat disaksikan bagaimana cara wanita berpakaian. Sebahagiannya hanya kerana ikut-ikutan dan mengikut trend terkini. Tidak sedikit yang masih mendedahkan anggota badannya seperti bahagian leher, belakang, paha, betis dan kaki.

Cara berpakaian gaya kontemporari  dan moden dari barat serta mengikut fesyen terkini sedang menular ke seluruh pelosok dunia termasuk negara Islam. Bagaimana puak barat bertepuk tangan melihat umat Islam terutama kaum wanita sudah masuk perangkap mereka dari cara berpakaian. Fesyen-fesyen terkini dan dianggap moden bukan hanya telah berjaya memasuki pasaran di bandar-bandar besar malah telah menembusi hingga ke pinggir bandar dan desa-desa.

Gaya berpakaian secara sopan dan mengikut sebagaimana yang dituntut dalam Islam sudah tidak lagi menjadi pilihan wanita terutama muda mudi.di zaman ini. Yang menjadi pilihan mereka ialah seluar jeans ketat, T-shirt lengan pendek, blouse ketat dan skirt singkat atau mengikut bentuk badan. Tudung di pasaran juga lebih trendy dan singkat, sangat nipis sehingga menampakkan bentuk leher.

Aurat di hadapan ipar duai sama dengan lelaki ajnabi lain 

Masih ada yang beranggapan bertudung hanya perlu apabila keluar rumah atau semasa ke sekolah, bekerja dan ke tempat jauh. Jika di sekitar rumah atau dalam rumah berasa segan atau janggal mengenakan tudung. Sebab itulah semasa majlis kenduri atau di hari perayaan kita dapat menyaksikan bagaimana cara wanita berpakaian. Rambut dibiarkan terdedah walaupun ada lelaki bukan  muhrim yang bertandang ke rumah seperti ipar duai, jiran atau rakan lelaki yang tidak sepatutnya melihat aurat rambut tersebut.

Kadang-kadang ada juga di kalangan wanita ini yang tahu dan pernah belajar agama, malah mengajar agama namun apabila tiba bab  berpakaian seolah-olah mereka ini termasuk juga di kalangan yang tidak tahu. Masih tetap berT-shirt lengan pendek, tidak bertudung atau  bertudung menampakkan leher  di hadapan ajnabi. Keadaan ini selalunya berlaku semasa majlis kenduri atau hari raya.

Mungkin sudah menjadi kebiasaan di dalam rumah hanya berbaju t- lengan pendek dan tidak memakai tudung, dan mungkin terlupa bahawa aurat dengan ipar duai juga sama seperti lelaki bukan muhrim, atau mungkin berasa janggal hendak mengenakan tudung dan menutup lengan dalam rumah sendiri.  Trend pakaian baju kelawar atau baju tidur juga sudah menjadi kebiasaan, sehingga ada yang pergi ke kedai atau ke pasar dengan hanya berbaju kelawar yang menampakkan lengan dan susuk badan.

Masih ramai juga  pengantin wanita yang masih mendedahkan rambut atau hanya menutup separuh rambut dan membiarkan lehernya dan betisnya terselak  semasa majlis persandingan. Mungkin bukan disengajakan tetapi dengan tujuan untuk menjadikan dirinya seperti raja sehari yang hanya sekali seumur hidup dan sanggup mengikut fesyen baju pengantin cara barat dan telunjuk mak andam atau pereka fesyen. Yang menyedihkan keluarga pengantin dan rakan taulan yang menyaksikan majlis tersebut bukan hanya berbangga malah memuji-muji majlis resepsi besar-besaran dan cara sambutan ala barat itu.

Mandi di khalayak ramai seperti di taman tema air, di pantai atau sungai

Sebaiknya  wanita muslimah akan mengelakkan diri untuk mandi di khalayak ramai kerana tubuh badan itu aurat yang wajib dijaga. Jika berasa juga hendak mandi pilihlah waktu semasa ketiadaan lelaki ajnabi. Atau  berusaha memilih dan mencari tempat yang tertutup dan dikhususkan untuk para wanita sahaja. Walaupun masih berpakaian lengkap dan bertudung, jika sudah masuk ke dalam air sudah tentu akan mendatangkan mudarat kepada diri dan tidak mustahil menampakkan bentuk tubuh. Keadaan  ini boleh menimbulkan fitnah kepada diri wanita itu dan juga lelaki ajnabi yang melihatnya.

Ingatlah setiap yang bergelar wanita bahawa wanita adalah fitnah dan syaitan akan sentiasa bersama dengan diri samada semasa ke luar rumah atau berada di dalam rumah'. Namun begitu jika keluar rumah tanpa menjaga aurat dan menutupnya dengan sempurna, pintu fitnah akan terbuka lebih luas malah dosanya lebih banyak. Ada yang menganggap isu pakaian adalah isu peribadi dan ianya hanya perkara kecil, namun sedarlah wahai diri dosa kecil jika dibiarkan berlarutan dan tanpa taubat akan mengundang dosa besar dan berada dalam kemurkaan Allah.

Sama-sama Muhasabah....

06‏/01‏/2011

Suri Efektif Dan Bijak Mengurus Ekonomi Keluarga.

Ibu Ayah Idolaku

Akhir-akhir ini kita diikejutkan dengan kenaikan harga barangan terutama produk-produk utama yang menjadi kegunaan penting seperti minyak petrol, minyak masak, tepung, gula dan sebagai. Tentu tidak sedikit tercetus perasaan kebimbangan dan kerisauan dengan keadaan krisis ekonomi yang sedang melanda negara sedunia.

Sebagai suri rumah pasti kita juga akan terkena tempiasnya, lebih-lebih lagi dengan berita tersebut di saat kita sedang membuat persiapan persekolahan anak-anak. Banyak perkara yang perlu diuruskan dan melibatkan kos terutama pakaian sekolah, peralatan sekolah seperti buku  termasuk juga yuran persekolahan dan tambang pengangkutan.

Jika anak-anak ramai agak sukar bagi ibu dan bapa untuk mengagihkan kewangan dan melengkapkan semua keperluan tersebut sekaligus. Bagi ibu bapa yang bekerja berpendapatan tetap pun merasai bagaimana kos sara hidup yang semakin tinggi meningkat, bagaimana pula dengan keadaan ibubapa yang tidak berpendapatan tetap, yang hanya bekerja sendiri seperti petani, buruh kasar dan nelayan.

Saya tidak ingin menyentuh tentang krisis ekonomi yang berlaku di negara kita atau negara sedunia. Saya ingin membawa  kepada bagaimana cara dan ikhtiar kita untuk menguruskan kewangan dalam keluarga dan meningkatkan ekonomi di dalam rumahtangga.

 Teringat saya bagaimana cara dan ikhtiar  ibu ayah saya semasa saya masih kecil. Saya tetap berbangga apabila di sekolah ditanya tentang pekerjaan ibubapa  saya.Tanpa malu atau segan saya menjawab ibu ayah saya petani.

Masih terbayang jelas dimata saya, bagaimana ayah membajak di sawah dan membanting tulang menuai padi cara tradisional, ibu juga tidak ketinggalan membantu ayah turun ke sawah menyemai , menyabit dan menuai padi. Sementara menunggu    hasil padi,  ayah bekerja pula sebagai buruh kasar, ibu pula membuat nasi dan kuih muih untuk dijual dan diletak di warung atau restoren. Selain itu ibu juga menanam sayur-sayuran dalam jumlah yang banyak dan menjualnya di pekan berhampiran.

Itulah ikhtiar dan usaha mereka untuk mendapatkan sumber rezeki bagi menampung kehidupan dan persekolahan anak-anak. Kegigihan dan kerajinan ibu dan ayah yang tidak jemu mencari rezeki dan punca pendapatan sebenarnya sudah membuahkan hasil di mana kebanyakan anak-anaknya berjaya menjadi insan cemerlang dalam kerjaya dan menjadi anak soleh yang berjasa dan tidak pernah melupakan pengorbanan ibu dan ayah.

Bijak Mengurus Ekonomi Keluarga

Perkongsian  di sini ialah bagaimana ibu begitu pandai mengagihkan kewangan keluarga walaupun tidak mendapat pendidikan yang tinggi, beliau bijak dalam menguruskan ekonomi keluarga, ibu tidak lupa menabung dan berjimat cermat. Ayah memang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ibu dengan menyerahkan hasil pendapatan kerana yakin ibu tahu menguruskannya.

Cara hidup yang sederhana dalam semua keadaan dari tempat tinggal, makanan dan pakaian menjadi amalan ibu dan ayah. Rumah binaan dari kayu, tiada perhiasan rumah atau alat-alat elektrik, pakaian ibu ayah pun jarang dibeli dan berganti baru. Ini kerana mereka lebih mementingkan keperluan wang untuk menampung pembelajaran anak-anak. Saya berfikir itulah sepatutnya yang perlu dicontohi dan diikuti oleh para suri rumah hari ini.

Peranan Suri Rumah Efektif

Wanita yang bergelar isteri dan ibu sepatutnya mengetahui cara berbelanja dengan berhemah dan tidak mengikut kehendak diri dengan berbelanja pada sesuatu barang atau perkara yang tidak penting. Utamakan keperluan yang penting seperti barang keperluan dapur dan wang perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Elakkan makan di luar dan membeli makanan yang ready made. Di samping untuk berjimat, bagi menjaga kebersihan dan kesihatan dari segi  pemakanan, ini kerana makanan ready made  banyak pengawetnya dan tidak segar.

Tingkatkan kemahiran diri seperti mengambil inisiatif belajar memasak seperti membuat kuih, kek atau biskut dan sebagainya. Sekurang-kurangnya dengan cara ini lebih menjimatkan kos jika dibandingkan membeli yang readymade di luar. Jika ada kemahiran lagi baik dan dapat  menambah pendapatan keluarga contohnya membuat mee, kek atau pastry untuk dijual. Begitu juga menambah kemahiran dalam bidang jahitan seperti menjahit pakaian dan sebagainya.Ini salah satu cara  membantu menambah pendapatan keluarga.

Perbelanjaan berhemah juga mengutamakan keperluan utama dan tidak mudah terpengaruh dengan peralatan rumah yang tidak perlu seperti hiasan-hiasan rumah yang mahal dan membawa pembaziran. Janganlah melihat kepada mereka yang mempunyai kemampuan dan  gaya kehidupannya yang mewah.

Jika ditakdirkan Allah menjadi orang yang sederhana pendapatannya, tidak perlu  terlalu teruja untuk memiliki kemewahan dalam sekelip mata. Sikap ini akan menyebabkan tidak senang dan gelisah sepanjang masa dan asyik berangan-angan untuk mendapatkan juga sebagaimana yang dimiliki orang lain.

Ringankanlah diri membaca kisah kehidupan para isteri Rasulullah dan para sahabiah, ini sebagai motivasi dan mendidik jiwa supaya kita tidak dipengaruhi dengan dunia dan banyak memikirkan bagaimana hendak menambahkan barang perhiasan diri dan peralatan rumah yang mahal dan serba canggih, juga bagaimana  hendak membeli pakaian yang indah dan berkualiti.

Sebenarnya inilah salah satu cara kita sebagai suri rumah yang prihatin dan bijak menguruskan ekonomi keluarga, berusahalah menjadi pembantu yang baik kepada suami dan tidak menyusahkan mereka dalam urusan berbelanja. Itulah suri rumah efektif dan berjaya.

Sebagai muhasabah ialah untuk perkara dunia, lihatlah orang yang di bawah supaya kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, untuk perkara agama, lihatlah orang di atas agar kita tidak memadai dengan apa yang kita ada.

05‏/01‏/2011

Al-Tahrim ayat 1-5 dan Ulasan Terperinci Hadith :Panduan Kepada Pasangan Suami Isteri Siri 2

Kisah Asbab Nuzul (Sebab Turunnya Ayat 1-5 Surah al-Tahrim)

Asbab Nuzul surah tahrim ayat 1-5 dalam sahihain ialah disebabkan  madu dimana Rasulullah mengharamkan
madu kerana ingin menyenangkan hati isteri-isterinya, tetapi Ibn Hajar lebih menyokong asbab nuzul atau turunnya ayat berkenaan disebabkan kisah hamba Rasulullah saw iaitu Mariah al-Qibtiah.

Pada suatu ketika Hafsah meminta izin dengan nabi untuk pulang ke rumah bapanya. Semasa ketiadaan Hafsah, Rasulullah telah mengajak Mariah masuk ke rumah Hafsah, apabila Hafsah balik dia mendapati Mariah berada bersama nabi di rumahnya.

Kemudian Rasulullah meminta Hafsah merahsiakan peristiwa itu dan tidak menceritakan kepada isteri-isteri lain, Rasulullah juga telah mengharamkan dirinya terhadap Mariah untuk menjaga hati isteri-isterinya yang lain. Akan tetapi Hafsah memberitahu juga kepada Aisyah. Dengan teguran daripada Allah itu, Rasulullah telah memisahkan diri daripada para isterinya selama sebulan.

Ulasan-ulasan  daripada riwayat-riwayat menunjukkan Rasulullah berpisah dengan isterinya bukan hanya berpunca daripada satu keadaan sahaja tetapi disebabkan beberapa keadaan yang ditimbulkan oleh isteri-isterinya. Ini adalah antaranya berpunca daripada rentetan dari kesan terpengaruh dengan sifat dan budaya wanita ansar.

Ulasan Terperinci Hadith

Hadith yang diriwayatkan oleh Buhkari ini diletakkan dalam bab "Bapa menasihati anak dalam mentaati suami". Disini boleh dibahagikan kepada dua kategori
Pertama: Pesanan untuk Isteri:

i-Sifat wanita Muhajirin dan sifat wanita Ansar
Jelasnya dari segi zahir wanita Islam yang patuh dan taat perintah Allah dan rasulnya perlu mencontohi sifat wanita Muhajirin yang tidak membantah suami dan tidak memboikot suami iaitu memisahkan diri daripada tempat tidur. Sifat mereka  patuh dan taat serta tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepada nusyuz atau derhaka kepada suaminya.

ii-Tidak meminta sesuatu perkara  berlebih-lebihan dan redha dengan pemberian suami.
Isteri yang beriman dan taat tidak akan meminta dan memaksa suaminya menyempurnakan keinginan nalurinya dengan melampau contohnya memberikan perhiasan yang mahal-mahal dan di luar kemampuan suaminya.Dia tidak pernah menyusahkan hidup suaminya.

iii-Tidak memarahi dan menjawab mulut suami
Isteri yang solehah tidak bersikap   melawan dan menyakiti suaminya samada dengan kata-kata dan perbuatan. Tuturkatanya penuh kelembutan dan menyejukkan hati suaminya.

iv-Menjaga dan menyimpan amanah suami.
Isteri yang solehah juga sentiasa menjaga amanah suaminya jika itu yang dipinta suami. Dia tidak akan membuka rahsia yang disimpan sebaliknya menjaga maruah dan amanah suaminya demi kebahagiaan dan keharmonian dalam rumahtangga.

v-Tidak mengikut perasaan cemburu yang akan menghasilkan kesan negatif kepada pasangan.
Isteri yang solehah tidak akan menurut perasaan cemburu yang melulu, tidak keterlaluan melayan perasaan itu sehingga menjejaskan hubungan dengan suaminya dan membawa kepada prasangka buruk serta perselisihan berpanjangan.

Pesanan untuk Suami
i-Tidak terlalu menurut telunjuk isteri
Tidak membuat keputusan tanpa ada asas yang kukuh.

ii-Bersabar di atas karenah isteri kerana ia adalah ujian
Mencontohi Rasulullah yang bergaul  baik dengan isterinya dan bersabar dengan sikap mereka.

iii-Bijaksana dalam pengurusan rumahtangga
Suami yang bertanggungjawab akan menjaga ahli keluarganya dengan penuh bijaksana dan menunaikan amanah dengan penuh keikhlasan.

Hadith Berkenaan  غيرة-Cemburu

Bahawa Rasulullah saw telah keluar daripada sisi Aisyah pada suatu malam, kata Aisyah aku pun cemburu kepada Rasulullah.  Maka apabila Rasulullah datang dia melihat keadaanku,  Rasulullah bertanya "Apa hal kamu Aisyah?Adakah kamu cemburu?. Maka aku berkata, "Kenapa tidak orang sepertiku cemburu kepadamu". Sabda Rasulullah saw:"Adakah telah datang syaitan kamu?". Aisyah bertanya:"Wahai Rasulullah adakah bersamaku ada syaitan?. Kata Rasulullah :"Ya". Aku bertanya:"Pada setiap orang? Jawab nabi :"Ya".
Aku bertanya lagi, "Dan ada bersama kamu Ya Rasulullah?". Rasulullah menjawab "Ya, akan tetapi tuhanku memeliharaku terhadap syaitan sehingga dia memeluk Islam". (Hadith riwayat Muslim)

Ulasan hadith ini:
Bagaimana layanan Rasulullah yang penuh hikmah dan sabar terhadap sikap cemburu Aisyah. Maksud hadith di atas jelas bahawa perasaan cemburu yang dibiarkan tanpa kawalan akan memberi laluan kepada hati  terjerumus ke arah menurut godaan dan bisikan syaitan. Ini kerana syaitan sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia dari petunjuk yang benar. Oleh itu berusahalah membersihkan hati dari segala penyakit mazmumah.

Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Ummu Salamah r.a masyhur dengan kecantikannya, apabila beliau dinikahi Rasulullah maka saya membuat helah dan telah pergi melihat beliau secara sembunyi. Saya mendapati bahawa beliau lebih cantik daripada berita yang saya dengar. Saya memberitahu ini kepada Hafsah r.a, beliau memberitahu, "Tidak, beliau (Ummu Salamah) tidak secantik sebagaimana yang dikatakan".

Isu berkaitan cemburu para isteri nabi patut dijadikan iktibar dan janganlah memanipulasinya untuk kepentingan diri dan cuba mencontohi atau mengikutinya. Buangkan sikap salah faham dalam diri setiap individu samada lelaki atau wanita bahawa api cemburu melampau yang ada selama ini patut dibiarkan atau tidak perlu memadamkannya dari dalam diri masing-masing.

Sentiasa bersikap terbuka dan bermuhasabah bahawa sejauhmana sifat cemburu patut dhiaskan dalam peribadi masing-masing. Jika membiarkan sifat cemburu melulu bermaharajalela dalam diri seolah-olah kita membiarkan diri hanyut dengan arus tipudaya syaitan. Ambillah pengajaran dan tidak mudah terpedaya dengan cemburu yang membawa ke arah keburukan. Buatlah pertimbangan sewajarnya kerana sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha  mengubahnya. 

Contoh Sikap Takwa Isteri Rasulullah Zainab R.anha
Aisyah berbangga kerana menjadi isteri yang paling disayangi Rasulullah sementara Zainab r.a berbangga dengan pernikahan dengan Rasulullah yang berlangsung di langit. Semasa Rasulullah menanyakan pendapat tentang Aisyah yang telah difitnah kepada Zainab beliau telah menjawab,"Saya tidak mengetahui sesuatu selain daripada kebaikan dalam diri Aisyah r.a."

Beginilah sikap orang yang bertakwa kepada Allah, sekiranya tidak kerana takwa inilah peluang yang baik untuk menfitnah dan menjatuhkan maruah madunya di hadapan suaminya tambahan pula madunya merupakan isteri kesayangan Rasulullah. Namun beliau dengan tegas membela Aisyah dan memujinya.

Kesimpulan

Riwayat dalam hadith berkenaan isteri Rasulullah ini tersirat pengajaran dan panduan kepada para isteri yang hidup pada akhir zaman ini. Begitu juga kisah pengajaran berkenaan sifat cemburu yang secara semulajadi wujud dalam diri insan berasal dari kaum hawa ini. Tidak dinafikan semua manusia memiliki perasaan cemburu, dan perasaan  ingin memiliki dan mencintai pasangan tanpa perkongsian dan bersifat memonopoli. Terutama bagi kaum hawa yang secara fitrah tidak ingin berkongsi cinta dan kasih sayang dengan orang lain.

Walaupun demikian fitrah tersebut tidak boleh dibiarkan sehingga melewati batas syariat. Cemburu perlu ditangani dengan penuh bijaksana dan diletakkan pada tempat yang adil dan sepatutnya. Jangan membiarkan ia menguasai diri dan akal yang waras sehingga bertindak di luar kawalan.

Peringatan untuk para isteri yang menurut perasaan cemburu agar tidak begitu menunjukkan perasaan tersebut kepada suaminya, ini kerana tidak mustahil suami akan berasa rimas dan bosan dengan sikap tersebut dan boleh menyebabkan suami berpaling arah. Begitu juga dengan suami yang cemburu buta sehingga sampai ke peringkat jiwa isteri merana dan menderita malah hingga sampai ke tahap penderaan mental dan fizikal.

Selalunya tindakan cemburu membuta tuli ini  akan diikuti perasaan marah dan prasangka buruk yang tidak berkesudahan. Sebagaimana banyak kes-kes perbalahan dan perselisihan faham berlaku dalam rumahtangga disebabkan perasaan cemburu buta dan sudah tidak dapat diselamatkan lagi . Oleh itu bertindaklah dengan penuh kesabaran dan mengikut landasan yang betul seperti anjuran di dalam al-Qur'an dan sunnah.

Benarkah tanggapan bahawa pasangan yang tiada rasa cemburu  dianggap tidak mempunyai perasaan sayang kepada suaminya dan benarkah anggapan orang mengatakan cemburu tandanya sayang. Itu semuanya pemikiran tipikal dan mitos sejak dahulu. Sepatutnya yang menjadi kayu ukur dalam keharmonian dan kebahagiaan dalam sesebuah rumahtangga adalah saling menghargai dan mempercayai serta keikhlasan mengasihi pasangan kerana Allah.

Jangan pula  cemburu yang negatif menyebabkan pasangan berasa tidak lagi dihargai, dihormati dan segala pergerakannya terbatas. Cemburu juga akan menzahirkan penyakit-penyakit hati yang lain seperti prasangka buruk, marah, hasad dengki dan berdendam dengan pasangan dan orang sekeliling terutama yang rapat dengan pasangan seperti rakan-rakan atau keluarganya.

Apakah cemburu boleh dikategorikan sejenis dengan  sifat hasad dengki. Rasulullah melarang sifat hasad dengki kecuali boleh berdengki dalam dua perkara iaitu dengki kepada  pembaca Al-Qur'an yang sentiasa istiqamah membaca dan beramal dengan kandungannya dan kepada orang kaya yang membelanjakan hartanya di jalan Allah siang dan malam.

Rasulullah bersabda:"Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang. Seseorang yang Allah telah merahmatinya dengan pembacaan al-Qur'an maka dia berada dalam keadaan  demikian siang dan malam dan  seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu (di jalan Allah) siang dan malam". (Hadith riwayat Bukhari, Tirmizi dan Nasai)

Mohonlah segala petunjuk dan hidayah daripada Allah serta perbanyakkan mengingati Allah semoga sentiasa berada  dalam ketenteraman dan ketenangan. Semakin banyak melayani perasaan dan angan-angan akan membuka pintu untuk syaitan memasukkan jarum was-was ke dalam hati manusia.

Penulisan ini berdasarkan panduan al-Qur'an dan hadith serta sumber dari kisah benar. Bacalah dengan minda positif untuk tujuan muhasabah diri.

Kajian ini buatku hambaNya yang serba dhaif....moga ia memberi manfaat untuk semua .
Wallahu'alam...