Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

31‏/10‏/2010

Kenikmatan Syurga...Siapakah yang layak merasai dan memasukinya?

Bahagian 1:
Nikmat Syurga dan Ahli-ahlinya

Syurga digambarkan sebagai tempat yang indah, cantik, menarik, menenangkan mata yang memandang, menyejukkan pandangan, menghiburkan, semuanya yang sedap didengar dan dipandang. Dunia yang sudah dianggap indah oleh manusia sebenarnya hanya satu sahaja nikmat yang dikecapi jika dibandingkan dengan kenikmatan syurga yang lebih berkali ganda dengan nikmat dunia.Nikmat syurga akan dapat dirasai, disentuh, dimasuki oleh hamba-hamba Allah yang bertakwa, beriman dan mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala tegahanNya.

Di dalam al-Qur'an penuh dengan penceritaan, perkhabaran dan janji-janji Allah tentang syurgaNya yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah: "Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (amat baik).
(Iaitu) syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang  yang soleh dari ibu  bapa mereka, isteri-isteri mereka, dan anak cucu mereka, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat -tempat mereka dari tiap-tiap pintu.
(sambil mengucapkan):"Salamun 'alaikum bima sabartum*. maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.
(Surah Al-Ra'd-a:22-24)*ertinya selamat sejahteralah kamu, diatas kesabaran kamu.

Siapakah ciri-ciri ahli syurga seperti yang tercatat dalam ayat di atas?.Jawapannya:
i-Orang yang sabar
Maksudnya ialah bersabar melakukan sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Allah walaupun sangat susah dan terpaksa melawan keinginan nafsu. Contohnya tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berjudi, minum arak, berzina, membunuh, mengambil harta anak yatim, makan riba, mengumpat dan sebagainya Mereka yang  berusaha sedaya upaya menjauhi maksiat dan larangan Allah untuk mencari keredhaanNya termasuk di kalangan yang sabar. Inilah antara golongan terpilih memasuki syurga 'adn.

ii- Orang yang mendirikan solat
Solat merupakan tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka dia telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah dikira meruntuhkan agamanya .(riwayat Baihaqi dalam Sya'bul -iman).

عن أبى سفيان قال سمعت جابرا يقول سمعت النبى -صلى الله عليه وسلم- يقول « إن بين الرجل وبين الشرك والكفر ترك الصلاة ».
صحيح مسلم [1 /61
Mafhum daripada hadith ini ialah sesungguhnya penyebab syirik dan kufur kepada seseorang adalah dengan meninggalkan solat. Jelaslah bagi yang meninggalkan solat dengan sengaja dan menganggap solat tidak wajib akan menjatuhkannya kepada kekufuran.Golongan yang menjaga solatnya dengan sempurna dari segi syarat dan rukun serta khusyu' telah dijanjikan oleh Allah balasan syurga.

iii-Golongan yang memberi nafkah dan sedekah
Mereka yang memberi sedekah dan membelanjakan hartanya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim serta mereka yang memerlukan pertolongan akan mendapat pahala jika melakukan dengan ikhlas tanpa megharap pujian dan balasan dari manusia. Mereka ini tidak sombong dan kikir dengan harta yang dimiliki sebaliknya menggunakannya untuk kebajikan umat Islam dan meninggikan agama Allah swt.

 Bertepatan juga dengan hadith nabi :
 قَالَ رسول الله - صلى الله عليه وسلم - : (( إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ )) . رواه مسلم .
Maksudnya:"Apabila meninggalnya (mati) anak adam terputus segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya".

iv-Golongan yang menolak kejahatan dengan kebaikan
Maksud berdasarkan Tafsir al-Jalalain karangan Imam Suyuti ialah mereka yang membalas sikap orang jahil yang menyakiti atau berbuat jahat terhadapnya dengan penuh kesabaran dan kelembutan. Apabila menghadapi orang jahil mereka berbicara dengan lemah lembut dan tetap bersabar jika dikasari. Mereka ini dijanjikan syurga oleh Allah di atas sifat mereka yang sentiasa sabar dan berhikmah dalam berkomunikasi dengan orang lain.

Dalam surah al-Mukminun dijelaskan golongan yang berjaya dan bakal mewarisi syurga al-firdaus iaitu:
i-Orang-orang yang beriman
ii-orang-orang yang menjaga solat dan khusyuk dalam solat
iii-orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan)yang tidak berguna
iv-orang-orang yang menjaga kehormatan
v-orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dibawah tanggungjawabnya)
vi-orang yang menunaikan janji
(rujuk surah al-Mukminun ayat 1-11)

Kesimpulannya bagi orang-orang yang beriman dan diringi dengan amalan soleh akan mendapat keredhaan Allah dan dibalas syurga hasil dari kesabaran dan keimanannya yang teguh kepada segala ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah melalui panduan yang ditinggalkan iaitu al-Qur'an sumber hidayah untuk umatnya dan sunnah baginda saw.

Firman Allah :"Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga firdaus menjadi tempat tinggal.  Mereka kekal di dalamnya dan tidak ingin berpindah daripadanya".
(Surah Al-Kahfi a;107-108)

Keampunan dan rahmat Allah begitu luas dan syurga akan menanti untuk dimasuki oleh golongan yang beriman dan membenarkan segala yang dibawa datang kepada mereka dari sisi Allah dan rasulNya.
Firman Allah:"sesungguhnya orang-orang yang membenarkan  (Allah dan RasulNya) baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaamn yang baik, nescaya akan dilipatgandakan  (pembayarannya) kepada mereka;dan bagi mereka pahala yang banyak".

Untuk mengecapi kenikmatan syurga bukannya mudah tanpa melakukan amalan yang disukai atau diredha oleh Allah. Beriman bukan hanya dengan ucapan syahadah semata-mata atau mengaku beriman hanya dengan lidah (perkataan) tetapi perlu diselaraskan keimanan dengan perbuatan dan amalan serta yakin dengan iktiqad (pegangan) yang kukuh. Pengertian tentang iman: 'iman ialah mengakui dengan lidah, membenarkan di hati dan beramal dengan anggota'. Tidak sah atau sempurna iman seseorang jika masih melakukan perbuatan mungkar dan maksiat atau tidak selari dengan kehendak Al-Qur'an dan hadith.

Firman Allah berkenaan keampunan dan rahmat syurga :"Berlumba-lumbalah kamu kepada mendapatkan keampunan dari Tuhan dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya. Itulah kurnia Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid a;21)

Banyak lagi golongan yang diizinkan oleh Allah untuk memasuki syurgaNya. Insyallah akan diterangkan secara lebih lanjut pada masa akan datang.



30‏/10‏/2010

Dia suamiku yang kucintai selama-lamanya.....

Sinopsis dari penulis: Aku tidak tahu sebenarnya bagaimana hendak menggambarkan perasaan wanita bergelar isteri yang menyintai suaminya sepenuh hati namun dalam diam-diam suaminya telah mengadakan hubungan cinta dengan gadis lain. Justeru kucoretkan sebuah cerita yang ringkas ini semoga memberi manfaat dan pengajaran.....Kisah benar ini diceritakan sendiri oleh sahabatku di mana dia sanggup korbankan jiwanya yang suci untuk kebahagiaan suaminya.

Bibit-bibit Cinta....

Kita berkenalan di sebuah hospital di tempat aku menjadi jururawat pelatih, engkau pula seorang doktor muda yang bertugas tetap di hospital tersebut. Pertemuan secara tidak sengaja dan hanya kebetulan akhirnya menumbuhkan bibit-bibit cinta dalam diam antara kita berdua. Akhirnya engkau dengan sifat yang serius dan gentlemen memberitahu untuk melamarku. Semasa engkau mengungkapkan kata-kata itu terasa dunia seperti menjadi milikku seorang dan ingin aku memberitahu dunia bahawa akulah gadis yang bertuah kerana menjadi pilihan seorang pemuda yang kacak, memiliki pekerjaan yang membanggakan dan ciri-ciri lelaki yang diidam-idamkan oleh semua gadis ada padamu. Sahabat-sahabatku yang sebelum ini meminatimu hanya mampu mengucapkan tahniah apabila mendengar berita aku akan disunting olehmu.

Saat yang membahagiakan itu tiba juga akhirnya dimana kita disatukan, meriah sekali majlis perkahwinan itu. Indahnya saat semasa engkau memegang tanganku dan mencium sebagai janji menerimaku setulus hati dan cintamu hanya untukku. Masa begitu pantas berlari meninggalkan segala memori indah kita berdua. Kita telah berjaya membina keluarga bahagia. Dengan memiliki empat orang zuriat,  tiga orang putera dan seorang puteri telah melengkapkan lagi kesempurnaan sebuah keluarga kita.

Perpindahan membawa angin perubahan....

Kita telah berpindah ke sebuah daerah yang agak terpencil dari bandar. Engkau suamiku telah pencen awal dari jabatan kerajaan dan bertekad membuka klinik persendirian. Aku pula bertugas di sebuah hospital di pekan tersebut. Kita telah membuat keputusan mencari pengasuh di rumah memandangkan masa yang terhad untuk memantau anak-anak semasa bertugas. Pengurusan di klinik memerlukan ramai tenaga baru kerana semakin hari semakin ramai pesakit dan pelanggan mengunjungi klinik suamiku. Ini kerana suami bukan hanya seorang pakar dalam  bidang perubatan, malah perkhidmatan di klinik yang baik dan bayaran yang lebih berpatutan dengan niat membantu masyarakat yang puratanya terdiri daripada golongan miskin dan sederhana, bagi yang ingin bersalin normal juga berminat memilih klinik kami. Aku pun semakin sibuk membantu suami di klinik selepas habis waktu bekerja di hospital. Bidang yang kuambil adalah bidang sakit puan jadi akulah yang bertugas dan bertanggungjawab membantu jika ada ibu-ibu yang ingin bersalin.

Gadis bernama Liza....

Di klinik itu petugasnya semua wanita, ini kerana wanita yang berminat dan sesuai dengan tugas sebagai jururawat. Hubunganku dengan pekerja suamiku cepat mesra dan rapat. Yang paling rapat dan cukup mesra disebabkan keramahan dan sikap keletahnya ialah Liza. Dia selalu juga bertandang ke rumahku jika ada majlis-majlis keluarga dan doa selamat. Dia sudah kuanggap sebagai adik sendiri. Dia merupakan  gadis  yang berasal dari keluarga  miskin dan susah, sikapnya yang baik, peramah dan ringan tulang membantuku menyebabkan aku lebih menyayanginya jika dibandingkan daripada pekerja suamiku yang lain.

Aku sangka panas hingga ke petang namun rupanya hujan turun juga di tengah hari itu. Suatu malam suamiku pulang awal dari klinik dan terus menemuiku. Aku yang masih tertanya-tanya tidak menyangka akan menerima berita yang bagai halilintar membelah bumi. Kata-katanya bagai menusuk jantungku dan mengeluarkan darah hingga ke seluruh jasad. "Sayang...abang jatuh cinta lagi". Itulah kata-kata yang terpancul dari mulut lelaki yang berjanji sehidup semati denganku, yang berjanji tidak akan mengecewakanku, menjagaku seumur hidupnya dan hingga akhir hayatnya."Maafkan abang sayang...tapi abang tidak boleh mengelak dari cintanya".Aku terkedu tanpa kata-kata, terasa gelap pandangan dan terasa bagai hancurnya hati ini tapi apa dayaku. Hanya airmata menjadi temanku saat itu hinggalah semalaman aku berendam dengan airmata.

Keesokan harinya, aku gagahi juga bangun seperti biasa namun tiada semangat untuk pergi bertugas. Aku mengambil keputusan untuk bercuti kecemasan. Bagaimana aku hendak menemui orang ramai serta rakan-rakan dalam keadaan wajahku yang suram dan mata yang bengkak dek tangisan malam tadi.  Suamiku datang menghampiri dan memeluk diriku namun aku tidak membalasnya seperti kebiasaan. Apalah ertinya cinta yang dilafazkan dan kasihsayang ditunjukkan lagi padaku padahal hatinya telah terbahagi kepada wanita lain yang jauh lebih muda dari diri ini. Aku gagahi juga meluahkan yang terbuku dihati sejak menerima berita tersebut. "Apalagi yang abang mahu...tidak cukupkah cinta dan perhatian Mas terhadap abang selama ini? Dia masih berusaha mengambil hatiku, memaut tangan dan mencium jari-jemariku."Sayang...cinta dan kasihsayang abang tidak sekelumitpun berubah terhadap sayang...selama ini sayang sudah banyak berkorban untuk abang dan kebahagiaan keluarga kita...abang terlalu menghargai sayang cuma ...abang kasihankan dia dan tidak sanggup mengecewakan hatinya".

Airmata mencurah-curah turun tanpa dapat aku tahan lagi...betapa pilu dan terhiris hatiku mnedengar pengakuan suami. Aku bertanya pada diri, sanggupkah aku berpisah dengan suamiku sekiranya dia memilih wanita itu sebagai isterinya yang kedua? Aku boleh berdikari, segala-galanya kumiliki saat ini, rumah besar bagai istana telah dihadiahkan suami kepadaku, kereta mahal menjadi milikku, apalagi yang kuinginkan dalam hidup?aku hanya inginkan suami tercinta sentiasa disisiku, bersama-sama berjuang dan mendidik zuriat kami.

Munajatku kepadaNya....

Beberapa hari kuambil masa menenangkan jiwa dan hati yang lara. Dengan cara begitu aku rasa lebih hampir kepadaNya. Setiap malam hening kubangkit bermunajat daan memohon petunjukNya. Aku hanya ada Dia Tuhan yang maha mendengar segala bisikan dan luahan perasaan seorang hamba yang bergelar isteri yang sedang diuji. "Tuhanku...aku hanya ingin menjadi hambaMu yang patuh dan taat kepadaMu dan kepada suamiku...hanya Engkau yang tahu dia adalah suamiku yang kuharapkan menjadi pemimpin kepadaku dan anak-anak kami. Permintaannya kurasakan terlalu berat untuk ditunaikan. Namun Ya Allah ...demi cintaku kepadaMu dan kasihku kepada suamiku, aku rela korbankan perasaanku asalkan suamiku bahagia dengan pilihannya. Engkau peliharalah kami dalam ketenangan dan kebahagiaan selama-lamanya. Aku tidak sanggup berpisah dengan suamiku kerana cintaku terhadapnya dan aku akan tunaikan janjiku walaupun sukar.Ya rabbi berikanku ketabahan sebagaimana engkau kurniakan ketabahan kepada Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim dan Aisyah isteri Rasulullah".

Bersemuka....

Itulah munajatku kepada Yang Esa sehingga aku kembali tenang dan bersedia bersemuka dengan suami. Aku mengajaknya bertemu dan kami berbincang empat mata. Aku yang memulakan bicara setelah sama-sama menyepi dan melayan perasaan masing-masing."Abang...Mas cintakan abang kerana Allah, Mas hanya bertemu dan berpisah dengan abang  dengan  izin dari Allah. Mas redha dan akan cuba bersabar dengan ujian Allah ke atas Mas". Suamiku tunduk menekur wajahnya ke bumi, aku menyambung lagi."Siapakah perempuan itu abang? Dia dengan hambar dan muram menjawab salah seorang pekerjanya yang paling rapat denganku."Apakah dia Liza?". Aku bertanya meminta kepastian. Dia hanya mengangguk."Tidak kusangka Liza...dia yang telah Mas anggap seperti adik sendiri, sejak bila abang  bercinta dengannya? ".Aku bertanya suami tapi sepi tanpa mendapat jawapan. Aku juga mengambil keputusan menemui Liza dan bertanya sendiri kepadanya tentang hal ini. Aku tanya betulkah dia menyintai suamiku, dia hanya membisu, begitu keras hatinya. Tiada lagi butir bicara daripadanya, tiada lagi sikap ramahnya denganku.

Keputusan ikhlasku......

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya cuba mengingati Allah dan memohon dijauhkan dari perasaan marah atau cemburu. Aku ingin bertindak sebagai isteri yang tabah, mithali dan ingin jadi wanita solehah, itu adalah prinsipku. Aku bertanya suami apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Dia meminta jasaku untuk pergi melamar gadis itu mengikut adat dan mengurus semua urusan pertunangan dan perkahwinan. Dengan seribu perasaan bercampur baur namun kutetap ingatkan keikhlasan janjiku untuk membahagiakan suami serta pengorbanan terhadap anak-anak, aku laksanakan semua urusan tersebut kerana itu adalah harapan dan impian cinta suami dengan gadis itu.

Terharu....

Keluarga gadis itu terharu dan ibunya memelukku di atas sikapku yang sudi menerima anak mereka sebagai maduku. Sebelum ini pun memang aku pernah kenal dan berhubung dengan keluarga pekerjaku.Setelah akad nikah mereka selesai dan majlis usai aku menemui suami dan meminta dia membawa Liza jauh dari pandangan mataku.Cukuplah aku berkorban melihat mereka sudah menjadi suami isteri namun untuk melihat kemesraan dan kasih sayang mereka dihadapan mataku aku tidak sanggup lagi. Suami menuruti kemahuanku kali ini. Liza sudah berhenti kerja di klinik suami dan berpindah ke suatu tempat di daerah lain.

Simpati bertukar cinta....

Baru kutahu rupa-rupanya mereka jatuh hati semasa aku dalam pantang anak bongsuku. Perkara ini pernah diceritakan kepadaku oleh anak buahku yang bertugas bersama Liza di klinik itu. Namun aku anggap ia hanyalah perkara biasa dan itu kemesraan antara ketua dan pekerja. Sifatku yang semulajadi sentiasa tenang dan bersangka baik menyebabkan aku tidak mahu mengambil tahu atau menuduh yang bukan-bukan terhadap suami dan pekerja di bawah seliaannya.  Liza gadis naif itu yang banyak mengambil kesempatan untuk menarik perhatian lebih suamiku terhadapnya, dia memang seorang yang manja dan keletah, sebab itu tidak mustahil apabila dia menunjukkan minatnya kepada suami, sebagai lelaki normal suamiku memang tidak mampu menolaknya. Orang kata bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Aku tahu niat suamiku dahulu yang  ikhlas untuk membantu gadis susah itu dengan mengambilnya bekerja di klinik tersebut, daripada perasaan simpati suami telah bertukar kepada perasaan cinta.

Pandangan masyarakat terhadapku....

Aku sekarang hidup demi kebahagiaan suami dan anak-anak walaupun ada masanya datang perasaan jauh hati dengan sikap suami. Sesungguhnya suamiku seorang yang beriman, baik dan bertanggungjawab serta melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin dari aspek giliran dan nafkah. Oleh itu aku redha dengan ketentuan Ilahi dan takdirNya untuk hidup bermadu. Aku akan tabah dan sabar kerana merasa kebahagiaan itu ada di mana-mana jika kita cuba untuk mencarinya. Aku bersyukur kerana mempunyai teman yang baik dan bersedia mendengar masalah yang kualami, dia juga tidak putus-putus memberi nasihat dan semangat kepadaku. Walaupun berbagai kata-kata dan bisikan kudengar daripada mulut-mulut masyakarat sekeliling, aku tidak ambil peduli, aku jadi hairan mengapa masyarakat seperti memandang sinis sikapku yang tulus ini, salahkah aku sebagai isteri apabila membiarkan suamiku berpoligami. Aku kadang-kadang naik bingung dan rasa pelik kerana masyarakat di daerah yang masih tidak faham dan   seolah-olah menganggap aku sebagai isteri yang tidak tahu menjaga suami, tidak pandai mengambil hati suami hingga hatinya dicuri orang lain. Hanya Dia yang tahu apa yang kualami dan kutempuhi. Inilah secebis kisahku....mungkin ia boleh menjadi pengajaran kepada para isteri di luar sana.....

Tamat



BINGKISAN KENANGAN- Dia sahabatku

Masih terbayang-bayang di depan mataku kita berlari dan berkejaran di sebuah bendang tinggal, kita sama-sama membesar di dalam sebuah kampung dan kebetulan menjadi jiran. Usia kita juga sebaya,  cuma satu yang membezakan kita iaitu  status keluarga. Aku dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan adat, keluarga banyak mengawal pergerakanku, dibesarkan dalam suasana sederhana dan tidak boleh meminta lebih sebab ibu bapaku hanyalah petani, lebih-lebih lagi aku mempunyai adik beradik yang ramai. Sedangkan engkau pula anak tunggal, bapamu seorang kontraktor namun hanya jarang-jarang menjenguk keluarga disebabkan tinggal berjauhan di kota, ibumu seorang wanita bekerja dan  tabah membesarkan dirimu keseorangan dengan menabur kemewahan dan mengikut apa sahaja  kemahuanmu.

Aku dan engkau jauh berbeza.....

Kita semakin membesar dan melangkah ke sebuah sekolah agama berhampiran, dan kita sama-sama menjadi gadis sunti, aku masih lagi  dengan sikapku yang pendiam, pemalu dan seperti gadis pingitan. Masaku untuk bermain-main dan bermesra denganmu kurasakan semakin terhad. Apatah lagi aku dapat rasakan kemesraan dan keakraban kita semakin pudar, aku sudah menjadi semakin matang dek kerana didikan ibu yang sentiasa mengajarku supaya banyak berdikari, musim cutiku banyak dihabiskan dengan belajar, mengulangkaji pelajaran dan membantu ibu di bendang. Aku cepat belajar tentang erti kesusahan dan kepayahan kerana sentiasa melihat ibu ayah berhempas pulas mencari rezeki untuk menyekolahkan anak-anak yang ramai.

Perubahan sikapmu semakin ketara....

Sikapmu aku dapat merasakan  semakin hari semakin berubah. walaupun kita sekelas namun kita jarang lagi bercakap seperti semasa kecil. Aku dapat melihat perkembangan dirimu setiap hari.  Kita telah berjaya menduduki peperiksaan penting   iaitu Sijil Rendah Pelajaran (SRP), sekarang sijil tersebut adalah PMR, indahnya saat itu kerana kita telah berjaya dengan cemerlang dan mendapat pangkat atau gred yang sama.

Keputusan yang membanggakan ini menunjukkan engkau juga seorang pelajar yang bijak walaupun di dalam kelas engkau lebih banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan yang sekepala denganmu, berborak dan bercerita tentang dunia artis, majalah hiburan, drama dan filem-filem cinta hindustan, melayu dan sebagainya. Engkau juga suka menyebut tentang lelaki dan kriteria-kriteria yang diminati terhadap mereka. Aku tidak pandai nak masuk campur tentang kisah-kisahmu tersebut disebabkan di rumahku tiada peti televisyen, yang ada hanya radio buruk, sedangkan rumahmu masa itu sudah lengkap dengan TV dan pita video. Satu perkara lagi aku memang tidak suka  sebenarnya apabila engkau  bercerita tentang lelaki tapi aku  tidak tahu bagaimana caranya untuk menegurmu sebab aku tahu engkau jenis yang panas baran. Pernah juga aku menegur  agar engkau dan kawan-kawan lain beri tumpuan kepada pelajaran dan masih muda untuk membicarakan soal cinta serta lelaki. Namun kulihat engkau tidak mengendahkan kata-kataku. Malah engkau seperti tidak lagi menyenangi diri ini dan menjauhkan diri dariku.

Perbezaan sikapmu dan sikapku menjadikan jarak antara kita semakin jauh, disebabkan kesibukan menelaah pelajaran dan menolong ibu menjadikan hubungan kita semakin renggang. Sehinggalah kita sama-sama melangkah ke tingkatan empat. Masa yang paling sibuk kurasakan sampai nak berborak pun tidak ada kesempatan langsung. Ini kerana tahun ini penentu untuk menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama dan menentukan sejauhmana nasib dan peluang kami untuk menyambung pelajaran ke sekolah lain bagi mengambil peperiksaan SPM memandangkan sekolah di kampungku hanya setakat tingkatan 4 sahaja.

Dirimu berubah pendiam....

Memasuki  penggal pertama, lebih kurang 5 bulan belajar, aku melihat semangat engkau untuk belajar semakin menurun dan sikap engkau juga banyak berubah. Kalau di kelas engkau jadi pendiam dan banyak termenung. Ingin kubertanya tapi aku rasakan masanya belum sesuai lagipun aku benar-benar sibuk dengan nota-nota  berbahasa arab. Walaupun begitu aku dapat merasakan  engkau menghadapi masalah, ini kerana sebelum ini engkau terkenal sebagai pelajar yang aktif dan bermulut becok, suka bertelagah dan berperang mulut dengan pelajar lelaki yang menyakatmu.Tiba-tiba kelas menjadi sepi dan tidak lagi ceria disebabkan engkau sudah banyak kali ponteng sekolah.

Berita tragis dan mengejutkanku....

Aku juga merasa hairan dan tertanya-tanya tentang perubahan fizikalmu yang semakin berisi. Namun aku masih mentah untuk mengetahui apa aktiviti yang engkau perbuat semasa di luar sekolah. Aku  sudah tidak sempat untuk mengambil tahu tentang dirimu disebabkan kesibukan menelaah pelajaran. Akupun melihat engkau seperti tidak berminat untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran denganku. Memang sejak dari dahulu lagi aku tahu engkau tidak berminat subjek berbahasa arab.

Pagi itu aku dikejutkan dengan berita yang sungguh tidak kuduga sama sekali. Aku mendengar kawan-kawan bercerita engkau telah hamil di luar nikah. Terasa seperti mahu jatuh mendengar sahabat baik dan sekampung yang pernah sama-sama tidur sebantal di rumahku suatu masa dulu telah melalui pengalaman itu. Selepas peristiwa  itu engkau  tidak lagi datang ke sekolah dan mengambil keputusan berhenti. Dan aku hanya mendengar daripada jiran sekampungku bahawa engkau telah melangsungkan perkahwinan dengan lelaki yang telah beristeri dan mempunyai ramai anak.

 Maafkan aku....

Maafkan aku sahabat, bukannya aku tidak ingin melihatmu atau menziarahi  dirimu yang menjadi mangsa lelaki yang tidak takut dosa, bukan juga aku menyisihkanmu atau jijik padamu tapi engkau telah pergi jauh dari kampung kita. Kesyukuran kupanjatkan kepada Ilahi kerana lelaki yang menghamilkanmu sanggup juga mengambilmu sebagai isterinya yang sah dan engkau telah ditakdirkan hidup berpoligami. Dan yang paling menyebabkan aku berasa terkilan ialah lelaki itu juga jiran yang sekampung dengan kita dan layak dipanggil  'abang'. Rupa-rupanya kalian mengadakan hubungan cinta semasa ibumu sibuk bekerja di luar daerah, itupun  aku dapat tahu daripada jiran-jiran yang bercerita dengan ibuku, aku hanya mencuri-curi dengar  kisah tragismu daripada jauh. Perasaan bimbang dan kasihankan nasibmu menyelinap dalam diri ini. Oh Tuhan mengapa engkau sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu, tahukah engkau  zina adalah dosa yang sangat besar....

Kesimpulannya aku menjadi semakin matang menilai erti sebuah kehidupan dan harga sebuah maruah seorang yang bernama gadis. Walaupun aku baru berusia setahun jagung aku semakin bijak mengharungi kehidupan berdikari dan tahu menjaga diri serta batas-batas pergaulan. Sebab itulah ibuku sangat percayakan anaknya yang satu ini dan dia sanggup menghantarku belajar di sebuah sekolah menengah agama yang agak ternama setelah aku berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SMU. Walaupun di sudut hati ini merasa sangat kehilangan sahabat seperjuangan di bangku persekolahan dan teman sepermainan, aku gagahi juga menerima perpisahan dengan cara begini. Sahabatku....kisah perjalanan hidupmu menjadi sebahagian dari diari hidupku...akan kusambung lagi jika diberi kesempatan dan waktu.....

Bersambung......

29‏/10‏/2010

Allah Yang maha Agung-Fikir Dan Renunglah Setiap CiptaanNya

Allah, Dialah yang maha agung, maha besar, maha adil, maha pengasih dan penyayang, maha pengampun, pemberi rezeki, maha mendengar, maha melihat, maha mengetahui, maha kaya, maha kuasa yang memiliki arasy dan pentadbir segala isi langit dan bumi. Allah swt yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan dan keagungan. Allah yang terkaya dan maha kaya dari segala-gala makhluk dan seluruh makhluk berhajat kepada Allah tanpa mengira mereka itu Islam atau ingkar (kafir).

Setiap sesuatu yang wujud di dunia yang fana ini semuanya merupakan ciptaan Allah swt. Semua makhluk berhajat dan berkehendak kepada Allah dan Dia menjadi tempat tumpuan segala makhluk.Tidak ada makhluk yang dapat memberi manfaat atau mudarat melainkan dengan izin atau kuasa Allah swt.

FirmanNya:"Katakanlah:"Dia Allah,Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu."(Surah al-Ikhlas a:1-2)

Allah swt berkuasa ke atas sesuatu, menciptakan sesuatu  dengan kudrat dan iradatNya contohnya  seperti api yang sifatnya membakar tetapi tanpa izinNya api tidak boleh membakar  sebagaimana  kisah nabi Ibrahim yang tidak hangus dan tidak terbakar apabila dicampak ke dalam api. 
قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانْصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ (68) قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ [الأنبياء : 68 ، 69]
Maksudnya: mereka berkata " bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak". Kami berfirman" hai api jadilah engkau sejuk dan selamat sejahtera kepada Ibrahim"
 
Penciptaan langit

Allah menciptakan sesuatu tanpa dipaksa dan disuruh.Dia menjadikan segala-galanya menurut kehendakNya. Dia menjadikan sesuatu dengan kehendak dan kuasaNya sendiri tanpa berhajat kepada makhluk atau sesiapa sahaja. Setiap yang dicipta di dunia ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ajaib dan indah sekali ciptaanNya. Mendongak ke langit tentu akan terasa tingginya langit dan ajaibnya langit tanpa tiang tetapi tidak jatuh atau gugur, bandingkan pula bagaimana manusia hanya bina atap bumbung tanpa ada penyendal atau tiang penguatnya, pasti tidak terletak dan terus jatuh. Akal yang waras pasti akan merasai kebesaran Allah jika dengan melihat satu sahaja ciptaanNya yang terdapat dibumi ini.

Firman Allah:"Tuhan yang maha pemurah. Yang telah mengajarkan al-Qur'an. Dia menciptakan manusia, Mengajarnya memberi pernyataan. Matahari dan bulan (berputar) menurut perhitungan. Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan kedua-duanya tunduk kepadaNya. Dan Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan)" (Surah Al-Rahman a:1-7)

Semua yang diciptakan oleh Allah  terdapat petanda dan bukti kekuasaanNya. Segala  yang dicipta juga telah tercatat kemas dalam al-Qur'an yang menjadi sumber panduan dan petunjuk untuk manusia menempuh kehidupan dengan lebih mudah dan tersusun. Oleh itu ambillah pengajaran dan pemerhatian seluruh isi kandungan al-Qur'an dan berfikir tentang kebesaranNya serta mengamalkan segala perintah Allah dalam setiap aspek kehidupan untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah:"sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang berakal,(iaitu )orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata): "Ya tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini degan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (surah ali 'imran-190-191)

 Melihat, berfikir, merenung dan meneliti setiap ciptaan Allah seperti air,matahari, bulan, bintang, hujan, panas, sejuk, angin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan  kepada diri manusia itu sendiri pasti akan terasa betapa hebatnya Allah swt yang menciptakan semua keperluan kepada manusia tanpa meminta membalasnya kembali.

Penciptaan anak dan air susu

Sejak dari manusia mula dilahirkan ke dunia siapa yang menjaganya? Dalam keadaan lemah, kecil dan tidak bermaya, tidak pandai berkata-kata, hanya tahu menangis, bagaimana anak itu boleh bernafas dan hidup. Allah dengan sifat rahim dan rahmanNya memberi kefahaman dan mencampakkan kasihsayang ke dalam hati ibu supaya memberi minuman atau makanan kepada si anak. Dengan rezeki yang tidak disangka airsusu yang diperlukan oleh anak kecil dikeluarkan dari anggota badan si ibu. Betapa besarnya nikmat yang diberi oleh Allah kepada manusia sejak dari dalam rahim ibu hinggalah keluarnya kedunia luas ini.

Firman Allah:"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) terhadap kedua ibu bapanya,ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah dan bertambah lemah, dan menceraikannya daripada menyusu  dalam masa  dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, hanya kepadaKu lah kembalimu"(Surah Luqman, a:14)

Penciptaan matahari dan bulan

Kemudian  lihat  dan berfikir kepada ciptaan Allah yang menjadi keperluan yang sangat bermanfaat kepada seluruh makhluk iaitu matahari dan bulan. Sekiranya tiada pancaran cahaya matahari manusia tidak boleh melakukan aktiviti seharian, tidak mampu keluar melakukan pekerjaan dalam keadaan gelap. Allah yang berkuasa menciptakan matahari yang menyinari cahayanya ke seluruh bumi pada masa yang telah ditetapkan. Dengan cahaya ini juga manusia dan seluruh makhluk bumi mendapat manfaat untuk meneruskan kehidupan. Bagaimana sekiranya berlaku gerhana matahari? seluruh dunia tentu akan bergelap dan berada dalam huruhara.Itulah hikmah wujudnya matahari. Malam yang gelap pula dihiaskan dengan  bulan dan bintang untuk menyuluh kegelapan dan sebagai kemudahan manusia yang berada di seluruh pelusuk bumi.

Penciptaan air

Air merupakan sumber penting dalam hidup setiap makhluk, tanpa air manusia akan mati, seluruh haiwan dan tumbuhan tidak boleh hidup. Betapa rahmat Allah yang luas dan maha pemberi rezeki dikurniakan nikmat air untuk manfaat kegunaan makhluk. Air wujud di mana-mana walaupun ada sesetengah negara menghadapi musim kemarau berpanjangan, tetap ada sumber dan puncanya manusia mendapatkan air.Begitu juga di negara yang mengalami empat musim di mana hujan tidak turun, Siapakah yang pemurah mengurniakan air ini? Tentu jawapannya Allah swt yang maha pemurah dan memberi rezeki kepada seluruh makhluk ciptaanNya. Cuba fikirkan bagaimana keadaan alam dunia ini dan manusia seluruhnya sekiranya Allah menghentikan pemberian air?jawapannya tentu seluruh makhluk akan dahaga dan binasa.

Firman Allah:"Maka terangkanlah kepadaku  tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau Kami kehendaki nescaya Kami jadikan dia masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?"(Surah Al-Waqi'ah a:68-70)

Penciptaan unta

Merenung dan melihat segala jenis haiwan dan serangga pasti semakin jelas kebesaran Allah swt. Lihatlah kepada penciptaan unta. Bagaimana boleh hidup ditengah-tengah padang pasir yang gersang dan kering kontang, membawa beban yang berat diatas pundaknya. haiwan yang tidak liar ini boleh bertahan dengan suhu kepanasan yang tinggi, kuat dan bertenaga membawa barang-barang tuannya, patuh tanpa memberontak. Itulah salah satu tanda kekuasaan Allah yang hendak ditunjukkan kepada yang berakal tentang ciptaan haiwan bernama unta.
 FirmanNya:"Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan?"(surah Al-Ghashiyah a:17)

Nyamuk dan lalat serta serangga lain juga ada hikmah disebalik ciptaanNya, semua ciptaan Allah tersirat nikmat dan hikmah yang tersirat dan tersembunyi.Penciptaan Allah swt di bumi ini (sunnatullah) berkait rapat antara satu sama lain dan saling melengkapkan dan memerlukan, sekiranya kurangnya salah satu nizam (peraturan sunnatullah) terhadap alam ini nescaya tergendalalah kehidupan yang lain.

Pengabdian manusia terhadap Pencipta

Itulah tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah swt yang perlu diyakini oleh setiap  manusia yang telah ditetapkan menjadi khalifah di muka bumi ini.Untuk membuktikan kesyukuran kepada anugerah dan nikmat Allah yang luas dan tidak terhitung ini manusia hanya perlu mengabdikan diri sepenuh pengabdian kepada Allah swt dengan melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Berusaha menjadi hamba Allah yang taat dan patuh sebagaimana Rasul-rasul dahulu apabila Allah menurunkan wahyu terus patuh dan taat.
Firman Allah:"wahai manusia, sesungguhnya telah kami datangkan kepadamu bukti kebenaran dari tuhanmu, (Muhammad dengan mukjizatnya) dan kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (al-Qur'an).
(Surah Al-Nisa' a:174)

"Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (agama)Nya, nescaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar daripadaNya (syurga) dan limpahan kurniaNya.Dan menunjukkan jalan yang lurus (untuk sampai) kepadaNya"(Surah Al-Nisa' a;175)

Manusia perlu meletakkan sepenuh pengabdian dan ketaatan kepada Allah dengan melakukan amalan kebaikan dan amalan soleh yang boleh membawanya kepada keredhaan Allah. Mendidik hatinya dengan keimanan dan keyakinan bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan tempat memohon pertolongan.

Martabat ihsan

Melakukan amalan dengan keikhlasan semata-mata kerana Allah seolah-olah merasa bahawa Allah melihat segala perbuatannya. berusaha mencapai kearah martabat ihsan sebagaimana saranan Rasulullah saw dimana beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah Allah sedang melihatnya, dan jika  dia tidak merasa Allah melihatnya sebenarnya Allah betul-betul sedang melihatnya (hamba).(Hadith tentang pengertian islam, iman dan ihsan boleh dirujuk untuk keterangan lebih lanjut)

Orang-orang yang beriman dan bertakwa serta berilmu akan sentiasa bermujahadah memasukkan kebesaran dan keagungan Allah ke dalam hati serta menyisihkan atau membuangkan jauh-jauh segala kebesaran atau mengagung-agungkan makhluk dari dalam jiwa. Di samping itu jiwa dan hidupnya tidak cenderung melihat keindahan dunia yang bersifat sementara. Waktu yang singkat banyak diperuntukkan untuk mengabdikan diri kepada Allah dan sentiasa ingat pesanan Allah dalam al-Qur'an melalui firman yang berbunyi "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu"

Di sini saya titipkan satu nasyid yang dialunkan oleh Allahyarham saudara Asri: Pandanglah, renunglah, sebutlah zikrullah, kebesaran Allah, Tuhan Yang maha Pemurah, nikmatNya saban hari takkan dapat dikira, kasihsayang diberi, marilah kita syukuri...لااله الا الله محمد رسول الله

Insaflah Wahai Perantau Bumi Tuhan

28‏/10‏/2010

Iman Suatu Anugerah

Setiap insan dianugerahkan nikmat yang sangat besar dan berharga dalam kehidupan iaitu nikmat iman dan islam.Beruntunglah sesiapa yang secara semulajadi dilahirkan dalam keluarga islam dan ibubapanya mengamalkan segala syariat Allah dan menurut panduan sunnah rasulullah dalam urusan hidup sehari-hari.Oleh itu kesyukuran kepada Allah swt perlu dibuktikan melalui amal ibadah dalam setiap perbuatan,perkataan ,pergaulan dan muamalah sesama manusia. 

Iman tidak boleh diwarisi oleh sesiapa, walaupun ada sesetengah keluarga yang kuat berpegang kepada agama tetapi ada anaknya yang terjebak kekancah maksiat dan melakukan perbuatan mungkar. Dalam hal ini masyarakat tidak boleh menuding jari menyalahkan  kedua ibubapa tersebut sebaliknya berusaha memperbaiki diri sendiri dan keluarga serta masyarakat sekeliling melalui mengamalkan cara hidup beragama,ingat mengingatkan,nasihat menasihati, menyuruh yang makruf mencegah yang mungkar.Jangan terus menghukum dengan cara memulaukan mereka yang hanya sekali melakukan kesalahan atau dosa.Sebaliknya berusaha membawa mereka balik ke jalan yang diredhai Allah swt.

Iman akan selalu bertambah dan berkurang. Ada masanya hati begitu yakin dan taqarrub dengan Allah serta cenderung melakukan amalan dengan penuh keikhlasan, tawadhuk, patuh segala arahanNya. Istiqamah bangun bermunajat disepertiga malam dengan penuh tawajjuh kepada Allah, bertaubat dengan taubat nasuha atas segala dosa-dosa yang telah dibuat. Tidak mustahil suatu masa hati akan jauh daripadaNYa sekiranya tidak digilap dengan penuh mujahadah dan istiqamah.Oleh yang demikian jangan terus merasa senang dan berpeluk tubuh sekiranya amalan wajib seperti solat lima waktu diabaikan atau dilengah-lengahkan,al-Qur'an jarang lagi disentuh atau dibaca, hanya surah yasin pada malam jumaat sahaja dialunkan,zikir tidak pernah menjadi amalan harian,istighfar dan selawat jauh sekali.

Ada masanya hati dan akal lebih fikirkan dunia, kesibukan dengan urusan dunia yang tidak berkesudahan boleh menyebabkan hati mati dan menjadikan titik-titik hitam semakin bertompok tanpa disedari. justeru hati perlu digilap selalu dengan berusaha mendengar tazkirah atau ceramah agama walaupun sibuk, meluangkan masa serta mendisiplinkan diri pergi kemasjid untuk menunaikan solat jemaah, istiqamah berzikir pagi dan petang, banyakkan berselawat ke atas junjungan rasululah saw.Mudah-mudahan amalan yang dianggap remeh ini menjadi darah daging dan sebati dengan jiwa. perkara ini adalah salah satu wadah bagi menghidupkan iman yang sudah semakin luntur dari dalam diri

Cara-cara untuk mencapai ketenangan jiwa

Dunia tempat manusia diuji dengan pelbagai ujian dan cubaan, selagi manusia  memiliki kemampuan untuk bernafas dan rezeki selagi itulah ia akan menempuh ujian. Ujian datang dalam berbagai bentuk dan tidak sama antara setiap manusia.Orang yang memiliki kekayaan akan diuji dengan hartanya, orang yang memiliki isteri ramai akan diuji dengan karenah para isteri, orang yang memiliki anak-anak akan diuji dengan akhlak dan perangai anak yang berbagai ragam, orang yang memiliki perusahaan dan pangkat tertinggi akan diuji dengan sikap orang bawahannya, para pendakwah dan para guru akan diuji dengan mad'u dan murid-muridnya.

Dalam al-Qur'an Allah berfirman:"Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu,siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya.Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun"(surah al-Mulk-2)

Rasululah diuji dengan ujian yang lebih hebat daripada umatnya, menerima penyiksaan dan dipulaukan oleh kaum arab jahiliyah namun baginda tetap meneruskan dakwah mengajak manusia kepada mengakui dan beriman kepada Pencipta Yang Esa.Pendekatan dakwah Rasulullah yang penuh teliti, sabar dan tabah perlu dijadikan model oleh umatnya pada hari ini.Jangan mudah putus asa dan lemah semangat bila diuji sebaliknya tetap teguh dan kuat pendirian sekiranya niat dan  pendekatan kita untuk kebaikan ummah.

Allah swt memerintahkan Rasulullah agar terus berjuang dengan ikhlas dan tawakkal sepenuhnya kepadaNya, sehingga ada wahyu yg diturunkan untuk memberi ketenangan jiwa kepada Rasulullah. Ayat-ayat al-Qur'an ini juga boleh dibaca secara istiqamah dan diamalkan oleh umat pada hari ini sekiranya perlukan kepada ketenangan dengan harapan urusan seharian berjalan lancar dan mendapat petunjukNya, surah tersebut ialah surah al-syarh (melapangkan)

Pengertian surah al-syarh:
1-Bukankah kami telah melapangkan untukmu dadamu?
2-dan kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu
3-yang memberatkan tanggunganmu?
4-dan kami tinggikan  bagimu sebutan (nama)mu
5-kerana sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan
6-sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan
7-maka apabila kamu telah selesai  (dari sesuatu urusan),kerjakanlah dengan sungguh2 (urusan) yang lain
8-dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap

Begitu mudahnya  amalan yang boleh dibuat dan diikuti  oleh umat akhir zaman untuk mencapai serta memperoleh ketenangan jiwa.
Tidak perlu mengeluarkan harta dan wang untuk mendapatkannya, tidak perlu pergi ke mana-mana tempat yang indah dan menarik untuk mencari kedamaian.Sebaliknya hanya dengan mengambil wuduk,mendirikan solat-solat sunat serta berdoa, disamping itu bacalah ayat-ayat suci al-Qur'an khususnya surah al-Syarh dengan tawadhuk dan ikhlas keranaNya.Mudah-mudahan segala permasalahan yang membelenggu diri mampu diselesaikan dengan penuh berhemah, tenang dan bijaksana.Ketenangan akan datang dengan sendirinya dalam jiwa seumpama angin lembut yang bertiup di pergunungan yang indah dan dingin.

Di samping itu, bagi seseorang yang tidak boleh  dan tidak mampu menyelesaikan kekusutan bersendirian perlu juga mencari sahabat yang baik dan boleh dipercayai untuk menceritakan masalah yang dialami. Hidup di dunia ini tidak boleh mengasingkan diri daripada masyarakat dan jemaah.Oleh itu berusaha untuk mencari sahabat yang setia dan beriman serta  soleh juga menjadi keperluan. Sebagaimana Rasulullah mempunyai ramai sahabat tapi baginda hanya ada seorang  sahabat yang paling rapat dan sentiasa berjuang bersama beginda semasa senang dan susah iaitu Abu Bakar.

Orang-orang yang  beramal soleh dan sentiasa tenang digambarkan oleh Allah sebagai manusia yang sempurna imannya dan bakal memasuki syurgaNya seperti firmanNYa:"Hai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.(surah al-Fajr :27-30)

Khusus untuk insan yang bergelar anak

Wahai anak
masih ingatkah engkau kepada ibumu
betapa sukarnya ibu semasa berjuang melahirkanmu
sanggup berkorban nyawa untuk melihat engkau bernafas di bumi tuhan
meninggalkan waktu tidur dan istirehat semata-mata mengulit dan menyusukanmu

Tahukah engkau wahai anak
betapa gusar ibumu ketika engkau ditimpa sakit
ingin rasanya mengganti tempatmu dan engkau kembali sembuh
dia sanggup berlapar asalkan engkau kenyang
dia sanggup berjaga malam asalkan engkau lena diselimuti mimpi
dia sanggup berhempas pulas membanting tulang   untuk membesarkanmu

Adakah engkau telah membalas segala darah yang dia tumpahkan
semasa mengeluarkanmu dari perutnya
apakah engkau melunasi segala keringat yang telah dia tumpahkan
apakah engkau telah memberikan dia segala kebahagiaan
ataukah engkau telah membuang dia jauh-jauh dari mimpi indahmu

Setelah engkau menginjak dewasa
engkau telah mendapat pengganti
yang mengambil tempat ibumu di rumahmu
yang sentiasa menghiburkan hatimu dan ada disisimu
sehingga dia telah membuatkan dirimu semakin jauh dari ibumu
sehingga dia telah membutakan hatimu dari mengingati ibu yang melahirkanmu

Kembalilah wahai anak
pulanglah kepangkuan ibumu
selagi dia masih setia menanti
bersama usianya yang semakin senja
jangan nanti engkau hanya menangisi
setelah penantian ibumu sampai kepenghujungnya

Kiranya Itu DugaanMU Aku Pasrah (Dedikasi buat kaum isteri yang bermadu/poligami)

Tuhanku
sesungguhnya aku menyedari dia adalah jodohku
cintaku terhadapnya hanyalah keranaMu
kumenerimanya kerana yakin dia mampu memberi sinar dalam hidupku

siapakah aku untuk menolak takdirMu
disaat aku mengecapi kebahagiaan
di sana ada insan lain yang memerlukan cinta darinya
sehingga dia penuh rela menyambutnya

hancurnya hati dan perasaan ini
sanggupkan dia membelakangi diri
dimana janji-janji setianya suatu ketika dahulu
siapakah yang sanggup menghadapinya

Tuhanku
andai itu takdirnya
aku rela dan pasrah
kubertanya dalam diri
mampukah aku menjadi seperti  hajar
apakah kusetabah aisyah

Tuhanku
akhirnya kutersedar dari mimpi
dia bukannya milikku mutlak
dia hanya pinjaman daripadaMu
kerana itu dia boleh jadi milik orang lain

Tuhanku
nafasku yag sesak makin tenang
dunia yang kelam makin terang
biarlah aku menyimpan kerelaan dihati
biarlah kumenghargai kasihsayang yang diberi
kerana aku,engkau dan dia sedang diuji ilahi

Petua menyuburkan cinta dan kasih sayang antara pasangan suami isteri


i-Yakin bahawa dia adalah insan yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi pasangan kita,oleh itu terimalah dia seadanya sebagaimana dia juga menerima kita dengan segala kekurangan yang kita miliki.Suami isteri saling lengkap melengkapi dan jangan membuat perbandingan apa yang kita miliki dengan orang lain.

ii-setelah akad selesai kita telah memegang amanah dan peranan masing-masing,oleh itu jangan berhenti belajar tentang tanggungjawab ini walaupun sudah lama mendirikan rumahtangga.Tunaikan amanah sebaik-baiknya dan layani dan jagai pasangan dengan sepenuh hati.

iii-fahamilah setiap insan ada kehendak dan kemahuan diri, selagi boleh tunaikan hajat atau kehendak pasangan berusahalah dengan penuh kasihsayang dan cinta setulusnya,jangan berpura-pura dan tidak ikhlas kerana tidak akan lahirnya keberkatan sesuatu perkahwinan tanpa keikhlasan

iv.saling membantu dan menolong pasangan dalam setiap urusan rumahtangga dari urusan nafkah dan sara hidup serta urusan lainnya...cthnya membantu pasangan mengemas rumah,mencuci pinggan mangkuk,memandikan anak....walaupun hanya usaha yang kecil tapi dimata pasangan adalah begitu besar maknanya

v- hormati keluarga pasangan dan menganggap mereka seperti keluarga sendiri, sekiranya mereka ditimpa kesusahan berusaha membantu sedaya upaya.mudah-mudahan jika kita perlukan bantuan mereka senang hati menolong kita,ini akan menyuburkan lagi cinta dan kasih sayang terhadap pasangan

vi-menyukakan hati pasangan disetiap peluang dan ruang yang ada...contohnya jika suami penat dan lenguh2 tidak salah isteri mengurut walaupun  tanpa dipinta,begitu juga suami memahami keinginan isterinya yang suka barangan peribadi seperti alat make-up,jadi tanpa pengetahuan isteri dibelinya alat tersebut utk isteri kesayangan

vii-sentiasa mengingatkan pasangan jika terbuat kesilapan atau kesalahan,menegur dan menasihati penuh hikmah dan lemah lembut.
di samping sentiasa melakukan aktiviti yang boleh menyuburkan cinta bersama-sama. cthnya mengajak pasangan solat jemaah,tadarrus al-Qur'an ,pergii masjid bersama dan jalan2 berdua-duaan ditempat-tempat yang menimbulkan nostalgia lama 

Cinta remaja, sejauhmana perginya dan apakah sampai ke jinjang pelamin?

Orang kata cinta itu indah, cinta itu buta, cinta itu satu dosa... yang mana satu betul? sejauhmanakah cinta itu dibolehkan dalam syariat Islam?
Setiap insan memerlukan kasih sayang, keluar sahaja dari perut ibunya memerlukan kehangatan pelukan kasih sayang dari ibunya, sehinggalah melalui zaman remaja timbul pula bibit kemesraan antara sahabat berlainan jantina, ini selalunya berlaku di alam persekolahan dan di kampus universiti.

Mengapa anak-anak remaja lebih senang mengadakan hubungan persahabatan dengan lelaki sekiranya dia perempuan dan begitulah sebaliknya.Adakah itu fitrah yang lahir secara semulajadi atau dibuat-buat,  ataupun disebabkan mengikut godaan nafsu dan bisikan syaitan?

Islam telah menggariskan panduan dalam pelbagai sudut kehidupan manusia.Seorang remaja perempuan bersahabat  dengan lelaki  tanpa mengikut batasan syariat memang dilarang agama. Contohnya berdua-duaan ditempat yang sunyi, bonceng motorsikal, menonton wayang bersama,selalu berjumpa tanpa ditemani muhrim adalah satu dosa yang jelas, itu antara yang  menjadi penyebab  lahirnya pergaulan bebas dan meningkatnya bayi luarnikah.

 Namun sekiranya mereka berkenalan untuk tujuan mencari pasangan hidup adalah tidak salah,tetapi perlu kepada pertemuan yang disertai dengan mahram, contohnya pergi berjumpa keluarga pihak perempuan dan menyatakan hajatnya, sekiranya selepas melihat dan dan berkenalan timbulnya rasa cinta  memang jadi lumrah. Walaubagaimanapun perlu mengikut batas-batas syariat dan terkawal. jangan hanyut dengan perasaan cinta sehingga leka dan lalai terhadap Pencipta serta keluarga.

Tidak digalakkan untuk bertunang terlalu lama bagi mengelakkan fitnah. Dan cinta yang timbul antara pasangan yang bertunang tidaklah menjadi satu dosa sekiranya dilaksanakan mengikut syariat dan takwa. Yang menjadi dosa apabila tidak menjaga batas dan selalu keluar berdua-duaan dan tidak ditemani mahram.Mereka menganggap pertunangan boleh menghalalkan mereka untuk bersentuhan dan selalu berjumpa seperti pasangan suami isteri.Sebenarnya masyarakat masih keliru tentang ikatan pertunangan malah ada yang menggalakkan anak-anak mereka selalu bertemu untuk mengeratkan hubungan.Itu juga menjadi punca berlakunya maksiat yang berleluasa akhir zaman ini.

Kita selalu melihat drama-drama  dan filem-filem cinta yang tidak masuk akal. Ini menjadi ikutan dan contoh kepada anak-anak remaja.Pengaruh luaran seperti kawan-kawan juga sentiasa menggalakkan anak perempuan dan lelaki supaya mempunyai kekasih dan sesiapa yang tidak memiliki kekasih dianggap kolot atau ketinggalan zaman. Perasaan ingin mencuba menyebabkan mereka terjebak dengan cinta palsu atau cinta monyet, yang akhirnya mereka hanya menjadi bahan eksperimen bagi lelaki yang bermata jalang dan buruk akhlaknya.

Sampaikah cinta mereka ke jinjang pelamin?
jawapannya pasti tidak kerana mereka hanya menjadi permainan dan bahan nafsu bagi cinta yang hanya diukir dibibir tapi jauh sekali dengan rasa keikhlasan untuk mengambil perempuan tadi sebagai isteri yang sah. sebab itulah ramai para gadis yang merana dan kecewa serta ada yang menyesal kerana menjadi hamba cinta palsu bagi lelaki yang tidak pernah takut atas segala dosa dan maksiat  yang dibuat.

Kesimpulannya hanya sedikit sahaja cinta zaman remaja yang membawa ke jinjang pelamin, boleh dikira dengan jari bahawa janji lelaki yang dibuat untuk mengambil gadis sebagai isteri dikotakan, malah banyak yang terjadi habis madu sepah dibuang. Ini terjadi kerana dari awal hubungan lagi sudah tidak mengikut syariat islam.Cinta yang dijaja tersebut adalah cinta yang tidak diredhai Allah dan tidak mendapat keberkatan.Banyak juga perkahwinan yang dibina atas dasar cinta sebelum kahwin hanya sekerat jalan dan berlaku perceraian. faktor perceraian terjadi kerana kurangnya kefahaman tentang institusi perkahwinan apabila berkahwin dalam usia yang masih muda dan mentah serta tidak tahu melaksanakan peranan sebagai ketua keluarga, disamping sudah merasa bosan dengan pasangan dan tidak lagi sehaluan.

 Walaubagaimanapun tidak dinafikan masih ada lagi akhir zaman ini para  remaja yang dididik dengan asuhan dan tarbiah islam sejak kecil dan mendapat pendidikan agama serta berperibadi terpuji dan berakhlak mulia , mereka ini bertuah kerana mempunyai ibubapa yang sentiasa mengawal pergaulan dan mendidik ke arah keimanan dan ketakwaan, anak remaja ini masih tahu mengawal diri dan menjaga batas-batas agama terutama dari segi pergaulan antara lelaki dan wanita. Mereka tidak mensia-siakan waktu dan usia remaja yang singkat ini untuk berfoya-foya atau melakukan sesuatu perkara yang mendatangkan maksiat dan dosa serta kemudaratan kepada diri sendiri serta keluarga dan masyarakat . Sebaliknya mereka ini sentiasa memenuhi usia muda dengan belajar ilmu agama dan ilmu-ilmu dunia yang membawa kebaikan kepada diri serta agama.

Oleh itu berusaha dan bermujahadah untuk mencontohi cara hidup remaja seperti di zaman Rasulullah dan para sahabat dimana rela menyerahkan diri ke medan jihad dalam usia muda, sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Belia di zaman Rasulullah ini sanggup tinggalkan isteri semasa masih berbulan madu untuk turut serta berperang bersama Rasulullah bila sampai seruan jihad, itulah contoh pemuda yang syahid di JalanNya iaitu Hanzalah r.a.

Nafkah keluarga...masih ada suami yang keliru

Persoalan ini pernah ditimbulkan oleh seorang isteri semasa saya bertugas di cawangan khidmat nasihat

Soalan:
Saya seorang isteri yang bekerja, pendapatan saya lebih tinggi dari suami,yang menjadi masalah ialah saya yang terpaksa menyara perbelanjaan keluarga dan membayar  hutang rumah dan kereta yang digunakan suami,sekiranya saya enggan menggunakan wang gaji saya, suami memaksa saya berhenti kerja...apakah tindakan yang perlu saya buat?

jawapan:

Dalam Islam telah digariskan panduan untuk para suami melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Setelah selesai akad nikah seluruh tanggungjawab yang digalas oleh bapa terhadap anak perempuan  berpindah kepada suami,oleh itu suami perlu berusaha dan tahu menjaga kebajikan serta memberi nafkah mengikut kemampuannya.

Al-Qur'an menjelaskan dalam surah al-nisa' (34) bermaksud;"kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan  sebahagian dari harta mereka"

Walaupun isteri bekerja dan berpendapatan lebih tinggi dari suami,si suami tidak boleh lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya segala perbelanjaan rumahtangga kepada isteri, sepatutnya di awal perkahwinan suami perlu berbincang dengan penuh hikmah dan kelembutan berkaitan sara hidup keluarga lebih-lebih lagi jika pendapatan suami lebih rendah dari isteri. Isteri keluar bekerja dengan keizinan suami, pendapatan yang diperolehi isteri adalah hak isteri tetapi sekiranya dia dengan kerelaan  hatinya membantu kewangan keluarga adalah lebih baik. Suami tidak boleh sama sekali memaksa isterinya untuk menggunakan semua pendapatan isteri untuk menyara keluarga termasuk melunasi hutang piutang suami. Sekiranya isteri sukarela membantu suami dalam urusan perbelanjaan keluarga dan menggunakan gajinya untuk melunasi hutang suami tidak menjadi satu kesalahan dalam islam. Lebih-lebih lagi di zaman yang sedang mengalami kenaikan harga barangan dan saraan hidup yang meningkat tinggi, isteri yang sanggup membantu meringankan beban suaminya adalah tindakan yang bijak dan patut diberi pujian.

Untuk menjaga kerukunan dalam rumahtangga pasangan suami isteri perlu memainkan peranan masing-masing, menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cara berbincang dan bersemuka dengan berhemah dan penuh kesabaran. Dalam hal di atas isteri hendaklah memberitahu suami tentang tanggungjawab memberi nafkah dan menyedarkannya, sekiranya suaminya jenis yang tidak boleh dibawa berbincang dan bersifat panasbaran bertindaklah mencari orang yang boleh dipercayai untuk menasihati suami. Isteri tadi tidak boleh mengambil keputusan drastik mengikut kemahuan suaminya agar berhenti kerja kerana cara ini belum tentu menjamin masa depan sendiri serta anak-anaknya  kerana suaminya belum tentu berubah dan ingin menanggung nafkah keluarga sepenuhnya lebih-lebih lagi pendapatan suaminya yang kecil.

Jalan penyelesaian terbaik ialah saling memahami dan membantu pasangan dalam mengukuhkan ekonomi keluarga. Suami tidak hanya berpeluk tubuh  dan menyerahkan segala urusan kewangan keluarga kepada isteri secara mutlak,sebagai bapa dan ketua keluarga perlu berusaha lebih gigih dan membuat perhitungan yang bijak dalam menjana pendapatan. Hargailah penat lelah isteri membantu perbelanjaan keluarga namun jangan sampai untuk kenderaan  sendiripun isteri terpaksa membayar hutangnya,suami walaupun bergaji kecil sekiranya bijak mengagihkan  pendapatan dan memberi nafkah mengikut kemampuannya  tentu masalah tidak timbul dan isteri pasti memahaminya.

Tidak akan bahagia sesebuah rumahtangga yang di dalamnya sentiasa berlaku pertengkaran dan pergaduhan disebabkan keegoan dan tidakpuas hati terhadap sikap dan perilaku pasangan suami atau isteri. Pergolakan rumahtangga yang berpanjangan  disebabkan isu nafkah ini akan memberi kesan terhadap anak-anak dan secara tidak langsung anak-anak akan membesar dalam keadaan yang tidak sempurna serta harmoni, tidak mustahil juga rumahtangga yang dibina akan runtuh.

Kesimpulannya setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing,jadikan Islam sebagai cara hidup dan Rasulullah sebagai teladan, berbelanjalah secara sederhana  serta menjauhi pembaziran. Walaupun berpendapatan sederhana dan gaji yang tidak tinggi tetapi sekiranya bekerja dengan penuh amanah ia pasti membawa keberkatan dalam hidup dan mencukupi untuk nafkah keluarga.

Panduan atau kaedah agar anak cepat menghafaz al-Qur'an di awal usia


Anak-anak merupakan zuriat anugerah daripada Allah kepada manusia,  bertuahlah ibubapa yang mampu memiliki zuriat, ini kerana tidak semua orang mempunyai zuriat, Dia (Allah swt) mengurniakan zuriat kepada sesiapa yang dikehendakiNya.Oleh itu ibubapa yang mempunyai zuriat wajiblah memberi pendidikan Islamiah dan ajarkan anak-anak dengan akhlak dan adab-adab islam. Ibubapa adalah  insan yang pertama sekali dilihat oleh anak-anak mereka sebagai role model,jadi mereka perlu memberi contoh teladan terbaik kepada anak-anak.

Sebenarnya secara fitrah anak-anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih tanpa secalit noda, ibubapa merekalah yang mencorakkan anak-anak mengikut acuan yang ibu atau bapa kehendaki.Setiap anak-anak dianugerahkan akal yang pintar dan sihat. Jadi ibubapa perlu bijak mencari peluang dan mengisi ruang agar anak-anak diberi pendidikan sejak dari kecil. Peribahasa mengatakan 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.Tidak mustahil anak yang baru berusia 5 tahun sudah boleh membaca dan menghafaz al-Qur'an, membaca tulisan jawi selain mampu membaca suratkhabar dan buku cerita berbahasa melayu dan inggeris dengan baik.

Pendidikan terhadap anak bermula dari dalam kandungan:

ibu yang telah  disahkan hamil perlu menjaga kandungan dengan mengambil makanan bervitamin dan berzat, selain itu tidak sekali-kali menghisap rokok.Bijak dalam memilih pemakanan dan yang paling utama mengambil berat dari segi kebersihan dan status halal makanan serta menjauhi makanan yang syubhah.ibu juga perlu lebihkan makan sayuran hijau,biji-bijian,kacang badam ,tamar dan sebagainya.

Sentiasa amalkan membaca ayat-ayat suci al-Qur'an dan perdengarkan janin dalam kandungan dengan rangsangan bunyi alunan al-Qur'an dan zikrullah.Memang secara semulajadi janin akan bertindakbalas dan bergerak-gerak jika ibu atau bapanya menyentuh dan membelainya.Pada masa ini juga ibu boleh berkomunikasi dengan si anak dalam kandungan seperti bercerita kisah-kisah para nabi atau para sahabat,ini akan menggalakkan lagi pertumbuhan otak bayi semakin cerdas,kerap mendengar tazkirah dan ceramah agama juga menambahkan lagi inisiatif melahirkan anak genius.Ibu yang sedang hamil juga perlu meningkatkan amal ibadah,istiqamah mendirikan solat-solat sunat,membaca al-Qur'an,berzikir, beristighfar dan berselawat. Ibu sentiasa mujahadah menghiasi peribadi dengan akhlak terpuji dan menjauhi akhlak atau sifat mazmumah,di samping kerap berdoa agar dikurniakan anak yang soleh.

Kaedah agar anak cepat membaca dan menghafaz al-Qur'an

i-Usia setahun
-Setelah anak boleh menyebut beberapa patah perkataan seperti;  'nak' (mahu), 'bu' (ibu), ' ma' (mama),'mi' (umi),menunjukkan sikecil
sudah mula belajar bercakap. Pada waktu ini ibu sepatutnya banyak menghabiskan waktu dengan simanja. Latih lidah anak agar ringan menyebut perkataan pendek seperti Allah,nabi,bismillah,ajari sedikit demi sedikit iqra' (alif,ba,ta).

ii- Usia 2-4 tahun
-Ibubapa sudah boleh melatih anak-anak membaca doa-doa pendek seperti doa tidur,doa makan,doa masuk tandas,doa naik kenderaan dan sebagainya
-Mula mengenalkan anak menggunakan bacaan   iqra' (kaedah mudah dan cepat untuk mengenal huruf dan kalimah al-Qur'an)

iii-Usia 5-7 tahun
-Semasa usia ini anak sudah lancar membaca dan menyebut kalimah-kalimah dalam al-Qur'an.Peluang ini boleh digunakan untuk mengajar satu lagi pelajaran iaitu tajwid.
-Sewaktu anak-anak membaca muqaddam (ayat-ayat lazim daripada surah al-nas hingga surrah 'amma) selitkan sekali bacaan secara bertajwid dan tartil.

iv- Usia 7 tahun ke atas
-Sekiranya anak dengan mudah dan lancar membaca surah-surah dari muqaddam dan menamatkannya bolehlah anak-anak mambaca al-Qur'an bermula dengan surah al-Baqarah. Ajari anak dengan membaca secara bertartil (bertajwid)
-Perkenalkan anak dengan membaca secara lancar dan bertajwid setiap surah-surah pendek seperti surah an-nas-surah 'amma).Apabila anak sudah mahir dengan bacaan lancar,cuba latih anak menghafaz sedikit demi sedikit dari satu surah. setelah berjaya menghafaz satu surah bolehlah beralih kepada surah yang lain.Perlu juga dititiberatkan mengulang balik surah yang telah dihafaz supaya mereka tidak terlupa.

Ini adalah kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibubapa sendiri sekiranya mahu anak-anak menjadi hafiz di awal usia.Sekiranya ibubapa tidak mampu melaksanakannya sendiri dan susah untuk melatih anak menghafaz dicadangkan hantarlah anak-anak belajar al-Qur'an dikelas atau sekolah tahfiz yang bersistem dan mempunyai tenaga pengajar yang mahir.

Untuk melahirkan anak yang bijak dan genius dalam hafazan al-Qur'an ibubapa perlu memainkan peranan melatih, mendidik dan mendisiplinkan anak secara istiqamah.Di samping banyakkan berdoa agar anak dimudahkan Allah untuk mempelajari,menghafaz dan mengamalkan pengajaran al-Qur'an dalam kehidupan mereka.

Sebagai galakkan kepada  ibubapa untuk mendekatkan anak-anak mereka dengan al-Qur'an dan berusaha melahirkan generasi al-Qur'an di sini saya bawakan satu hadith daripada Muaz bin Anaz dengan sanad yang sahih.
Rasululullah saw bersabda:
"Barangsiapa yang membaca al-Qur'an dan beramal dengannya akan dipakaikan kedua ibubapanya mahkota pada hari kiamat, cahaya mahkota tersebut lebih baik daripada cahaya matahari di dunia"
(hadith riwayat Imam Ahmad,Abu Daud,al-Hakim dan Baihaqi)

 Ibubapa perlu menghindari anggapan  bahawa anak-anak yang menjadi hafiz tidak mempunyai masa depan yang cerah dan tidak mampu  membalas jasa ibubapa dengan wang ringgit dan harta kemewahan. Sebaliknya anak-anak inilah yang bakal mendoakan kebahagiaan ibubapa semasa masih hidup dan apabila kembali ke alam barzakh nanti,malah berpanjangan hingga kehari yang abadi (akhirat)

Akhir zaman ini para hafiz sangat diperlukan dan memainkan peranan penting untuk menjaga kesucian agama dan mengamalkan islam sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur'an.Daripada mereka jugalah nanti akan lahirnya generasi al-Qur'an yang soleh dan berakhlak mulia kerana kejayaan ibubapa bergelar hafiz ini mendidik zuriat mereka.

Justeru itu marilah sama-sama kita berazam untuk mendidik pewaris kita agar menjadi para huffaz dan alim.Insyallah mereka  yang akan menerajui negara dan membina bangsa dengan berlandaskan kalimah suci al-Qur'an dan sunnah rasulullah saw pada masa akan datang.
saya titipkan kalimah mulia buat saudara dengan satu hadith Rasulullah saw: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Qur'an dan mengajarkannya"

Penulisan ini berdasarkan pengalaman saya sebagai ibu dan pendidik kepada bakal hafiz dan hafizah,Insyallah.Ilallah al-taufiq wal'inayah.

Sifat sensitif.... sejauhmana membawa kebaikan kepada diri

Naluri atau perasaan diciptakan oleh Allah berbeza antara setiap insan. Allah swt yang maha kuasa dan agung menjadikan akal dan perasaan berbeza-beza antara lelaki dan wanita dan antara seseorang wanita dengan wanita yang lain

wanita selalu dikaitkan dengan sifat sensitif dan kaum yang mudah mengeluarkan airmata...benarkah?Apakah lelaki memang tiada sifat sensitif dan tidak pernah mengeluarkan airmata?
Setiap manusia di bumi ini semuanya memiliki sifat sensitif, ada perasaan sedih, dukacita, kecewa dan bimbang. Tidak mengira jantina, usia dan tempat sifat ini memang wujud cuma dari segi jumlah atau kuantiti sifat sensitif itu sukar untuk ditentukan. Ini kerana sifat sensitif ini terlalu subjektif.

Wanita diciptakan untuk menjadi teman kepada lelaki,wanita bergelar isteri adalah sumber kekuatan bagi lelaki melaksanakan urusan dakwah dan mencari nafkah dalam kehidupan. Lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan penjaga atau wali kepada wanita yang bergelar ibu, isteri dan anak perempuan. Itulah antara sebab wanita lebih sifat sensitifnya jika dibandingkan dengan lelaki. Lelaki secara semulajadi mempunyai kekuatan dan akal yang lebih jauh dan tajam untuk membuat keputusan dalam institusi pentadbiran, kekeluargaan dan sebagainya. Sensitif lelaki hanya bertempat dan mereka bertindak dengan lebih bijak menggunakan akal tanpa mengikut perasaan

Wanita Dan airmata.....
Memang sinonim sejak zaman dahulu wanita selalu dikaitkan dengan perasaan sedih, sensitif dan senang mengeluarkan airmata bila melihat sesuatu yang menyentuh perasaan halusnya seperti melihat bayi terbuang, pengemis, kemalangan, kesakitan dan sebagainya. Sebenarnya perasaan sensitif ini sesuai pada wanita kerana memang fitrah wanita dicipta untuk menyayangi dan mempunyai sifat lemah lembut bagi membesarkan anak dan memberi kasih sayang kepada anak serta suaminya.

Namun demikian lelaki juga ada sifat sensitif atau sedih bila sesuatu peristiwa pahit berlaku dalam hidupnya contohnya kehilangan insan tersayang seperti isteri, anak atau orang tuanya.
Rasulullah pun pernah berdukacita dengan pemergian isteri kesayangan baginda iaitu Khadijah, bapa saudaranya Abu Talib dan datuknya iaitu Abdul Mutalib.Umar dan Abu Bakar pernah bersedih dan berdukacita di atas pemergian insan agung dan sahabat karibnya. Kisah menyayat hati ini terpahat dalam sejarah bagaimana perasaan para sahabat  semasa menerima berita kewafatan rasululah saw.

Sebenarnya sifat sensitif ini wujud  disebabkan beberapa faktor:
i-latarbelakang dimana seseorang itu dibesarkan
contohnya anak yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang miskin dan susah serta hidup dalam persekitaran luarbandar  lebih mudah sensitif kerana mengalami kesukaran sejak kecil dan diajar berdikari oleh ibubapanya, berbeza dengan anak yang diasuh dalam suasana kemewahan dan sentiasa mendapatkan apa yang dihajati

ii-anak yang menjadi mangsa perceraian, anak yang ditinggalkan ibu atau bapa dan anak yatim

ii-Wanita yang mengalami trauma dalam hidup seperti menjadi mangsa kerakusan lelaki, mangsa rogol, mangsa dera.

iii-gadis yang dikecewakan oleh teman lelaki dan mengalami putus cinta, gadis yang putus pertunangan dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan

iv-isteri yang digantung tidak bertali, ditinggalkan suami dan bercerai dengan suami serta terpaksa menjaga anak-anak bersendirian

v.isteri yang dimadukan oleh suami.

vi-golongan kurang upaya yang cacat semenjak dilahirkan dan yang baru mengalami kecacatan disebabkan kemalangan yang menimpa dan sbgnya

Sifat sensitif ini ada kebaikan dan keburukannya

Kebaikan sifat sensitif
i-individu yang memiliki sifat ini mudah memahami dan menghargai perasaan orang lain

ii-senang membantu orang yang mengalami kesusahan dan yang memerlukan pertolongan

iii-sentiasa mengambil pengajaran dan iktibar di atas peristiwa yang menimpa diri

iv-banyak membuat perubahan ke arah kebaikan demi diri dan keluarga

v-berjaya mencapai cita-cita dan memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih sempurna

vi-tahu menilai dan menghargai serta mensyukuri nikmat pemberian Allah

Keburukan sifat sensitif:
i-suka termenung dan menyalahkan diri sendiri

ii-mudah berprasangka buruk terhadap orang lain

iii-mendendami dan menyimpan rasa tidak puas hati berpanjangan

iv-menjauhkan diri dan tidak suka bergaul dengan masyarakat

v-menganggap semua orang tidak boleh dipercayai dan ada niat tidak baik terhadapnya

vii-boleh membawa keruntuhan dalam kerjaya

viii- wujud suasana tidak  harmoni dalam keluarga dan masalah mental

cara-cara mengatasi sensitif:
i- setiap orang yang mengakui beriman kepada Allah dan rasulnya perlu yakin dan beriman bahawa segala yang berlaku dalam hidup merupakan ujian, perlu beriman dengan seyakin-yakinnya terhadap qada' dan qadar, ketentuan dan ketetapan Allah sejak azali iaitu rukun iman yang keenam.

ii-tidak berputus asa dengan ujian yang menimpa, sebaliknya redha dan sabar apabila ditimpa ujian dan yakin bahawa ada hikmah disebalik dugaan tersebut

iii-mengarahkan sepenuh tumpuan kepada cinta hakiki iaitu cinta terhadap Yang Maha Esa, yang maha mengetahui semua bisikan hati naluri manusia.

iv-didik diri dan hati supaya berserah dan tawakkal kepadaNya dalam setiap ketika dan keadaan apa sekalipun

Sensitif  ke arah sesuatu yang membawa kebaikan, cepat sedih dan bimbang jika hati terasa semakin jauh dengan Allah, sukar untuk melakukan amalan secara istiqamah dan mengikut perintahNya, sensitif dan menangisi atas dosa-dosa yang telah dibuat adalah kebih baik daripada sensitif kepada sesuatu perkara yang remehtemeh dan tidak perlu difikirkan.

 Insan yang berjiwa sensitif sebenarnya satu anugerah ilahi yang tidak boleh dibeli, bersyukurlah dengan anugerah perasaan ini dan kendalikan perasaan sensitif supaya terarah kepada melakukan amalan kebajikan terhadap ummah sejagat, suka membantu fakir miskin, mengasihi anak-anak yatim dan golongan kurang upaya, memberi sedekah dan sebagainya.

IKHLAS MENEMUIMU YA RABB.....

Ya Rabbi....
Masa bertamu ke RumahMu semakin menghampiri
hatiku semakin berdebar-debar
cinta, rindu, resah, cemas, takut, suka, sedih, sayu
semua perasaan yang ada pada insan
serasa bersatu dalam diri ini

bilaku menatap wajah mulus permata hatiku
tanpa disedari air jernih mengalir ke pipi
tuhan
tabahkan hatiku
aku yakin bahawa Engkau yang tidak tidur
akan menjaga, melindunginya
kawallah hatinya agar  tidak teramat merindui ibunya

Ya Rabbi.....

kutelah bersedia untuk menempuh segala ketentuanMu
segala jiwaragaku telah kuserahkan kepadaMu
kuyakin Engkau sentiasa hampir denganku
mendengar rintihan dan luahan hatiku
kubersedia berpisah dengan insan kesayangan
meninggalkan mereka semua
hanya semata-mata untuk menemuiMu

Ya Rabbi.....

ampuni dosa-dosaku selama ku dihantar ke dunia ini
betapa banyaknya dosa kurasa
kuyakin Engkau maha mengampuni segala dosa melainkan syirik
sucikan hatiku dari segala sifat-sifat mazmumah
bekalkan diriku dengan kekuatan iman dan keikhlasan
hanya padaMu tempatku memohon dan meminta
mudahkan segala urusanku untuk menuju kepadaMu

Ya Rabbi.....

pintaku janganlah Engkau meninggalkan ku sendirian
dalam meneruskan langkah di bumi suciMu
padaMu seluruh doa dan pengabdian diserahkan
aku hanya hamba yang kerdil
tiada memiliki sesuatu yang boleh kubuktikan padaMu
namun keikhlasan hati yang penuh cinta dan rindu terhadapMu
membawa diriku bertamu di rumahMu

PANDUAN MENGURANGKAN TEKANAN ATAU STRESS DALAM KERJAYA

Kerjaya merupakan aktiviti  yang menjadi keperluan bagi umat Islam hari ini, tujuannya untuk mencari rezeki dan menampung sara hidup diri sendiri atau keluarga. Dalam menempuh dunia pekerjaan setiap dari kita tidak dapat lari dari menghadapi cabaran dan ujiannya. Cabaran tersebut mungkin berpunca dari pihak atasan iaitu ketua di tempat kerja atau sikap dan karenah rakan-rakan sekerja yang berbagai rentak,selain itu jika bertugas sebagai pendidik pula tidak dapat mengelak dari menghadapi perangai murid-murid,jika pengusaha atau ahli perniagaan akan berhadapan dengan karenah pelanggan atau rakan kongsi.

Pemilihan kerjaya menentukan masa depan diri sendiri dan keluarga. Sekiranya kita gagal maka kesannya akan dirasai bukan sahaja oleh diri malah bahangnya terkena juga kepada keluarga.Justeru kita perlu menjadi diri sendiri dan kuat pendirian menghadapi segala rintangan dalam kerjaya yang dipilih. Dalam melaksanakan tugas sehari-hari kita pasti akan melalui masa yang sukar dan perasaan stress.Setiap orang akan merasai tertekan sekiranya sesuatu projek atau program yang dilaksanakan tidak memuaskan hati ketuanya, atau ada rakan yang dengki dan cemburu melihat reputasi kerjanya yang mendapat pujian, di dalam bidang pendidikan pula  pekerja akan tertekan dengan sikap pelajar yang sukar mendengar nasihat dan tidak menghormati guru dan sebagainya.

Cara-cara menghilangkan tekanan atau stress

i-cuba melupakan sikap atau kata-kata mereka yang menyakitkan hati, tidak mengambil berat dan anggaplah mereka juga manusia yang
tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan.

ii-segera memujuk hati sendiri dengan memberi kemaafan terhadap mereka

iii-jika kemarahan di hati memuncak segera meninggalkan suasana panas tersebut dan bersegera mengambil wudhu', dengan cara ini perasaan kembali tenang

iv-jangan menemui mereka yang menimbulkan masalah dengan kita untuk beberapa waktu atau beberapa hari, dengan cara ini dia  akan berfikir dan menyedari ada kesilapan yang telah dibuat

v-mengambil cuti kecemasan dan pergi ke tempat yang boleh memberi ketenangan pada diri samada ke masjid atau tempat  peranginan yang damai dan membolehkan kita merehatkan minda,kita juga boleh meringankan tekanan dengan menceritakan atau meminta pandangan  sahabat yang dipercayai dan tidak keberatan mendengar masalah yang kita alami

vi-segera solat sunat taubat dan hajat serta banyak berdoa semoga jiwa kita tenang dan mereka yang melakukan sesuatu terhadap kita diberi hidayah oleh Allah

vii-banyakkan istighfar dan zikir serta selawat supaya jiwa kita lebih tenang dan kuat menghadapi ujianNya

viii-Sekiranya kita sudah berikhtiar dan masih menghadapi kesulitan ingatkan diri bahawa hidup ini adalah tempat ujian dan kita tidak boleh lari daripadanya.

Sekiranya berpunca dari kesilapan diri sendiri cuba menerima kelemahan diri dengan berusaha atau belajar meningkatkan ilmu pengetahuan untuk menyakinkan ketua atau orang lain.Jika kita sebagai pendidik tambahkan ilmu psikologi remaja untuk menangani dan menyelesaikan permasalahan remaja di sekolah atau institusi pengajian.

Setelah berusaha dan berdoa memohon kepadaNYA barulah kita bertawakkal atau berserah kepada Allah semata-mata,bersabar dan redha dengan ketentuan Allah dan berprasangka baik sesama manusia adalah sifat yang baik untuk menghilangkan stress atau tekanan di tempat kerja. Mudah-mudahan panduan ini memberi manfaat kepada kita semua.

DIRIMU BEGITU BERHARGA

wahai diri yang berasal dari adamhawa
engkau ibarat bunga yang sedang mekar mewangi
di sebuah taman larangan
dahanmu dikelilingi duri-duri tajam
untuk melindungi kelopakmu yang lembut

tidak tergerakkah hati putihmu
menjadi seperti siti khadijah
yang sanggup korbankan harta dan kemewahan
kerana kecintaan kpd Allah dan rasulNYA

tidak terusikkah naluri halusmu
untuk menjadi seperti fatimah
yang berkorban untuk suami dan bapanya
walau  kelelahan dan kesedihan galang gantinya

tidakkah engkau terusik iman
bila meniti kisah sejarah
masyitah yang sanggup korbankan diri dan anak kesayangan
demi sebuah kecintaan kpd Yang Esa

yakinkah imanmu masih tebal
melihat pengorbanan siti hajar
membiarkan suaminya pergi berjuang
demi cintaNYA sanggup berkongsi kasih sayang

yakinkah engkau kepada janjiNYA
melihat pendirian teguh asiah
melalui hidup dengan musuhNYA dan musuh nabi
namun imannya tidak pernah luntur

jika engkau yakin dengan cintaNYA  yang satu
engkau pasti sanggup mencontohi khadijah,fatimah,masyitah,siti hajar dan Asiah
malah engkau pasti rela serahkan jiwa raga hatta harta
sebagai bukti pengorbanan cinta yang tidak berbelah bahagi

di mana engkau saat ini
apakah masih dengan kelalaian diulit mimpi indah
di dalam gedung perhiasan indah
disaluti emas permata
dibayangi angan-angan kosong
tertipu dengan kehidupan sementara
tertipu dengan manusia yang alpa
atau tipu daya bisikan syaitan durjana

carilah dirimu
sebelum maut menjemput kembali
sebelum badanmu yang halus diusung ke sana
percayalah dirimu sangat berharga disisiNYA
percayalah masih terbuka luas pintu taubat
masih terbuka luas pintu rahmat
selagi engkau berjaya membawa hatimu yang putih menuju keredhaanNYA