
Dalam al-Qur'an Allah berfirman:"Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu,siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya.Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun"(surah al-Mulk-2)
Rasululah diuji dengan ujian yang lebih hebat daripada umatnya, menerima penyiksaan dan dipulaukan oleh kaum arab jahiliyah namun baginda tetap meneruskan dakwah mengajak manusia kepada mengakui dan beriman kepada Pencipta Yang Esa.Pendekatan dakwah Rasulullah yang penuh teliti, sabar dan tabah perlu dijadikan model oleh umatnya pada hari ini.Jangan mudah putus asa dan lemah semangat bila diuji sebaliknya tetap teguh dan kuat pendirian sekiranya niat dan pendekatan kita untuk kebaikan ummah.
Allah swt memerintahkan Rasulullah agar terus berjuang dengan ikhlas dan tawakkal sepenuhnya kepadaNya, sehingga ada wahyu yg diturunkan untuk memberi ketenangan jiwa kepada Rasulullah. Ayat-ayat al-Qur'an ini juga boleh dibaca secara istiqamah dan diamalkan oleh umat pada hari ini sekiranya perlukan kepada ketenangan dengan harapan urusan seharian berjalan lancar dan mendapat petunjukNya, surah tersebut ialah surah al-syarh (melapangkan)
Pengertian surah al-syarh:
1-Bukankah kami telah melapangkan untukmu dadamu?
2-dan kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu
3-yang memberatkan tanggunganmu?
4-dan kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu
5-kerana sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan
6-sesungguhnya sesudah kesukaran itu ada kemudahan
7-maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan),kerjakanlah dengan sungguh2 (urusan) yang lain
8-dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap
Begitu mudahnya amalan yang boleh dibuat dan diikuti oleh umat akhir zaman untuk mencapai serta memperoleh ketenangan jiwa.
Tidak perlu mengeluarkan harta dan wang untuk mendapatkannya, tidak perlu pergi ke mana-mana tempat yang indah dan menarik untuk mencari kedamaian.Sebaliknya hanya dengan mengambil wuduk,mendirikan solat-solat sunat serta berdoa, disamping itu bacalah ayat-ayat suci al-Qur'an khususnya surah al-Syarh dengan tawadhuk dan ikhlas keranaNya.Mudah-mudahan segala permasalahan yang membelenggu diri mampu diselesaikan dengan penuh berhemah, tenang dan bijaksana.Ketenangan akan datang dengan sendirinya dalam jiwa seumpama angin lembut yang bertiup di pergunungan yang indah dan dingin.
Di samping itu, bagi seseorang yang tidak boleh dan tidak mampu menyelesaikan kekusutan bersendirian perlu juga mencari sahabat yang baik dan boleh dipercayai untuk menceritakan masalah yang dialami. Hidup di dunia ini tidak boleh mengasingkan diri daripada masyarakat dan jemaah.Oleh itu berusaha untuk mencari sahabat yang setia dan beriman serta soleh juga menjadi keperluan. Sebagaimana Rasulullah mempunyai ramai sahabat tapi baginda hanya ada seorang sahabat yang paling rapat dan sentiasa berjuang bersama beginda semasa senang dan susah iaitu Abu Bakar.
Orang-orang yang beramal soleh dan sentiasa tenang digambarkan oleh Allah sebagai manusia yang sempurna imannya dan bakal memasuki syurgaNya seperti firmanNYa:"Hai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.(surah al-Fajr :27-30)
ليست هناك تعليقات:
إرسال تعليق