Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

02‏/01‏/2011

Demi Masa (Al-Asr)


 "Demi masa.Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.(Surah al-Asr ayat 1-3)

Masa adalah satu kalimah yang tidak asing dan sentiasa disebut setiap manusia. Dalam al-Qur'an istilah masa selalu disebut berulang-ulang kali malah ada satu surah yang khusus dinamakan sebagai 'masa' (al-'Asr). Masa begitu berharga  dan masa yang berlalu tidak akan kembali lagi menemui insan. Masa juga diibaratkan seperti  sebilah pedang yang akan memotong manusia jika manusia tidak bertindak cepat merebut atau memintasnya.

Begitu unik sekali masa yang diciptakan khusus buat manusia. Justeru insan yang bijak akan sentiasa menghargai masa yang diperuntukkan Allah untuknya. Masa yang singkat tidak akan disia-siakan begitu sahaja malah dipenuhi dengan agenda dan perancangan yang bernilai dan bermanfaat untuk kemaslahatan diri, keluarga,masyarakat serta yang paling utama ialah untuk agama Allah swt.

Peredaran dan pertukaran waktu siang dan malam silih berganti, dari hari bertukar kepada bulan, dari bulan kepada tahun sehinggalah berlakunya waktu yang dijanjikan iaitu hari kiamat. Itulah sunnatullah yang telah ditetapkan ke atas alam dunia yang sementara ini. Masa yang telah beredar  tidak dapat lagi dikutip atau diulang kembali.

Insan yang membiarkan masa berlalu tanpa merebut peluang dan ruangnya akan mengalami kerugian besar jika tidak di dunia di akhirat. Penyesalan kerana mensia-siakan masa tidak perlu lagi diratapi jika jasad telah kembali ke alam barzakh. Tiada guna lagi penyesalan atau taubat jika tempoh masa     yang telah Allah berikan telah tamat waktunya dan telah tiba ajalnya serta bertemu dengan hari penghisaban di hadapan Rabbul izzati.

Justeru ingattlah setiap diri bahawa masa itu sangat berharga melebihi nilaian emas atau permata. Beruntunglah bagi insan yang mengambil berat terhadap perjalanan masanya dan tidak pernah menyiakan waktu yang dikurniakan ilahi. Tidakkah kita mencemburui perjalanan hidup para ulama' dahulu yang  menghabiskan masa sepanjang hidupnya dengan pengabdian diri kepada Ilahi dan pengorbanannya untuk ummat hari ini yang begitu bernilai sekali. Sebagaimana masanya yang dihabiskan dalam menukilkan hasil penulisan dari buah fikiran dan pendapat yang menjadi sumber rujukan dan panduan ummat Islam akhir zaman.

Masih ingatkah kita kepada Imam Ahmad ibn Hanbal, Imam Syafi'e, Imam Hanafi, Imam Bukhari dan Imam Muslim.Betapa besar jasa mereka untuk umat hari ini. Jika mereka tidak korbankan masa untuk menghasilkan penulisan berguna tidak akan sampai ke tangan kita kitab hadith sahih bukhari dan muslim, kitab tentang mazhab yang kita ikuti sekarang ini. 

Allah telah bersumpah  dengan masa di mana betapa  manusia sentiasa berada dalam kerugian. Beruntunglah sesiapa yang menyedari dia telah atau sedang mengalami kerugian kerana telah membazir masa atau mensia-siakan waktu yang singkat itu. Semua manusia akan sentiasa dalam kerugian jika tidak memenuhi ruang dan peluang masa yang diperuntukkan untuknya dengan melakukan amalan yang soleh atau perkara yang berfaedah terutama untuk mengajak manusia kembali kepada mengamalkan ajaran Islam yang syumul di dalam kehidupan ini, mendekati jiwa-jiwa yang masih tidak mengenali  Islam kepada agama yang hanif dan diredhai Allah swt, membawa insan agar mengikuti petunjuk dan sunnah Rasulullah dalam setiap aspek kehidupan.

Allah swt berfirman:"Dan siapakah yang paling baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada
Allah dan beramal soleh dan mereka berkata sesungguhnya kami daripada golongan yang berserah diri".
Berbahagialah jika tergolong di kalangan hamba  yang diperakui sendiri oleh Allah sebagai yang paling baik
kerana memenuhi waktu dengan mengajak umat manusia kepada mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala tegahanNya.

Jelaslah tidak sempurna keimanan seseorang jika hanya beribadah untuk dirinya, tidak sekelumitpun berasa bersalah dan membiarkan ummat sekelilingnya bergelumang dengan dosa dan maksiat. Sebaliknya walaupun mendapat tentangan atau dihalang dengan perbuatan atau perkataan seseorang yang memikul amanah Allah sebagai da'ie itu tetap bersabar dan mengajak dengan penuh hikmah dan kelembutan. Pesanan Allah dalam surah al-'asr sentiasa diamalkan dalam kehidupan seorang daie ilallah.. 

Rasulullah juga tidak lupa meninggalkan pesanan berharga untuk ummatnya yang tercinta tentang masa. Baginda bersabda yang bermaksud :
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum tibanya masa sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.
Hadis Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)  .

Betapa pentingnya masa sihat sehingga Rasulullah yang begitu menyayangi ummatnya menitipkan nasihat khusus berkaitan masa sihat sebelum masa sakit. insaflah dan sedarlah bahawa peluang dan anugerah sihat tidak boleh dibeli dan dibayar. Oleh itu syukurilah dan hargailah masa sihat dengan pengisian bermakna seperti belajar agama atau berbakti untuk agama Allah.Jika telah tiba sakit hendak menyuapkan makanan ke mulutpun tiada kemampuan lagi.

Tidak semua orang memiliki kekayaan. Justeru insan yang dianugerahi Allah dengan kekayaan perlulah menyedari bahawa harta tersebut bukan miliknya yang mutlak sebaliknya harta sebagai amanah dan ujian buatnya. Orang yang bijak adalah yang pandai menggunakan hartanya untuk kemaslahatan ummah seperti.menderma, membantu fakir miskin dan untuk tujuan fi sabilillah. Jauhi sifat tamak dan kikir serta sifat Qarun yang dibinasakan Allah kerana melupakan Allah apabila memiliki kekayaan..Hiasi peribadi seperti sifat Abdulrahman bin 'Auf seorang sahabat yang kaya, Rasulullah memberitahu bahawa beliau adalah sahabatnya yang paling terakhir masuk syurga kerana menghadapi penghisaban yang lama kerana memiliki kekayaan.

Rasulullah juga mengingatkan berhati-hati dengan masa lapang kerana masa tersebut akan berlalu sia-sia jika tidak digunakan sepenuhnya. Masa lapang yang ada juga akan mendatangkan maksiat dan dosa jika disalahgunakan. Contohnya melayani hobi yang suka melepak dan merempit di jalan tanpa tujuan sehingga mengganggu ketenteraman awam, menonton wayang atau menghabiskan masa melayari permainan di internet sehingga membawa ke kancah maksiat dan kelalaian.

Syaitan juga suka mengambil ruang di dalam hati manusia yang berada dalam keadaan lalai daripada mengingati Allah. Alangkah baiknya jika masa lapang itu dipenuhi dengan menghadiri kelas pengajian atau mencari seorang guru yang boleh membimbingnya dalam menambahkan ilmu samada dari segi ilmu berkenaan al-Qur'an, fardhu ain atau ilmu fardhu kifayah.

Masa muda hanya sekali sahaja singgah dalam kehidupan insan. Oleh itu ada yang beranggapan masa muda adalah masa untuk berhibur dan melayan semua keinginan atau kehendak diri tanpa mengira samada ianya berdosa atau tidak. Baginya peluang untuk bertaubat masih terbuka luas kerana usianya masih muda dan masanya masih panjang. Anggapan ini silap kerana hidup dan mati di dalam ketetapan Ilahi. Muda tidak semestinya panjang umur dan akan hidup lama.

Buah kelapa muda juga senang gugur dari pokoknya. Bgitu juga dengan insan. Insaflah sudah berapa ramai insan sekeliling kita yang kembali menemui Allah dalam usia muda dan ada yang masih kanak-kanak.Justeru penuhilah masa di usia muda dengan sesuatu yang  bermanfaat seperti mendalami ilmu, beramal ibadah dan belajar mengajak ummat ke arah kebaikan.

Berusahalah untuk menjadi pemuda atau pemudi yang berjasa untuk agama Allah dengan mencontohi pemuda semasa zaman rasulullah dan para sahabat. Ingatlah hadith tentang tujuh golongan yang akan berada di bawah naungan arash Allah antaranya pemuda yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, pemuda yang apabila perempuan cantik mengajaknya melakukan maksiat ditolaknya dengan berkata sesungguhnya ia takut kepada Allah, pemuda yang mengingati Allah ketika bersendirian dan mengalir airmatanya.

Rasulullah juga berpesan tentang masa hidup sebelum mati. Kematian itu adalah pasti dan kehidupan di dunia hanya sementara. Dunia diibaratkan sebuah kapal pelayaran yang membawa muatan menuju ke sebuah pulau, ia juga dianggap seperti sebuah ladang untuk bercucuk tanam.  Setiap jiwa akan kembali kepada Allah apabila tiba ajalnya.  Justeru setiap insan perlu menyedari dan menginsafi bahawa masanya untuk hidup adalah terlalu singkat.

Allah tidak memberitahu masa kematian  agar manusia bijak membuat pilihannya sendiri, sentiasa bertaubat dan mengabdikan diri kepadaNya. Jika manusia telah diberitahu awal-awal tentang kematiannya sudah tentu mereka akan berada dalam ketakutan dan tidak dapat menjalani kehidupan dengan sempurna. Diri insan sendiri yang patut menginsafi bahawa semakin bertambah usia dari masa ke semasa  kematian akan semakin menghampirinya. Jika itu yang diingati pasti jiwanya akan sentiasa berusaha dan bermujahadah mencari keredhaan Allah dalam kehidupannya. Dia tidak akan lari daripada petunjuk ilahi dan sentiasa berjuang melawan keinginan nafsu atau bisikan syaitan.

Bersambung.....

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق