Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

29‏/12‏/2010

Persepsi Manusia Berbeza.....Ujian Ke Atas Manusia Tidak Sama

Hati naluri manusia tidak sama, setiap manusia memang berbeza dari segi penciptaan jasad dan sifatnya. Begitu juga setiap orang tidak sama kebolehan akal (gerak kerja berfikir) atau intuisinya.

Walaupun demikian manusia dihantar dan dicipta di dunia adalah atas maksud dan matlamat yang sama. Sebagai khalifah yang diberi amanah oleh Allah untuk memakmurkan bumi, mengajak setiap jiwa mengakui keesaan Allah, menerima risalah tauhid dan menyeru kepada pengamalan Agama yang satu dalam setiap aspek kehidupan iaitu Islam sebagai cara hidup.Yang paling utama ialah sebagai hamba Allah, yang hanya mengabdikan diri kepadaNya semata-mata sebelum ajal tiba dan bertemu denganNya di akhirat nanti.

Tergerak naluri wanita ini untuk melahirkan perasaan simpati  kepada seorang sahabat saya yang juga seorang blogger yang terkenal   setelah beliau mengungkapkan bicara 'kau terbaik untukku' . Terus diajukan persoalan oleh seseorang  kepadanya "Apakah  bait 'Kau terbaik untukku' masih valid sekiranya si suami berpoligami?"

Sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak, apakah perasaan anda jika menerima ungkapan sebegini lebih-lebih lagi disaat baru sahaja menyambut ulangtahun perkahwinan yang melebihi sepuluh tahun. Tentu masing-masing ada jawapannya.

Saya begitu bangga  dan kagum dengan sahabat saya  yang begitu berani dan bijak dalam menuturkan bicara penuh hikmah berkaitan persoalan poligami. Tahniah kepadanya. Itulah asam garam dalam berdakwah dan menegakkan kebenaran. Akan ada ujian dan rintangannya. Tidak sedikit kata-kata sinis, sindiran pedas dan mengguris perasaan yang telah dan akan dilontarkan.


Saya tidak mahu memanjangkan bicara tentang poligami, ini kerana semua orang sudah mengetahui pengertian dan maksudnya. Ayat al-Qur'an sudah jelas menghalalkan poligami dan Rasulullah juga mengamalkan kehidupan berpoligami.

Saya juga pernah diajukan bertalu-talu pada suatu ketika apakah perasaan saya jika saya dimadukan dan apakah saya boleh terima jika saya ditakdirkan dimadukan. Pernah juga saya dikelilingi dengan persoalan poligami semasa bertugas dan semasa berada di kalangan keluarga dan sahabat yang mengamalkan poligami.


Di sini saya dapat menjelaskan bahawa sebagai orang beriman kita perlu yakin dengan sepenuh keyakinan kepada qada' dan qadar yang telah ditetapkan olehNya. Rezeki, jodoh, ajal maut semuanya di tangan Allah swt. Sebagai hambaNya kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar, selebihnya berserah kepada ketentuan Yang Esa.

Tidak dinafikan setiap wanita  mempunyai perasaan cemburu, lebih-lebih lagi jika seorang isteri yang ditakdirkan berkongsi kasih sayang suami dengan wanita lain. Walaupun begitu sebagai hamba Allah jika ditakdirkan hidup dalam berpoligami perlu tanamkan sifat sabar dan tabah menghadapi ujian dari Allah. Semuanya yang kita anggap milik kita di dunia ini sebenarnya hanyalah pinjaman, apabila tiba masanya pinjaman tersebut akan dipulangkan kembali kepada Pemilik hakiki iaitu Allah swt.

Ujian dan dugaan hidup sentiasa akan mendatang dan akan pergi. Begitu juga ujian dalam rumahtangga. Banyak kisah terpapar di dalam akhbar kisah-kisah perceraian dalam rumahtangga monogami. Sedikit sekali terpapar kisah kejayaan dan kebahagiaan keluarga yang mangamalkan kehidupan berpoligami.

Saya telah banyak menyaksikan peperangan perasaan yang berlaku kepada isteri-isteri yang dimadukan. Dan saya juga pernah menyaksikan kebahagiaan dan ketenangan hati milik seorang isteri yang suaminya berpoligami. Secara realiti yang sebenar dia berada di dalam ketenangan dan kata-katanya begitu menusuk sukma setiap wanita bergelar isteri.

"Suami kita ujian buat kita, Allah  berikan ujian itu supaya kita lebih hampir kepadaNya".Itulah antara kata-kata isteri yang mithali, solehah yang redha menerima ketetapan Ilahi suaminya berpoligami. Kental hatinya dan betapa dia sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup berpoligami.

Selusurilah sejarah dan kisah para isteri-isteri nabi dan para sahabiah, bagaimana mereka mengharungi kehidupan dalam penuh kezuhudan dan membuat pengorbanan yang tidak sedikit untuk agama Allah ini.

Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah setiap jiwa adalah pendakwah, menyeru yang ma'ruf mencegah yang mungkar. Setiap kita akan diuji dengan setiap bisikan-bisikan duniawi dan bisikan was-was dari musuh yang tidak kita sedari iaitu syaitan. Oleh itu berhati-hati dalam setiap tuturkata dan perbuatan.

Luangkan masa yang ada untuk berfikir ke arah yang lebih positif dan membawa kebaikan kepada diri, keluarga,  masyarakat dan yang lebih utama ialah agama. Banyaklah bercakap tentang kebesaran Allah dan masukkanlah keagunganNya terus ke dalam hati, buangkanlah kebesaran makhluk jika telah merajai hati-hati kita. Sama-sama muhasabah.....

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق