Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

25‏/11‏/2010

Kusahut PanggilanMu-Bahagian 2

Setelah menempuh perjalanan selama sehari semalam dan beberapa kali berhenti untuk menunaikan solat serta mengisi keperluan harian jemaah seperti makan dan sebagainya, akhirnya pada malam hari berikutnya kami tiba di bumi Madinah. Tarikh kami bertolak dari pekan Mafraq ialah 8 haribulan November dan malam 9 haribulan, kami tepat tiba ke destinasi pertama iaitu Madinah. Kesyukuran tidak terhingga kepada Allah swt kerana perjalanan kami dipermudahkan dan lancar tanpa mengalami sebarang kesulitan.Tempat penginapan kami juga berhampiran dengan Masjid Nabawi. Aku menginap di dalam bilik hotel penginapan dengan tiga orang teman jemaah wanita, seorang kawan yang belajar di Universiti  Alilbayt dan dua lagi teman bangsa arab. 

Keesokan paginya sebelum azan subuh berkumandang dari masjid nabawi, aku sudah bangun dan mensucikan diri, menyarung telekung dan menuju ke masjid nabawi bersama suami dan jemaah yang lain. Tidak putus-putus aku mengucapkan zikrullah, pujian dan selawat ke atas Nabi  Muhammad saw. Aku sempat menyempurnakan solat tahiyyatul masjid, solat tahajud dan taubat sebelum muazzin mengumandangkan azan tanda masuknya waktu subuh. Airmata keinsafan dan kesedihan mengalir laju tidak mampu kutahan lagi. Aku sesungguhnya sangat terharu dan bersyukur kerana doaku semasa menunaikan ibadah umrah beberapa bulan yang lalu telah dimakbulkan Allah. Hajat dan impianku untuk datang lagi mengunjungi dan menziarahi Rasulullah saw dan beribadah berhampiran rumah baginda saw telah Allah kabulkan. Begitu juga harapanku untuk menjadi tetamu Allah dan menyempurnakan rukun islam kelima juga hampir terlaksana.

Aku berulangkali sujud syukur di atas anugerah Allah yang tidak mampu kubayar ini. Aku juga berdoa semoga impianku untuk memasuki maqam Rasulullah dan berdoa di raudhah juga dimakbulkan. Jemaah yang akan menjadi tetamu agung Allah musim haji ini begitu ramai sekali. Masjid nabawi sentiasa penuh setiap waktu dan ketika walaupun bukan masa solat, jemaah lelaki dan wanita sampai melimpahi kawasan luar dan halaman  masjid. Masya-Allah ramainya hambaMu ya Allah, ramainya umatmu ya Rasulullah, bisikku sendirian.

Alhamdulillah walaupun menempuh perjalanan panjang tetapi aku diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid nabawi, cuma hari kedua aku diuji dengan sakit kepala yang bersangatan kerana perubahan cuaca. Di Jordan musim sejuk telah bermula namun di Madinah pula musim panas dan suhunya agak tinggi. Perbezaan cuaca di kedua tempat ini menyebabkan aku mengalami kejutan  namun tidak sampai terlantar demam berpanjangan. Hanya sewaktu magrib hari kedua aku tertinggal untuk solat di masjid nabawi kerana mengalami sakit kepala. Aku mengambil keputusan tidak mahu mengambil ubat yang sentiasa kuambil bila ditimpa maigrain. Sebaliknya aku minum air zamzam dan berdoa semoga segala penyakit yang kualami disembuhkan oleh Allah dan aku dapat mengabdikan diri kepadaNya selama aku berada di bumi Madinah dan Makkah nanti.

Waktu pagi  selepas selesai solat subuh adalah telah ditetapkan kepada jemaah wanita untuk menziarah makam  Rasulullah dan sahabat rapat baginda iaitu Abu Bakar al-Siddik dan Umar al-Khattab, di samping itu juga berpeluang berdoa di raudhah iaitu tempat yang terkenal sebagai mustajab doa. Raudhah terletak berhampiran dengan makam nabi Muhammad. Jemaah wanita yang mencecah  jumlah ribuan orang dari awal lagi berkumpul secara berkumpulan untuk menziarahi makam Rasulullah ini. Aku mengambil keputusan untuk turut serta walaupun terpaksa menunggu dalam masa yang agak lama.

Ibadah haji mengajar manusia tentang erti sebuah kesabaran kerana ia hanya sekali difardukan seumur hidup. Perlu bersabar menghadapi pelbagai sifat dan kelakuan umat manusia yang datang dari pelbagai negara seluruh dunia. Oleh itu diri dan jiwa perlu dididik supaya bersabar menghadapi segala ujian dan dugaan yang berlaku dan bakal berlaku. Bila mengingatkan semua ini aku cuba belajar bersabar dengan sikap-sikap hamba Allah yang kadang-kadang Allah datangkan kepadaku untuk menguji kesabaranku.

Aku menyedari dari awal lagi Allah banyak mengujiku semenjak perjalanan dan memasuki Madinah dengan sifat manusia yang pelbagai ragam. Di tolak, diasak, dikasari dengan perkataan dan sukar untuk diceritakan telah terjadi padaku. Kuyakin Allah  hendak mengujiku kerana ingin mengangkat kedudukanku. Itulah peganganku selama aku berada di bumi Madinah dan Makkah, akanku kekalkan sifat ini sehingga kumenghembuskan nafas terakhirku. Alhamdulillah aku masih diberi kesabaran menghadapinya dan mengambil sikap berdiam diri dan memerhati serta mengambil pengajaran di atas segala yang terjadi terhadapku. Aku sentiasa membasahi lidah dengan alunan ayat al-Qur'an dan zikrullah di samping selawat terhadap kekasih Allah.

Setelah hampir dua jam menunggu akhirnya jemaah yang kusertai dapat memasuki makam Rasulullah walaupun tidak sampai betul-betul ke sisi makam kerana di sana telah berkumpul jemaah dari pelbagai negara. Kedengaran jeritan dan tangisan jemaah wanita yang tidak mampu menahan diri tanda kerinduan dan kecintaan kepada junjugan tercinta Rasulullah saw. Di sini semua jemaah wanita dari pelosok dunia berkumpul dan ada antaranya  golongan Syiah yang berfahaman melampau yang mengambil masa agak lama berada di kawasan makam Rasulullah sambil merintih dan berteriak, mereka juga berlama-lama berkumpul di raudhah yang sempit itu.

Aku hanya berdiri dan tetap tenang memberi salam kepada Rasulullah dan tidak lupa juga menyampaikan salam yang dikirim kepada Rasulullah dari ibuayahku, ibu mertua, abang dan teman-temanku.
Airmata menitis lagi saat kumengucapkan salam kepada Rasulullah, tidak tergambar dengan kata-kata betapa aku menjadi terharu, pilu, rindu dan gembira kerana merasakan Rasulullah begitu dekat denganku dan seolah-olah aku seperti melihat Rasulullah sedang tersenyum menjawab salamku serta salam jemaah wanita lain. Di situ juga kumemberi salam kepada saidina Abu Bakar dan saidina Umar ra.

Belum kusempat memasuki raudhah yang bersebelahan makam Rasulullah dibelakangku ratusan jemaah yang tidak sabar menunggu giliran telah berasak-asak dan menghimpit. Aku yang pernah mengalami gangguan pernafasan dan sesak nafas merasakan memang tidak mampu berada dalam keadaan kesesakan melampau itu cepat-cepat keluar dari suasana yang tidak diingini. Prinsipku tidak ingin menyakiti dan menghimpit atau mengasak orang lain dan memberi peluang dan ruang  kepada jemaah lain untuk memberi salam kepada Rasulullah.

Aku hanya mampu berdoa tanpa berpeluang masuk ke Raudhah yang telah dibanjiri ratusan malah ribuan jemaah itu. Hanya airmata kerinduan dan sujud kesyukuran kupersembahkan di sebelah ruang raudhah yang sempit itu semoga Aku, suami, anak-anak, kaum keluarga, sahabat handai serta umat Muhammad di seluruh dunia akan mendapat syafaat Rasulullah pada hari yang tidak berguna segala harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang kepada Allah dalam keadaan hati yang suci bersih.

Tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata aku keluar dari kawasan makam nabi dengan hati yang sangat pilu, sedih, terharu, rindu, gembira dan pelbagai perasaan bercampur baur. Aku menemui suami yang sentiasa sabar menungguku dalam masa yang agak lama selama kumengunjungi makam Rasulullah tersebut. Suami memujukku setelah aku memberitahu bahawa aku tidak sempat masuk tepat ke kawasan raudhah disebabkan lautan jemaah begitu ramai sekali. "Biarlah sayang...Allah Maha Mendengar segala doa hambaNya dan Rasulullah saw juga sudah dengar salam sayang...berdoa di Raudhah sunat...kita tidak perlu menyakiti orang lain disebabkan pahala sunat, kalau berpeluang boleh masuk tapi sekarang musim haji orang sentiasa ramai". Hatiku menjadi tenang dan tidak sampai terkilan berpanjangan bila mendengar nasihat dan pujukan suamiku itu.

Aku yakin Allah sentiasa ada dekat denganku dan mendengar segala rintihan taubat dan doaku. Aku juga yakin Rasulullah walaupun telah wafat tetapi ruhnya sentiasa ada di sekeliling masjid nabawi kerana di dalam masjid itulah rumahnya dan makamnya. Rasulullah sangat menyintai dan mengasihi umatnya. Airmata mengalir lagi ke pipiku bila mengenangkan bagaimana perjuangan dan pengorbanan Rasulullah terhadap umatnya yang tercinta. Aku menjadi terlalu sensitif dan tanpa dipinta airjernih sentiasa bergenang di kelopak mata selama aku menjejak kaki di tempat yang pernah dijejaki oleh Rasulullah dan para sahabat ra ini.

Suami mengajakku ke restoren berdekatan dengan masjid dan kami makan bersama. Dia juga membawaku berjalan di  gerai-gerai jualan yang berderetan di sepanjang jalan termasuk juga di bawah lobi hotel. Aku membeli tamar nabi sebagai buahtangan kepada jiran-jiran nanti dan tidak lupa membeli barang permainan kepada anak-anak. Penduduk asal Madinah memang ramahtamah dan baik pekertinya. Penjual juga boleh berbahasa melayu walaupun penguasaannya dalam jumlah yang kecil. Aku tersenyum sendiri apabila suami bertanya harga barangan mereka menjawab dalam bahasa melayu. Inilah kesatuan ummah dan musim haji telah menyatukan hati serta bahasa dari pelbagai bangsa.

Bersambung....


ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق