Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

01‏/11‏/2010

BINGKISAN CERPEN-Pasrahku Atas KetentuanMu

Pasrahku atas ketentuanMu-Bahagian 1

Ika masih menapak perlahan-lahan di atas jalan yang agak lecak. Selipar sandal yang dipakainya sedikit berbunyi apabila terpijak  tanah berair, jalan untuk masuk ke kampungnya masih tidak bertar sepenuhnya.
Dia melihat ke kiri kanan jalan yang berderetan dengan rumah kediaman orang kampung. Terasa tenang menyapa hatinya apabila berpeluang untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama ibu dan ayahnya yang sudah tua. Dialah yang diharap oleh abang dan kakaknya untuk selalu pulang dan menemani ibu dan ayahnya yang sudah uzur, ini kerana yang lain semuanya sibuk dengan tugasan dan kerja yang tidak habis-habis. Ika berfikir sendiri, dia juga sibuk tetapi mungkin disebabkan belum bersuami, adik beradiknya seperti menyerahkan urusan untuk mengambil tahu tentang kedua orang tuanya   kepada gadis berusia itu.

Dia melalui sekumpulan suri rumah, juga jiran sekampungnya yang sedang bercakap-cakap sambil menunggu jualan ikan dan sayuran dari van bergerak. "Assalamualaikum". Spontan kalimah ikhlas itu keluar dari bibirnya yang agak pucat tanpa secalit gincu. Mereka berpaling melihatnya dan memberi senyuman, hanya terdesis perlahan jawapan salam dari seorang makcik yang menjadi kawan rapat ibunya, kaum ibu yang lain hanya diam dan sekadar memerhati dirinya dari atas ke bawah sehingga dia diserapi rasa malu dan tidak selesa berlama-lama di situ. "Ika baru sampai ke?, jauhnya berjalan, kenapa tak terus ambil keretasewa?tentu boleh hantar sampai ke rumah?. Makcik Munah menegurnya ramah. "tak jauh Makcik, lagipun elok juga jalan kaki  sambil ambil udara segar kat kampung ni... saya balik dulu ye makcik".Makcik Munah mengangguk. Ika memberi senyuman manis dan melihat sekali pandang kepada ibu-ibu yang hanya diam dari tadi memerhatinya.

 Apabila dia melangkah beberapa langkah ke hadapan terdengar bisikan yang masih jelas ditelinganya. "Orangnya cantik tapi kenapa sampai sekarang belum kahwin lagi ye?". Terdetik di hatinya tentu soalan itu ditujukan untuk dirinya. Ah biarlah....itulah yang selalu dibisikkan pada dirinya sendiri apabila dia terdengar atau ada orang-orang yang bertanya tentang dirinya yang belum lagi berumahtangga.

Ika tahu, semua kawan-kawan yang sekelas dengannya semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah serta di universiti semuanya sudah mempunyai anak-anak yang ramai. Dia percaya jodoh telah ditentukan oleh Allah sejak sebelum dia dilahirkan ke dunia. sebagai hambaNya dia hanya mampu berdoa agar dikurniakan pasangan juga suatu hari nanti.

Tanpa disedari kakinya sudah sampai di halaman rumahnya yang sederhana itu. "Ibu".Ika bersuara sambil tangannya mengetuk pintu rumah."Ya ..siapa tu?. Terdengar bunyi kaki melangkah ke pintu dan daun pintu dikuak. "Oh Ika". Ibunya yang kepalanya bersanggul dan rambutnya ditumbuhi uban tersenyum gembira melihat anak bongsu kesayangannya. Ika terus melepaskan pelukan dan mencium tangan dan pipi ibunya.
"Ayah di mana Ibu?" Ibu yang tergenang airmatanya kerana terlalu suka dengan kepulangannya memberitahu ayahnya pergi ke rumah jiran yang mengadakan doa selamat.

Ika menghabiskan cutinya selama tiga hari di kampung. Selama bersama ibunya banyak yang menjadi bahan bualan mereka. Pada satu pagi ibunya membangkitkan tentang dirinya yang masih keseorangan. "Ika, Ibu nak tanya ni...Ika belum ada sesiapa lagi ke?. Ika tersenyum melihat wajah ibu yang berkerut dan hairan dengan sikapnya. Dia hanya diam dan masih menunggu buah butir dari mulut ibunya. "Ibu dan ayah dah tua Ika, abang dan kakak kamu semuanya sudah ada keluarga, mati datang bila-bila masa saja...ibu nak melihat kamu ada orang yang jaga sebelum ibu ayah tiada". Ada butiran jernih bertakung di kelopak mata ibu. Ika diresapi perasaan sayu dan sedih apabila mengenangkan kasih sayang ibunya dan sikapnya yang sentiasa mengambil berat tentang anak bongsunya.

Malam itu Ika tidak boleh melelapkan matanya memikirkan permintaan ibunya supaya dia menamatkan zaman gadisnya dengan segera. Dia bukan bimbang atau risau tentang dirinya yang masih tidak mempunyai calon suami, dia tidak hairan atau berkecil hati jika ada orang mengata dia anak dara tua, gadis tidak laku atau jual mahal, yang dia fikirkan ialah kehendak ibu ayahnya yang ingin melihat hidup dia bahagia seperti orang lain, ada suami, ada anak dan ada rumahtangga. Ika bangun dari katil dan menapak ke cermin almari solek di dalam bilik itu, dia menguak rambutnya yang panjang setakat bahu ke belakang, wajahnya yang bujur dan berkulit kuning langsat memang memiliki kesempurnaan dan tiada cacat celanya. Semua orang yang melihat akan mengatakan dia gadis beruntung kerana memiliki wajah yang cantik, berpendidikan tinggi dan berkerjaya tetap. Namun orang tidak tahu perasaannya yang selama ini hanya dipendam sahaja tanpa diketahui oleh orang lain termasuk ibu ayahnya sendiri.

Terasa cepatnya masa beredar, fikir Ika. Dia telah bersiap, berbaju kurung dan bertudung labuh hingga ke bawah paras dada, duduk atas kerusi  di ruang tamu menunggu kereta sewa jirannya untuk menghantarnya ke perhentian bas. Ika menyalami tangan ibu dan memeluknya erat."Ika ingat apa yang mak cakap semalam ya". Terpacul kata-kata itu dari mulut ibunya. Ika hanya mengangguk sambil tersenyum.

Itulah sikapnya yang tidak pernah berubah yang diwarisi sejak masih kecil, apabila ibunya bercakap dia banyak mengangguk dan senyum."Jangan senyum-senyum saja, kena usaha juga, kalau ada orang yang baik dan suka kat Ika jangan terus tolak ye...". Ibu masih melontarkan nasihat yang sama juga seperti semalam. Ika mengangguk lagi. ayahnya yang hanya memerhati perbualan kedua beranak itu mengangguk. "Ika, jaga diri dan jaga solat" Itulah pesanan ayah selaku ketua keluarga. Dari dulu kata-kata itulah yang dipesan dan dititip sebelum dia melangkah meninggalkan rumah dan keluarganya."Insyallah Ayah".

"Ika ingat akhir bulan ni nak ambil kereta yang baru ditempah. Mungkin awal bulan depan Ika pulang lagi...boleh Ibu dan ayah ikut Ika ke Kota ye?". Ika cuba menghidupkan suasana yang boleh membahagiakan hati ibu dan ayahnya. Dia tidak mahu orang tuanya menghantarnya dalam keadaan sedih. Ibunya tersenyum dan berpaling memandang wajah tua si ayah. Mereka menangguk tanda setuju dengan pelawaan anak bongsu yang sangat bersopan dan tidak pernah membantah cakap ibu dan ayahnya."Ika berani ke memandu seorang diri balik kampung?. Tanya ayah, diwajahnya ada riak kebimbangan. Ika hanya senyum. "Insyallah Ayah...doakan Ika ye ayah... ibu". Pakcik samad sudah muncul dengan kereta sewanya.Mereka bersalaman dan Ika dengan rasa sayu melihat wajah kedua orang tua kesayangannya. "Ika pergi dulu Ibu Ayah".

Kereta sewa itu meninggalkan perkarangan rumahnya. Sepanjang perjalanan di atas bas Ika banyak mengelamun tentang keadaan dirinya, permintaan ibunya yang dirasakan sangat berharap agar dirinya segera memiliki calon suami. Dia berfikir lagi, selama ini bukan tiada  lelaki yang cuba menghampiri dan berminat mengenalinya tetapi dia terlalu berhati-hati dalam membuat pilihan. Ada antaranya yang memang mempunyai ciri-ciri yang dia suka tetapi mungkin tiada jodoh, lelaki itu berkahwin dengan gadis lain.

 
Bersambung

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق