Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

27‏/12‏/2010

Alhamdulillah-Segala Pujian Hanya UntukMu Ya Allah. (Bhg. 2)


Kita tidak boleh berputus asa daripada rahmat Allah. Kadang-kadang hajat atau keinginan kita tidak dikabulkan oleh Allah walaupun telah berpuluh kali malah beratus kali kita telah menadah tangan siang malam berdoa agar hajat yang kita inginkan tercapai. Sebagai hambaNya kita disarankan bersabar dan tidak menyalahkan takdir atau berputus asa menerima ketetapan Allah sejak azali. Tersirat segala rahmat dan hikmah yang tidak diketahui di atas perkara atau peristiwa serta ujian yang berlaku kepada diri insan itu.
Sebagai orang mukmin kita perlu menyakini qada' dan qadar yang telah dan akan berlaku kepada diri. Penyesalan dan sikap berputus asa dengan takdir dan rahmat pemberian Allah tidak boleh ada dan tidak boleh  boleh wujud dalam diri orang beriman.   Allah telah menjanjikan orang yang engkar atau menyombongkan diri akan berada dalam keadaan hina di mata Allah dan bakal menerima azab di akhirat.
Ingatlah firmanNya dalam al-Qur'an sebagai peringatan dan motivasi diri agar kita tidak tergolong di kalangan manusia yang sombong atau bongkak.
“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al-Mu’minun : 60)
Tentu akan terdetik di hati atau kita akan tertanya-tanya mengapa  hajat yang kita impikan di dalam kehidupan tidak pernah tercapai dan tidak dapat kita miliki walaupun sudah berkali-kali kita memohon hajat dan doa kepada Allah.  Orang yang beriman dan beramal soleh akan sentiasa meluangkan  masa dengan Allah  dan bermunajat kepadaNya bersendirian lalu bermuhasabah apakah kesilapan atau kesalahan yang telah dilakukan terhadap Pencipta atau terhadap manusia. 
Mereka menghabiskan sisa waktu dengan mengingati Allah dan mengabdikan seluruh jiwa raga kepadaNya semata-mata. Sebagaimana wujudnya ahli sufi atau 'ahl suffah' pada zaman Rasulullah yang masanya banyak dihabiskan  di masjid sehingga Rasulullah pun tidak ketinggalan mengikuti majlis zikrullah yang mereka  adakan itu. Ahli sufi yang mai'yyatullah sebenarnya sentiasa wujud daripada zaman Rasulullah sehinggalah berlakunya kiamat.Mereka tidak pernah mengisytiharkan bahawa diri mereka adalah ahl sufi, sebaliknya orang yang melihat cara hidup mereka yang zuhud dengan kehidupan dunia menggelarkan mereka dengan panggilan ahl suffah. Golongan ini mengambil berat tentang penjagaan hati iaitu anggota yang sangat penting dalam menghubungkan manusia dengan Allah swt.
Seorang ahli sufi iaitu Ibrahim ibn Idham telah ditanya tentang doa yang tidak dikabulkan oleh Alah.
Lantas Ibrahim ibn Idham pun menjawab, “Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah mati.”
Lalu ditanyakan lagi, “Apa yang boleh mematikan hati?”.
Beliau menjawab, “Ada beberapa perkara, diantaranya:
1- Kamu mengetahui hak Allah, tapi kamu tetap tidak menunaikan hakNya itu.
2- Kamu membaca Al-Qur’an tetapi kamu tidak mengamalkan hukum-Nya.

3- Kamu mengatakan cinta Rasulullah tetapi kamu tidak mengamalkan sunnahnya. 

4- Kamu mengatakan takut mati tetapi masih tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi mati. 

5- Kamu mengakui bahawa syaitan itu musuh, tetapi kamu ikut perangai syaitan. 

6- Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka, tapi kamu sendiri yang melemparkan dirimu ke dalamnya.

7- Kamu ingin memasuki Syurga, tapi kamu masih tidak melakukan amal soleh. 
8- Kamu sibuk memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain, sedangkan keburukan dan kesalahan diri sendiri tidak pernah kamu hiraukan.
9- Kamu mendapat pelbagai kenikmatan yang diberikan Allah swt, tetapi kamu tidak pernah bersyukur dengan mematuhi segala perintah Allah.

10- Kamu menguburkan jenazah orang lain, tapi tidak menginsafi diri kamu sendiri bahawa kelak kamu juga akan dikuburkan. 
Itulah antara punca atau penyebab doa tidak dikabulkan oleh Allah. Jika telah diketahui puncanya mudahlah bagi diri insan membuat muhasabah atau koreksi kelemahan diri dan memperbaikinya. Seumpama penyakit yang akan mudah dicari penawar ubatnya jika diketahui punca  atau nama penyakit tersebut.
Bersambung

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق