
Musim sejuk yang semakin sampai ke tahap tinggi suhunya hingga ke 3-0 darjah celcius. Keadaan cuaca yang terlampau sejuk memberi peluang untuk kami sekeluarga menunaikan solat berjemaah dengan berimamkan suamiku. Usai menunaikan solat isya' berjemaah suami berdoa dalam bahasa arab dan menyelitkan juga dengan bahasa melayu agar anak-anaknya yang menjadi makmum memahami maksud doa itu. Kami mengaminkan bacaan doa dengan perlahan.
Selesai berdoa suamiku menghulurkan tangan bersalam dengan anak-anak kami, mereka bergilir-gilir bersalam sambil mencium tangan baba dan mama mereka. Selalunya kami solat sunat ba'diah dahulu kemudian barulah kami suami isteri bersalaman. Aku mengucup tangan suami dan tidak pernah lupa memohon kemaafan darinya.
Apabila anak sulung kami melihat cara kami bersalam terus dia bertanya, "Baba sayang mama ke?". Suamiku menjawab "Tentulah sayang...mama kan isteri baba". Aku hanya tersenyum mendengar jawapan suamiku. Talhah seperti cemburu melihat kemesraan kami lalu dia tidak mahu mengalah "Talhah pun sayang Mama".Katanya sambil memelukku .
"Talhah sayang mama sorang je ke?". Giliran aku pula bertanya anak sulungku. "Talhah pun sayang Baba". Adik-adiknya yang lain apabila melihat abang sulung mereka asyik memeluk baba dan mamanya terus berlari dan berebut-rebut memeluk kami.
"Adik sayang Mama". Itu pula kata-kata dari Ammar, anak lelaki kami yang ke tiga yang suka mencium mamanya dan seringkali mengucap kalimah 'sayang' padaku. Si bongsu Muzzammil pula terus duduk atas ribaanku dan menolak abang Ammarnya.
Si kakak pula satu-satunya anak perempuan yang memang tidak boleh nampak abang atau adiknya yang lain memeluk atau mencium baba dan mamanya terus sahaja menangis tanda cemburu dan tidak mahu mengalah. "Baba Mama tak sayang kakak". Itulah kata-katanya apabila merajuk. "Kenape kakak ni...jealous kat abang dan adik la tu...Mama baba sayang kakak juga".Babanya yang perlu memujuk kalau kakak menangis.
Terharu aku dan suami melihat keletah dan perangai anak-anak kami. Mereka semuanya anak yang bijak namun sedikit manja lebih-lebih lagi sejak aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku dan suami tidak memanjakan mereka secara berlebihan, jika mereka melakukan kesalahan seperti liat dan melengah-lengahkan solat dan liat menghafaz al-Qur'an, kami tidak teragak-agak untuk menghukum sebagai satu ajaran dan didikan.
Disebabkan aku sentiasa dengan mereka di rumah, aku yang lebih mendominasi dalam mendisiplinkan mereka dan mengajar mereka membaca al-Qur'an dan pelajaran. Walaubagaimanapun sebagai ketua keluarga suami sentiasa memantau dan melatih anak sulungku dalam hafazan al-Qur'an pada waktu malam.
Selepas solat isya' adalah waktu untuk kami sekeluarga berada di dalam halaqah ilmu atau majlis ilmu selama setengah jam. Kami akan bergilir-gilir membacakan hadith-hadith nabi dan kisah-kisah para sahabat . Anak sulung kami Talhah juga dilatih untuk membacakan ayat-ayat Al-Qur'an dan hadith nabi, kami melatihnya supaya dia dan adik-adiknya akan terbiasa dalam suasana ilmu agama dan menjadikan majlis ilmu sebagai sebahagian dalam hidupnya suatu masa nanti. Semoga segala yang didengari akan menjadi amalan dan sebagai muhasabah serta asbab dakwah kepada ummah apabila mereka besar nanti.
Semoga cara didikan kami akan memberi kesan yang baik buat pertumbuhan dan pembesaran mereka dalam iman dan Islam.Insyallah....
Bersambung
ليست هناك تعليقات:
إرسال تعليق