Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

12‏/12‏/2010

Alhamdulilah ....Segala Pujian Hanya UntukMu Ya Allah.....

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanyalah untuk Allah pencipta dan pemilik semesta alam. Yang memberi rezeki, menurunkan hujan, mengurniakan pelbagai nikmat kepada seluruh makhlukNya. Allah tidak pernah meminta balasan  setiap yang diberikan kepada hambaNya, semuanya diberikan percuma dan manusia bebas menggunakan nikmat anugerahNya. Walaubagaimanapun insan tidak boleh mengkufuri nikmatNya kerana sesiapa yang mengkufuri nikmat Allah akan disediakan balasan azab di akhirat kelak.

Banyaknya  nikmat yang telah dianugerahkan Allah dalam kehidupan ini. Perhati dan renunglah kepada diri sendiri. Bagaimana indahnya diri manusia diciptakan dan begitu unik sekali penciptaannya. Dengan anugerah pancaindera mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan, jantung serta alat kelamin yang menyempurnakan kehidupan insani, ini  menunjukkan bukti nikmat anugerahNya yang tidak mampu dibayar oleh makhlukNya.

Nikmat yang paling bermakna dan berharga ialah nikmat iman dan Islam yang tidak boleh dijual beli. Bersyukurlah  kepadaNya kerana Allah sentiasa memberi hidayah petunjukNya disaat kita terlalai atau terlupa. Di saat kita dilanda dukacita atau musibah, Allah sentiasa berada di sisi kita mendengar segala rintihan doa.

Ketika kita diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan hidup, Allah sentiasa berada berhampiran dengan kita dan mendengar segala hajat permintaan hambaNya. Cuma mata hati kita yang buta dan diselaputi titik hitam dosa tidak menyedari bahawa Dia (Allah) sentiasa berada berhampiran dengan hamba-hambaNya.

Justeru jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur dan mengingati Allah samada ketika kita berada dalam kemewahan, kesenangan dan kebahagiaan. Janganlah jadi hamba yang tidak bersyukur,  iaitu mereka yang apabila dilanda kesusahan atau musibah barulah ingat kepada Allah, barulah hendak menyesal atau bertaubat, sebaliknya semasa berada dalam kesenangan  lupa dan engkar suruhan Allah dan tidak mengikut perintahNya. 

Ingatlah firmanNya:"Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahkan nikmatku kepada kamu, jika kamu kufur sesungguhnya azabku sangat pedih".

Bersyukur kepada Allah tidak merugikan sedikitpun diri manusia,malah membawa keuntungan dan kebahagiaan  samada di dunia atau kehidupan yang kekal di akhirat. Syukur kepadaNya perlu dibuktikan dengan amalan dan pengabdian sepenuh hati, khusyuk tawadhuk serta ikhlas kerana Allah semata-mata. 

Apa yang dihajati dan diimpikan insan banyak yang telah Allah kurniakan dalam hidupnya. Terdetik dihati hendakkan kenderaan cantik, diberikan olehNya, teringin hendak mengahwini teruna kacak atau gadis cantik Allah telah kabulkan hajatnya, tergerak di hati kerja yang baik dan naik pangkat juga telah dianugerahkan Allah. Apa sahaja yang dihajati insan mudah sahaja bagi Allah memberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Masyallah..."Alhamdulillahi Rabbil'alamin"

Bersambung....


ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق