Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

11‏/12‏/2010

Jangan Jemu Ucap Kalimah 'Sayang' (2)

Semua orang impikan kebahagiaan dan kegembiraan di dalam kehidupan berkeluarga. Justeru janganlah mengharapkan orang lain yang memulakan atau melahirkan perasaan sayang atau cinta terhadap diri kita, sebaliknya kita yang perlu memulakan atau mempraktikkannya. Perasaan sayang atau cinta bukan sekadar dengan kata-kata atau hanya dibibir namun diiringi dengan perbuatan sebagai tanda menghargai kasihsayang yang diberi.

Kata-kata 'sayang' begitu sedap didengar diteliga apabila ada seseorang memanggil kita, pasti meresap perasaan bahagia bila ungkapan itu lahirnya dari orang yang kita kasihi. Ucapan sayang melembutkan hati yang mungkin dilanda perasaan marah atau tidak puas hati terhadap pasangan. Kata-kata 'sayang' sebenarnya perlu dilafazkan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Tiada gunanya kata-kata itu jika telah menyakiti atau menzalimi pihak yang lain.

Semakin lama usia sesebuah perkahwinan tidak mustahil semakin hambar sesuatu perhubungan antara suami isteri. Tidak sedikit yang dilanda perasaan bosan dan jemu dengan pasangan. Semakin lama hidup bersama semakin timbul sikap dan perlakuan sebenar pasangan. Pada masa itu mulalah timbul perasaan tidak puas hati dan saling menyalahkan. Si suami pula mengambil jalan mudah dengan cara keluar dari rumah dan mencari cinta yang lain. Si isteri pula menjeruk perasaan dan enggan lagi melayan suami.

Hikmah sesebuah perkahwinan adalah untuk menyempurnakan dan saling melengkapi. Setiap insan diciptakan tidak sempurna. Manusia tidak maksum atau terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Setiap manusia ada kekurangan dan keaibannya. Tujuan lelaki dan wanita hidup sebumbung selain untuk menghalalkan sebuah perhubungan adalah bermatlamatkan melahirkan zuriat keturunan umat Muhammad saw. Matlamat utama ialah membina keluarga bahagia dan zuriat solehah yang bakal menjadi khalifah bagi memakmurkan bumi Allah dan menegakkan agamaNya.

Tanggungjawab dan amanah yang dipikul adalah berat terutama di pihak kaum lelaki yang bergelar bapa dan suami.  Anak-anak adalah amanah yang perlu dididik dan dijaga mengikut acuan Islam dan iman. Amanah Allah ini tidak akan sempurna pendidikan akhlak dan peribadinya sekiranya membesar dalam keluarga yang pincang dan tidak harmoni.

Justeru itu, bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga dan yang sudah melepasi ulangtahun perkahwinan sepuluh tahun hingga ke atas perlu mencari alternatif agar keluarga yang bahagia dan harmoni dapat dikekalkan dan dibajai dengan rahmat dan kasihsayang. Kasih sayang kerana Allah akan mewarnai kehidupan rumahtangga yang berpaksikan ketulusan cinta kepada Allah dan RasulNya, di samping mengamalkan kehidupan beragama bagi menjamin kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ungkapan terima kasih dan ringan tulang membantu apabila pasangan memerlukan pertolongan perlu juga dipraktikkan sentiasa bagi mengekalkan kemesraan dan kasih sayang.

Di sini penulis ingin berkongsi cerita suka duka semasa melahirkan zuriat secara caesarean....

Betapa sakitnya bersalin melalui caesarean (pembedahan). Mujurlah aku sentiasa ditemani suami yang ringan tulang membantu. Setelah aku ditolak ke katil di wad, dialah yang menguruskan bayi kami. Dia juga yang menyuapkan bubur nasi dan minuman ke mulutku. Aku tidak boleh banyak bergerak disebabkan perutku yang luka dibedah. Hampir seminggu aku tidak boleh bergerak, dialah yang memapahku ke bilik air dan menukar pampers. Dialah juga yang menjaga anak-anakku dan memasak untuk mereka semasa aku sakit di wad.

Suami juga yang ke dapur memasakkan sup dan membakar ikan atau ayam untukku. Dia yang menyuapkan ubat penahan sakit. Masa itu baru aku tahu betapa besar pengorbanan dan kasih sayangnya  yang ditunjukkan padaku. Aku sungguh terharu dan sedih apabila mengetahui tidak mampu lagi memberikan zuriat buatnya setelah aku dibedah kali ketiga berturut-turut.

Dialah yang tidak jemu-jemu berusaha memujuk dan menghiburku saat itu sehinggalah aku sembuh sepenuhnya. Dia juga telah mengotakan janjinya membawaku menunaikan rukun Islam ke 5. Sanggup bersusah payah demi isterinya. Akanku abadikan kenangan bersamanya sehingga kumenutup mataku.

Kalimah 'sayang' selalu terungkap dibibirnya buatku. Aku terlalu bahagia dan merasakan hidup ini sangat bermakna di atas cintanya yang tidak pernah pudar terhadapku. Ya Allah ...kekalkanlah kasihsayang dan cinta hamba-hambaMu ini. Rahmatilah hidup kami selama-lamanya...Kurniakanlah keimanan dan ketakwaan kepada kami dan zuriat-zuriat kami...Amin ya Rabb...

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق