Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

31‏/10‏/2010

Kenikmatan Syurga...Siapakah yang layak merasai dan memasukinya?

Bahagian 1:
Nikmat Syurga dan Ahli-ahlinya

Syurga digambarkan sebagai tempat yang indah, cantik, menarik, menenangkan mata yang memandang, menyejukkan pandangan, menghiburkan, semuanya yang sedap didengar dan dipandang. Dunia yang sudah dianggap indah oleh manusia sebenarnya hanya satu sahaja nikmat yang dikecapi jika dibandingkan dengan kenikmatan syurga yang lebih berkali ganda dengan nikmat dunia.Nikmat syurga akan dapat dirasai, disentuh, dimasuki oleh hamba-hamba Allah yang bertakwa, beriman dan mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala tegahanNya.

Di dalam al-Qur'an penuh dengan penceritaan, perkhabaran dan janji-janji Allah tentang syurgaNya yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah: "Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (amat baik).
(Iaitu) syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang  yang soleh dari ibu  bapa mereka, isteri-isteri mereka, dan anak cucu mereka, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat -tempat mereka dari tiap-tiap pintu.
(sambil mengucapkan):"Salamun 'alaikum bima sabartum*. maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.
(Surah Al-Ra'd-a:22-24)*ertinya selamat sejahteralah kamu, diatas kesabaran kamu.

Siapakah ciri-ciri ahli syurga seperti yang tercatat dalam ayat di atas?.Jawapannya:
i-Orang yang sabar
Maksudnya ialah bersabar melakukan sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Allah walaupun sangat susah dan terpaksa melawan keinginan nafsu. Contohnya tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berjudi, minum arak, berzina, membunuh, mengambil harta anak yatim, makan riba, mengumpat dan sebagainya Mereka yang  berusaha sedaya upaya menjauhi maksiat dan larangan Allah untuk mencari keredhaanNya termasuk di kalangan yang sabar. Inilah antara golongan terpilih memasuki syurga 'adn.

ii- Orang yang mendirikan solat
Solat merupakan tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka dia telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah dikira meruntuhkan agamanya .(riwayat Baihaqi dalam Sya'bul -iman).

عن أبى سفيان قال سمعت جابرا يقول سمعت النبى -صلى الله عليه وسلم- يقول « إن بين الرجل وبين الشرك والكفر ترك الصلاة ».
صحيح مسلم [1 /61
Mafhum daripada hadith ini ialah sesungguhnya penyebab syirik dan kufur kepada seseorang adalah dengan meninggalkan solat. Jelaslah bagi yang meninggalkan solat dengan sengaja dan menganggap solat tidak wajib akan menjatuhkannya kepada kekufuran.Golongan yang menjaga solatnya dengan sempurna dari segi syarat dan rukun serta khusyu' telah dijanjikan oleh Allah balasan syurga.

iii-Golongan yang memberi nafkah dan sedekah
Mereka yang memberi sedekah dan membelanjakan hartanya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim serta mereka yang memerlukan pertolongan akan mendapat pahala jika melakukan dengan ikhlas tanpa megharap pujian dan balasan dari manusia. Mereka ini tidak sombong dan kikir dengan harta yang dimiliki sebaliknya menggunakannya untuk kebajikan umat Islam dan meninggikan agama Allah swt.

 Bertepatan juga dengan hadith nabi :
 قَالَ رسول الله - صلى الله عليه وسلم - : (( إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ )) . رواه مسلم .
Maksudnya:"Apabila meninggalnya (mati) anak adam terputus segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya".

iv-Golongan yang menolak kejahatan dengan kebaikan
Maksud berdasarkan Tafsir al-Jalalain karangan Imam Suyuti ialah mereka yang membalas sikap orang jahil yang menyakiti atau berbuat jahat terhadapnya dengan penuh kesabaran dan kelembutan. Apabila menghadapi orang jahil mereka berbicara dengan lemah lembut dan tetap bersabar jika dikasari. Mereka ini dijanjikan syurga oleh Allah di atas sifat mereka yang sentiasa sabar dan berhikmah dalam berkomunikasi dengan orang lain.

Dalam surah al-Mukminun dijelaskan golongan yang berjaya dan bakal mewarisi syurga al-firdaus iaitu:
i-Orang-orang yang beriman
ii-orang-orang yang menjaga solat dan khusyuk dalam solat
iii-orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan)yang tidak berguna
iv-orang-orang yang menjaga kehormatan
v-orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dibawah tanggungjawabnya)
vi-orang yang menunaikan janji
(rujuk surah al-Mukminun ayat 1-11)

Kesimpulannya bagi orang-orang yang beriman dan diringi dengan amalan soleh akan mendapat keredhaan Allah dan dibalas syurga hasil dari kesabaran dan keimanannya yang teguh kepada segala ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah melalui panduan yang ditinggalkan iaitu al-Qur'an sumber hidayah untuk umatnya dan sunnah baginda saw.

Firman Allah :"Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh, bagi mereka adalah syurga firdaus menjadi tempat tinggal.  Mereka kekal di dalamnya dan tidak ingin berpindah daripadanya".
(Surah Al-Kahfi a;107-108)

Keampunan dan rahmat Allah begitu luas dan syurga akan menanti untuk dimasuki oleh golongan yang beriman dan membenarkan segala yang dibawa datang kepada mereka dari sisi Allah dan rasulNya.
Firman Allah:"sesungguhnya orang-orang yang membenarkan  (Allah dan RasulNya) baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaamn yang baik, nescaya akan dilipatgandakan  (pembayarannya) kepada mereka;dan bagi mereka pahala yang banyak".

Untuk mengecapi kenikmatan syurga bukannya mudah tanpa melakukan amalan yang disukai atau diredha oleh Allah. Beriman bukan hanya dengan ucapan syahadah semata-mata atau mengaku beriman hanya dengan lidah (perkataan) tetapi perlu diselaraskan keimanan dengan perbuatan dan amalan serta yakin dengan iktiqad (pegangan) yang kukuh. Pengertian tentang iman: 'iman ialah mengakui dengan lidah, membenarkan di hati dan beramal dengan anggota'. Tidak sah atau sempurna iman seseorang jika masih melakukan perbuatan mungkar dan maksiat atau tidak selari dengan kehendak Al-Qur'an dan hadith.

Firman Allah berkenaan keampunan dan rahmat syurga :"Berlumba-lumbalah kamu kepada mendapatkan keampunan dari Tuhan dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya. Itulah kurnia Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid a;21)

Banyak lagi golongan yang diizinkan oleh Allah untuk memasuki syurgaNya. Insyallah akan diterangkan secara lebih lanjut pada masa akan datang.



ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق