Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

30‏/10‏/2010

BINGKISAN KENANGAN- Dia sahabatku

Masih terbayang-bayang di depan mataku kita berlari dan berkejaran di sebuah bendang tinggal, kita sama-sama membesar di dalam sebuah kampung dan kebetulan menjadi jiran. Usia kita juga sebaya,  cuma satu yang membezakan kita iaitu  status keluarga. Aku dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan adat, keluarga banyak mengawal pergerakanku, dibesarkan dalam suasana sederhana dan tidak boleh meminta lebih sebab ibu bapaku hanyalah petani, lebih-lebih lagi aku mempunyai adik beradik yang ramai. Sedangkan engkau pula anak tunggal, bapamu seorang kontraktor namun hanya jarang-jarang menjenguk keluarga disebabkan tinggal berjauhan di kota, ibumu seorang wanita bekerja dan  tabah membesarkan dirimu keseorangan dengan menabur kemewahan dan mengikut apa sahaja  kemahuanmu.

Aku dan engkau jauh berbeza.....

Kita semakin membesar dan melangkah ke sebuah sekolah agama berhampiran, dan kita sama-sama menjadi gadis sunti, aku masih lagi  dengan sikapku yang pendiam, pemalu dan seperti gadis pingitan. Masaku untuk bermain-main dan bermesra denganmu kurasakan semakin terhad. Apatah lagi aku dapat rasakan kemesraan dan keakraban kita semakin pudar, aku sudah menjadi semakin matang dek kerana didikan ibu yang sentiasa mengajarku supaya banyak berdikari, musim cutiku banyak dihabiskan dengan belajar, mengulangkaji pelajaran dan membantu ibu di bendang. Aku cepat belajar tentang erti kesusahan dan kepayahan kerana sentiasa melihat ibu ayah berhempas pulas mencari rezeki untuk menyekolahkan anak-anak yang ramai.

Perubahan sikapmu semakin ketara....

Sikapmu aku dapat merasakan  semakin hari semakin berubah. walaupun kita sekelas namun kita jarang lagi bercakap seperti semasa kecil. Aku dapat melihat perkembangan dirimu setiap hari.  Kita telah berjaya menduduki peperiksaan penting   iaitu Sijil Rendah Pelajaran (SRP), sekarang sijil tersebut adalah PMR, indahnya saat itu kerana kita telah berjaya dengan cemerlang dan mendapat pangkat atau gred yang sama.

Keputusan yang membanggakan ini menunjukkan engkau juga seorang pelajar yang bijak walaupun di dalam kelas engkau lebih banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan yang sekepala denganmu, berborak dan bercerita tentang dunia artis, majalah hiburan, drama dan filem-filem cinta hindustan, melayu dan sebagainya. Engkau juga suka menyebut tentang lelaki dan kriteria-kriteria yang diminati terhadap mereka. Aku tidak pandai nak masuk campur tentang kisah-kisahmu tersebut disebabkan di rumahku tiada peti televisyen, yang ada hanya radio buruk, sedangkan rumahmu masa itu sudah lengkap dengan TV dan pita video. Satu perkara lagi aku memang tidak suka  sebenarnya apabila engkau  bercerita tentang lelaki tapi aku  tidak tahu bagaimana caranya untuk menegurmu sebab aku tahu engkau jenis yang panas baran. Pernah juga aku menegur  agar engkau dan kawan-kawan lain beri tumpuan kepada pelajaran dan masih muda untuk membicarakan soal cinta serta lelaki. Namun kulihat engkau tidak mengendahkan kata-kataku. Malah engkau seperti tidak lagi menyenangi diri ini dan menjauhkan diri dariku.

Perbezaan sikapmu dan sikapku menjadikan jarak antara kita semakin jauh, disebabkan kesibukan menelaah pelajaran dan menolong ibu menjadikan hubungan kita semakin renggang. Sehinggalah kita sama-sama melangkah ke tingkatan empat. Masa yang paling sibuk kurasakan sampai nak berborak pun tidak ada kesempatan langsung. Ini kerana tahun ini penentu untuk menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama dan menentukan sejauhmana nasib dan peluang kami untuk menyambung pelajaran ke sekolah lain bagi mengambil peperiksaan SPM memandangkan sekolah di kampungku hanya setakat tingkatan 4 sahaja.

Dirimu berubah pendiam....

Memasuki  penggal pertama, lebih kurang 5 bulan belajar, aku melihat semangat engkau untuk belajar semakin menurun dan sikap engkau juga banyak berubah. Kalau di kelas engkau jadi pendiam dan banyak termenung. Ingin kubertanya tapi aku rasakan masanya belum sesuai lagipun aku benar-benar sibuk dengan nota-nota  berbahasa arab. Walaupun begitu aku dapat merasakan  engkau menghadapi masalah, ini kerana sebelum ini engkau terkenal sebagai pelajar yang aktif dan bermulut becok, suka bertelagah dan berperang mulut dengan pelajar lelaki yang menyakatmu.Tiba-tiba kelas menjadi sepi dan tidak lagi ceria disebabkan engkau sudah banyak kali ponteng sekolah.

Berita tragis dan mengejutkanku....

Aku juga merasa hairan dan tertanya-tanya tentang perubahan fizikalmu yang semakin berisi. Namun aku masih mentah untuk mengetahui apa aktiviti yang engkau perbuat semasa di luar sekolah. Aku  sudah tidak sempat untuk mengambil tahu tentang dirimu disebabkan kesibukan menelaah pelajaran. Akupun melihat engkau seperti tidak berminat untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran denganku. Memang sejak dari dahulu lagi aku tahu engkau tidak berminat subjek berbahasa arab.

Pagi itu aku dikejutkan dengan berita yang sungguh tidak kuduga sama sekali. Aku mendengar kawan-kawan bercerita engkau telah hamil di luar nikah. Terasa seperti mahu jatuh mendengar sahabat baik dan sekampung yang pernah sama-sama tidur sebantal di rumahku suatu masa dulu telah melalui pengalaman itu. Selepas peristiwa  itu engkau  tidak lagi datang ke sekolah dan mengambil keputusan berhenti. Dan aku hanya mendengar daripada jiran sekampungku bahawa engkau telah melangsungkan perkahwinan dengan lelaki yang telah beristeri dan mempunyai ramai anak.

 Maafkan aku....

Maafkan aku sahabat, bukannya aku tidak ingin melihatmu atau menziarahi  dirimu yang menjadi mangsa lelaki yang tidak takut dosa, bukan juga aku menyisihkanmu atau jijik padamu tapi engkau telah pergi jauh dari kampung kita. Kesyukuran kupanjatkan kepada Ilahi kerana lelaki yang menghamilkanmu sanggup juga mengambilmu sebagai isterinya yang sah dan engkau telah ditakdirkan hidup berpoligami. Dan yang paling menyebabkan aku berasa terkilan ialah lelaki itu juga jiran yang sekampung dengan kita dan layak dipanggil  'abang'. Rupa-rupanya kalian mengadakan hubungan cinta semasa ibumu sibuk bekerja di luar daerah, itupun  aku dapat tahu daripada jiran-jiran yang bercerita dengan ibuku, aku hanya mencuri-curi dengar  kisah tragismu daripada jauh. Perasaan bimbang dan kasihankan nasibmu menyelinap dalam diri ini. Oh Tuhan mengapa engkau sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu, tahukah engkau  zina adalah dosa yang sangat besar....

Kesimpulannya aku menjadi semakin matang menilai erti sebuah kehidupan dan harga sebuah maruah seorang yang bernama gadis. Walaupun aku baru berusia setahun jagung aku semakin bijak mengharungi kehidupan berdikari dan tahu menjaga diri serta batas-batas pergaulan. Sebab itulah ibuku sangat percayakan anaknya yang satu ini dan dia sanggup menghantarku belajar di sebuah sekolah menengah agama yang agak ternama setelah aku berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SMU. Walaupun di sudut hati ini merasa sangat kehilangan sahabat seperjuangan di bangku persekolahan dan teman sepermainan, aku gagahi juga menerima perpisahan dengan cara begini. Sahabatku....kisah perjalanan hidupmu menjadi sebahagian dari diari hidupku...akan kusambung lagi jika diberi kesempatan dan waktu.....

Bersambung......

ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق