Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

30‏/10‏/2010

Dia suamiku yang kucintai selama-lamanya.....

Sinopsis dari penulis: Aku tidak tahu sebenarnya bagaimana hendak menggambarkan perasaan wanita bergelar isteri yang menyintai suaminya sepenuh hati namun dalam diam-diam suaminya telah mengadakan hubungan cinta dengan gadis lain. Justeru kucoretkan sebuah cerita yang ringkas ini semoga memberi manfaat dan pengajaran.....Kisah benar ini diceritakan sendiri oleh sahabatku di mana dia sanggup korbankan jiwanya yang suci untuk kebahagiaan suaminya.

Bibit-bibit Cinta....

Kita berkenalan di sebuah hospital di tempat aku menjadi jururawat pelatih, engkau pula seorang doktor muda yang bertugas tetap di hospital tersebut. Pertemuan secara tidak sengaja dan hanya kebetulan akhirnya menumbuhkan bibit-bibit cinta dalam diam antara kita berdua. Akhirnya engkau dengan sifat yang serius dan gentlemen memberitahu untuk melamarku. Semasa engkau mengungkapkan kata-kata itu terasa dunia seperti menjadi milikku seorang dan ingin aku memberitahu dunia bahawa akulah gadis yang bertuah kerana menjadi pilihan seorang pemuda yang kacak, memiliki pekerjaan yang membanggakan dan ciri-ciri lelaki yang diidam-idamkan oleh semua gadis ada padamu. Sahabat-sahabatku yang sebelum ini meminatimu hanya mampu mengucapkan tahniah apabila mendengar berita aku akan disunting olehmu.

Saat yang membahagiakan itu tiba juga akhirnya dimana kita disatukan, meriah sekali majlis perkahwinan itu. Indahnya saat semasa engkau memegang tanganku dan mencium sebagai janji menerimaku setulus hati dan cintamu hanya untukku. Masa begitu pantas berlari meninggalkan segala memori indah kita berdua. Kita telah berjaya membina keluarga bahagia. Dengan memiliki empat orang zuriat,  tiga orang putera dan seorang puteri telah melengkapkan lagi kesempurnaan sebuah keluarga kita.

Perpindahan membawa angin perubahan....

Kita telah berpindah ke sebuah daerah yang agak terpencil dari bandar. Engkau suamiku telah pencen awal dari jabatan kerajaan dan bertekad membuka klinik persendirian. Aku pula bertugas di sebuah hospital di pekan tersebut. Kita telah membuat keputusan mencari pengasuh di rumah memandangkan masa yang terhad untuk memantau anak-anak semasa bertugas. Pengurusan di klinik memerlukan ramai tenaga baru kerana semakin hari semakin ramai pesakit dan pelanggan mengunjungi klinik suamiku. Ini kerana suami bukan hanya seorang pakar dalam  bidang perubatan, malah perkhidmatan di klinik yang baik dan bayaran yang lebih berpatutan dengan niat membantu masyarakat yang puratanya terdiri daripada golongan miskin dan sederhana, bagi yang ingin bersalin normal juga berminat memilih klinik kami. Aku pun semakin sibuk membantu suami di klinik selepas habis waktu bekerja di hospital. Bidang yang kuambil adalah bidang sakit puan jadi akulah yang bertugas dan bertanggungjawab membantu jika ada ibu-ibu yang ingin bersalin.

Gadis bernama Liza....

Di klinik itu petugasnya semua wanita, ini kerana wanita yang berminat dan sesuai dengan tugas sebagai jururawat. Hubunganku dengan pekerja suamiku cepat mesra dan rapat. Yang paling rapat dan cukup mesra disebabkan keramahan dan sikap keletahnya ialah Liza. Dia selalu juga bertandang ke rumahku jika ada majlis-majlis keluarga dan doa selamat. Dia sudah kuanggap sebagai adik sendiri. Dia merupakan  gadis  yang berasal dari keluarga  miskin dan susah, sikapnya yang baik, peramah dan ringan tulang membantuku menyebabkan aku lebih menyayanginya jika dibandingkan daripada pekerja suamiku yang lain.

Aku sangka panas hingga ke petang namun rupanya hujan turun juga di tengah hari itu. Suatu malam suamiku pulang awal dari klinik dan terus menemuiku. Aku yang masih tertanya-tanya tidak menyangka akan menerima berita yang bagai halilintar membelah bumi. Kata-katanya bagai menusuk jantungku dan mengeluarkan darah hingga ke seluruh jasad. "Sayang...abang jatuh cinta lagi". Itulah kata-kata yang terpancul dari mulut lelaki yang berjanji sehidup semati denganku, yang berjanji tidak akan mengecewakanku, menjagaku seumur hidupnya dan hingga akhir hayatnya."Maafkan abang sayang...tapi abang tidak boleh mengelak dari cintanya".Aku terkedu tanpa kata-kata, terasa gelap pandangan dan terasa bagai hancurnya hati ini tapi apa dayaku. Hanya airmata menjadi temanku saat itu hinggalah semalaman aku berendam dengan airmata.

Keesokan harinya, aku gagahi juga bangun seperti biasa namun tiada semangat untuk pergi bertugas. Aku mengambil keputusan untuk bercuti kecemasan. Bagaimana aku hendak menemui orang ramai serta rakan-rakan dalam keadaan wajahku yang suram dan mata yang bengkak dek tangisan malam tadi.  Suamiku datang menghampiri dan memeluk diriku namun aku tidak membalasnya seperti kebiasaan. Apalah ertinya cinta yang dilafazkan dan kasihsayang ditunjukkan lagi padaku padahal hatinya telah terbahagi kepada wanita lain yang jauh lebih muda dari diri ini. Aku gagahi juga meluahkan yang terbuku dihati sejak menerima berita tersebut. "Apalagi yang abang mahu...tidak cukupkah cinta dan perhatian Mas terhadap abang selama ini? Dia masih berusaha mengambil hatiku, memaut tangan dan mencium jari-jemariku."Sayang...cinta dan kasihsayang abang tidak sekelumitpun berubah terhadap sayang...selama ini sayang sudah banyak berkorban untuk abang dan kebahagiaan keluarga kita...abang terlalu menghargai sayang cuma ...abang kasihankan dia dan tidak sanggup mengecewakan hatinya".

Airmata mencurah-curah turun tanpa dapat aku tahan lagi...betapa pilu dan terhiris hatiku mnedengar pengakuan suami. Aku bertanya pada diri, sanggupkah aku berpisah dengan suamiku sekiranya dia memilih wanita itu sebagai isterinya yang kedua? Aku boleh berdikari, segala-galanya kumiliki saat ini, rumah besar bagai istana telah dihadiahkan suami kepadaku, kereta mahal menjadi milikku, apalagi yang kuinginkan dalam hidup?aku hanya inginkan suami tercinta sentiasa disisiku, bersama-sama berjuang dan mendidik zuriat kami.

Munajatku kepadaNya....

Beberapa hari kuambil masa menenangkan jiwa dan hati yang lara. Dengan cara begitu aku rasa lebih hampir kepadaNya. Setiap malam hening kubangkit bermunajat daan memohon petunjukNya. Aku hanya ada Dia Tuhan yang maha mendengar segala bisikan dan luahan perasaan seorang hamba yang bergelar isteri yang sedang diuji. "Tuhanku...aku hanya ingin menjadi hambaMu yang patuh dan taat kepadaMu dan kepada suamiku...hanya Engkau yang tahu dia adalah suamiku yang kuharapkan menjadi pemimpin kepadaku dan anak-anak kami. Permintaannya kurasakan terlalu berat untuk ditunaikan. Namun Ya Allah ...demi cintaku kepadaMu dan kasihku kepada suamiku, aku rela korbankan perasaanku asalkan suamiku bahagia dengan pilihannya. Engkau peliharalah kami dalam ketenangan dan kebahagiaan selama-lamanya. Aku tidak sanggup berpisah dengan suamiku kerana cintaku terhadapnya dan aku akan tunaikan janjiku walaupun sukar.Ya rabbi berikanku ketabahan sebagaimana engkau kurniakan ketabahan kepada Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim dan Aisyah isteri Rasulullah".

Bersemuka....

Itulah munajatku kepada Yang Esa sehingga aku kembali tenang dan bersedia bersemuka dengan suami. Aku mengajaknya bertemu dan kami berbincang empat mata. Aku yang memulakan bicara setelah sama-sama menyepi dan melayan perasaan masing-masing."Abang...Mas cintakan abang kerana Allah, Mas hanya bertemu dan berpisah dengan abang  dengan  izin dari Allah. Mas redha dan akan cuba bersabar dengan ujian Allah ke atas Mas". Suamiku tunduk menekur wajahnya ke bumi, aku menyambung lagi."Siapakah perempuan itu abang? Dia dengan hambar dan muram menjawab salah seorang pekerjanya yang paling rapat denganku."Apakah dia Liza?". Aku bertanya meminta kepastian. Dia hanya mengangguk."Tidak kusangka Liza...dia yang telah Mas anggap seperti adik sendiri, sejak bila abang  bercinta dengannya? ".Aku bertanya suami tapi sepi tanpa mendapat jawapan. Aku juga mengambil keputusan menemui Liza dan bertanya sendiri kepadanya tentang hal ini. Aku tanya betulkah dia menyintai suamiku, dia hanya membisu, begitu keras hatinya. Tiada lagi butir bicara daripadanya, tiada lagi sikap ramahnya denganku.

Keputusan ikhlasku......

Aku menarik nafas sedalam-dalamnya cuba mengingati Allah dan memohon dijauhkan dari perasaan marah atau cemburu. Aku ingin bertindak sebagai isteri yang tabah, mithali dan ingin jadi wanita solehah, itu adalah prinsipku. Aku bertanya suami apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Dia meminta jasaku untuk pergi melamar gadis itu mengikut adat dan mengurus semua urusan pertunangan dan perkahwinan. Dengan seribu perasaan bercampur baur namun kutetap ingatkan keikhlasan janjiku untuk membahagiakan suami serta pengorbanan terhadap anak-anak, aku laksanakan semua urusan tersebut kerana itu adalah harapan dan impian cinta suami dengan gadis itu.

Terharu....

Keluarga gadis itu terharu dan ibunya memelukku di atas sikapku yang sudi menerima anak mereka sebagai maduku. Sebelum ini pun memang aku pernah kenal dan berhubung dengan keluarga pekerjaku.Setelah akad nikah mereka selesai dan majlis usai aku menemui suami dan meminta dia membawa Liza jauh dari pandangan mataku.Cukuplah aku berkorban melihat mereka sudah menjadi suami isteri namun untuk melihat kemesraan dan kasih sayang mereka dihadapan mataku aku tidak sanggup lagi. Suami menuruti kemahuanku kali ini. Liza sudah berhenti kerja di klinik suami dan berpindah ke suatu tempat di daerah lain.

Simpati bertukar cinta....

Baru kutahu rupa-rupanya mereka jatuh hati semasa aku dalam pantang anak bongsuku. Perkara ini pernah diceritakan kepadaku oleh anak buahku yang bertugas bersama Liza di klinik itu. Namun aku anggap ia hanyalah perkara biasa dan itu kemesraan antara ketua dan pekerja. Sifatku yang semulajadi sentiasa tenang dan bersangka baik menyebabkan aku tidak mahu mengambil tahu atau menuduh yang bukan-bukan terhadap suami dan pekerja di bawah seliaannya.  Liza gadis naif itu yang banyak mengambil kesempatan untuk menarik perhatian lebih suamiku terhadapnya, dia memang seorang yang manja dan keletah, sebab itu tidak mustahil apabila dia menunjukkan minatnya kepada suami, sebagai lelaki normal suamiku memang tidak mampu menolaknya. Orang kata bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Aku tahu niat suamiku dahulu yang  ikhlas untuk membantu gadis susah itu dengan mengambilnya bekerja di klinik tersebut, daripada perasaan simpati suami telah bertukar kepada perasaan cinta.

Pandangan masyarakat terhadapku....

Aku sekarang hidup demi kebahagiaan suami dan anak-anak walaupun ada masanya datang perasaan jauh hati dengan sikap suami. Sesungguhnya suamiku seorang yang beriman, baik dan bertanggungjawab serta melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin dari aspek giliran dan nafkah. Oleh itu aku redha dengan ketentuan Ilahi dan takdirNya untuk hidup bermadu. Aku akan tabah dan sabar kerana merasa kebahagiaan itu ada di mana-mana jika kita cuba untuk mencarinya. Aku bersyukur kerana mempunyai teman yang baik dan bersedia mendengar masalah yang kualami, dia juga tidak putus-putus memberi nasihat dan semangat kepadaku. Walaupun berbagai kata-kata dan bisikan kudengar daripada mulut-mulut masyakarat sekeliling, aku tidak ambil peduli, aku jadi hairan mengapa masyarakat seperti memandang sinis sikapku yang tulus ini, salahkah aku sebagai isteri apabila membiarkan suamiku berpoligami. Aku kadang-kadang naik bingung dan rasa pelik kerana masyarakat di daerah yang masih tidak faham dan   seolah-olah menganggap aku sebagai isteri yang tidak tahu menjaga suami, tidak pandai mengambil hati suami hingga hatinya dicuri orang lain. Hanya Dia yang tahu apa yang kualami dan kutempuhi. Inilah secebis kisahku....mungkin ia boleh menjadi pengajaran kepada para isteri di luar sana.....

Tamat



ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق