Laman ini ibarat taman penuh ketenangan yang bertinta cinta rindu terhadap Pencipta Yang Maha Agung-

Laman Ini Umpama Taman Idaman Penuh Ketenangan Bertinta Cinta Dan Rindu Terhadap Khalik Yang Maha Pengasih Pengampun

http://www.ummutalhah.blogspot.com

28‏/10‏/2010

Nafkah keluarga...masih ada suami yang keliru

Persoalan ini pernah ditimbulkan oleh seorang isteri semasa saya bertugas di cawangan khidmat nasihat

Soalan:
Saya seorang isteri yang bekerja, pendapatan saya lebih tinggi dari suami,yang menjadi masalah ialah saya yang terpaksa menyara perbelanjaan keluarga dan membayar  hutang rumah dan kereta yang digunakan suami,sekiranya saya enggan menggunakan wang gaji saya, suami memaksa saya berhenti kerja...apakah tindakan yang perlu saya buat?

jawapan:

Dalam Islam telah digariskan panduan untuk para suami melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Setelah selesai akad nikah seluruh tanggungjawab yang digalas oleh bapa terhadap anak perempuan  berpindah kepada suami,oleh itu suami perlu berusaha dan tahu menjaga kebajikan serta memberi nafkah mengikut kemampuannya.

Al-Qur'an menjelaskan dalam surah al-nisa' (34) bermaksud;"kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan  sebahagian dari harta mereka"

Walaupun isteri bekerja dan berpendapatan lebih tinggi dari suami,si suami tidak boleh lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya segala perbelanjaan rumahtangga kepada isteri, sepatutnya di awal perkahwinan suami perlu berbincang dengan penuh hikmah dan kelembutan berkaitan sara hidup keluarga lebih-lebih lagi jika pendapatan suami lebih rendah dari isteri. Isteri keluar bekerja dengan keizinan suami, pendapatan yang diperolehi isteri adalah hak isteri tetapi sekiranya dia dengan kerelaan  hatinya membantu kewangan keluarga adalah lebih baik. Suami tidak boleh sama sekali memaksa isterinya untuk menggunakan semua pendapatan isteri untuk menyara keluarga termasuk melunasi hutang piutang suami. Sekiranya isteri sukarela membantu suami dalam urusan perbelanjaan keluarga dan menggunakan gajinya untuk melunasi hutang suami tidak menjadi satu kesalahan dalam islam. Lebih-lebih lagi di zaman yang sedang mengalami kenaikan harga barangan dan saraan hidup yang meningkat tinggi, isteri yang sanggup membantu meringankan beban suaminya adalah tindakan yang bijak dan patut diberi pujian.

Untuk menjaga kerukunan dalam rumahtangga pasangan suami isteri perlu memainkan peranan masing-masing, menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cara berbincang dan bersemuka dengan berhemah dan penuh kesabaran. Dalam hal di atas isteri hendaklah memberitahu suami tentang tanggungjawab memberi nafkah dan menyedarkannya, sekiranya suaminya jenis yang tidak boleh dibawa berbincang dan bersifat panasbaran bertindaklah mencari orang yang boleh dipercayai untuk menasihati suami. Isteri tadi tidak boleh mengambil keputusan drastik mengikut kemahuan suaminya agar berhenti kerja kerana cara ini belum tentu menjamin masa depan sendiri serta anak-anaknya  kerana suaminya belum tentu berubah dan ingin menanggung nafkah keluarga sepenuhnya lebih-lebih lagi pendapatan suaminya yang kecil.

Jalan penyelesaian terbaik ialah saling memahami dan membantu pasangan dalam mengukuhkan ekonomi keluarga. Suami tidak hanya berpeluk tubuh  dan menyerahkan segala urusan kewangan keluarga kepada isteri secara mutlak,sebagai bapa dan ketua keluarga perlu berusaha lebih gigih dan membuat perhitungan yang bijak dalam menjana pendapatan. Hargailah penat lelah isteri membantu perbelanjaan keluarga namun jangan sampai untuk kenderaan  sendiripun isteri terpaksa membayar hutangnya,suami walaupun bergaji kecil sekiranya bijak mengagihkan  pendapatan dan memberi nafkah mengikut kemampuannya  tentu masalah tidak timbul dan isteri pasti memahaminya.

Tidak akan bahagia sesebuah rumahtangga yang di dalamnya sentiasa berlaku pertengkaran dan pergaduhan disebabkan keegoan dan tidakpuas hati terhadap sikap dan perilaku pasangan suami atau isteri. Pergolakan rumahtangga yang berpanjangan  disebabkan isu nafkah ini akan memberi kesan terhadap anak-anak dan secara tidak langsung anak-anak akan membesar dalam keadaan yang tidak sempurna serta harmoni, tidak mustahil juga rumahtangga yang dibina akan runtuh.

Kesimpulannya setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing,jadikan Islam sebagai cara hidup dan Rasulullah sebagai teladan, berbelanjalah secara sederhana  serta menjauhi pembaziran. Walaupun berpendapatan sederhana dan gaji yang tidak tinggi tetapi sekiranya bekerja dengan penuh amanah ia pasti membawa keberkatan dalam hidup dan mencukupi untuk nafkah keluarga.

هناك تعليق واحد:

  1. Bismillah,

    nafkah isteri yang boleh suami berikan. sungguh terinspirasi.

    ردحذف